Utusan: Berubahlah…

5
61

KEMBALIKAN semangat dan roh yang dibawa oleh para wartawan di awal penubuhan Utusan Melayu dahulu. 

SEHARI dua ini ramai yang mula menjeling semula ke arah akhbar terbitan Utusan.

Memang benar Utusan sudah buat silap selama ini. Sepatutnya sebagai sebuah akhbar ia harus berkecuali, waima ownership atau tuan punyanya adalah milik sebuah parti politik, yang pernah memerintah negara ini lebih 60 tahun.

Ramai yang menuduh saya antara orang ‘yang bertanggungjawab’ dengan kejatuhan Utusan. Biarlah, kerana ramai juga yang tidak mengetahui mengenai suasana politik dalaman Utusan sendiri.

Beberapa tahun lalu, saya ada menyuarakan kepada rakan-rakan kekhuatiran saya mengenai pemilikan akhbar ini.

Saya bimbang jika beberapa krisis yang dihadapi UMNO dan kerajaan semasa itu gagal diatasi, kerajaan boleh jatuh dan apa akan jadi kepada nasib akhbar ini?

Saya membuat analisis sendiri berdasarkan pengalaman dan — bukannya empirikal bertahap (kononnya) war room dan jelas setiap negeri mempunyai potensi untuk jatuh, jatuh dan jatuh. Telahan saya, dan mungkin ramai lagi orang bodoh macam saya, menjadi kenyataan.

Itulah nasib Utusan sekarang — sebuah akhbar yang dibentuk pada 1938 oleh Yusuf Ishak, yang kemudian menjadi Presiden pertama Republik Singapura, kini jatuh terduduk.

Perjuangan akhbar ini cukup panjang — bagaikan sajak Usman Awang, Di Depan Api, Di Belakang Duri.

Namun, perjuangan harus diteruskan. Fundamental dan asas tunjang kewartawanan yang pernah diperjuangkan oleh akhbar ini sejak awal-awal kelahirannya harus dikembalikan.

Ia wajib menjadi akhbar berani dalam meredah onak dan duri yang dilaluinya tanpa merasa gentar dan takut.

Itulah Utusan Melayu, yang saya sendiri akan meninggalkannya tepat 30 November 2018 ini setelah kurang enam bulan genap 30 tahun; bersengkang mata, membelakangkan keluarga demi perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.

Namun, kini saya difahamkan ada antara rakan seperjuangan di luar sana, yang sudah tidak sanggup mengakui mereka pernah memimpin akhbar ini satu ketika dulu.

Saya tidak salahkan mereka, kerana keadaan telah menjadikan mereka begitu aib dengan akhbar ini.

Utusan harus berani, bukan sahaja mengkritik pemimpin terdahulu, yang menjadi tuan punya, malah kerajaan sekarang yang harapannya masih tidak berapa jelas.

Jika ia merasakan perjuangan terhadap bangsa Melayu harus diteruskan, ayuh teruskan seperti mana mula kewujudannya dahulu suara bangsa Melayu tidak kedengaran. Yang ada ketika itu ialah akhbar-akhbar berbahasa Melayu dimiliki peniaga Arab di Singapura, yang kurang roh kemelayuannya.

Jika Utusan merasakan UMNO sudah diakhir hayatnya, serulah orang-orang Melayu bertaut di dahan yang mantap dan bukan di ranting rapuh yang sedang dimamah anai-anai.

Ingatlah kata orang tua-tua “yang patah tumbuh, yang hilang berganti”. Tidak salah kita berhijrah ke kapal yang kukuh daripada berpecah keringat menimba air di bahtera yang bocor.

Jika Utusan merasakan UMNO perlu diterajui oleh pemimpin yang lebih mantap demi kelangsungan parti tua Melayu itu, ayuh gerakkan semangat ke arah perubahan itu.

Utusan harus berubah daripada terus menjadi mata telinga parti kepada suara bangsa dan rakyat jelata. Perjuangkan suara rakyat marhaen di luar sana. Masih ramai lagi yang hidup merempat, makan nasi dengan garam.

Ingatkan cogan kata akhbar ini: Penyebar Fikiran Rakyat. Bukannya penyebar fikiran sang politikus rakus dan partai siasah, sehinggakan yang hitam menjadi putih dan putih menjadi hitam.

Yang haq tetap haq; yang salah tetap salah. Yang kotor tetap kotor; yang bersih tetap bersih.

Jika satu dunia kata kotor, tetapi kamu menyongsang berkata bersih maka hancurlah Utusan. Jangan kita menggadaikan cogankata kita sebagai Penyebar Fikiran Rakyat, kerana rakyat kini adalah rakyat IT bukan lagi rakyat surat terbang aerogram atau posto telegram.

Akhbar hari ini bukan lagi akhbar esok hari, tetapi akhbar sepantas detik masa.

Ayuh insaflah Utusan. Masih ada cahaya di hujung terowong, walaupun ada yang berkata “dah lambat bro” — nasi sudah menjadi bubur.

Kerana, saya yakin, jika kita bertanya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad pun, beliau akan berkata jangan biarkan Utusan mati, waima Lim Guan Eng sendiri pun akan berkata Utusan akhbar cukup bersejarah, biarkan ia terus hidup.

Itu pun kalau Utusan mahu berubahlah…

 

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/insaflah-i-utusan-i-jika-mahu-terus-hidup-1.782311#ixzz5YuSMCGc7
Please follow and like us:
error

5 COMMENTS

  1. Zaman sekarang zaman komersial, kono sedar dongan perubahan…analog,digital sumo bagai! Maso dan realiti semuo dah dalam HD..La ni, dah sampai tahap super…! Sonang cakap, buek la apo pun…tapi untong rugi kono ambik kiro. Tak doh lo nak main-main hak sentimenta atau seni sangat. JANJI buek duit! Zaman cakap pakai air lior dan tulih atas kortes dah berlalu. Orang mudo nak tengok hasil bukan nak baco yang bonda yang x bercahayo faktanyo!

  2. I used to read Utusan during my primary and secondary school days.
    It helped me tremendously in mastering BM.
    For that, I am grateful.

    But later, I found that Utusan had become too political and to an extent a bit not-so-friendly towards the non-Bumis. (To put it mildly)
    I stopped reading Utusan altogether since then.

    All the best, Utusan.

  3. Rencana ini patut disiarkan lama sebelum pilihanraya 14 dulu…
    Sesal dahulu berpendapatan
    Sesal kemudian tak berguna..
    Tapi setiap yang sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.
    Selamat maju jaya!

  4. Jatuh bukan bererti tidak boleh bangkit semula. Jika kita tahu sudah apa yang menyebabkan kita jatuh serta mengambil langkah langlah untuk memperbaiki apa yang silap serta usaha usaha untuk memperkukuhkan keadaan saya yakin Utusan boleh bangkit semula. Sebagai satu corong pembawa berita ianya kena mempastikan ia bebas bersuara, memberi pandangan serta ulasan tampa sebarang objective tertentu teutama dari mana mana parti politik baik yang memerintah mahu pun dari pihak pembangkang.

Leave a Reply to Hj. Ketotol Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here