Nafas Rancang Hasilkan Baja Silikon

Nafas Rancang Hasilkan Baja Silikon
Gambar Atas: Pekerja kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) membungkus baja sebelum diedarkan kepada pesawah. Baja padi subsidi keluaran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi anak syarikatnya itu dijamin berkualiti tinggi dengan mampu bertahan antara enam bulan hingga ke setahun untuk penggunaan tanaman padi di negara ini. –fotoBERNAMA

 

GURUN — Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi kilang bajanya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) di sini, merancang untuk menghasilkan baja silikon bagi pembekalan baja subsidi untuk kegunaan pesawah.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MNFSB Abd Halim Hamzah berkata ​​​​​​​kajian secara terperinci dan saintifik dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan dijalankan bagi menghasilkan baja silikon itu.

“Kami membuat satu kajian secara formal dengan MARDI bermula pada 2018 bagi musim satu dan musim dua, di mana plot ujiannya di MARDI sendiri di Paya Keladi, Pulau Pinang dan Kelantan, dan kajian ini masih lagi berjalan.

“Setelah kajian ini siap sepenuhnya nanti, mungkin MARDI akan mengemukakannya untuk dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abd Halim berkata inisiatif berkenaan sekaligus dapat menggantikan formula lama setelah tempoh 14 tahun pembekalan baja subsidi itu di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sebelum kajian itu bermula NAFAS sudah mengambil inisiatif menghasilkan baja silikon untuk baja subisidi itu secara percubaan bagi kegunaan tanaman padi di kawasan Kedah seluas 421.6 hektar termasuk Pokok Sena dan Yan pada musim satu penanaman padi tahun lepas.

“…kemudian pada musim dua 2017 kami meningkatkan lagi keluasan kawasan percubaan kepada 18,000 hektar yang meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan juga di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan dan kajian hasil pengunaan baja silikon itu menunjukkan secara puratanya hasil pesawah meningkat antara satu hingga 1.5 metrik tan sehektar apabila serangan penyakit berkurangan malah isi padi lebih padat.

“Alhamdulillah. Memang meningkat begitu ketara…maknanya kalau sebelum ini petani berhadapan dengan masalah ulat dan sebagainya, jadi kurang serangan penyakit sebab daun pokok padi itu sendiri lebih tebal dan keras.

“Pokok padi tak mudah rebah (kelebihan guna baja silikon). Selalunya pokok padi berbuah dan masak, datang angin mudah untuk rebah, jadi itu merugikan petani. Bagaimanapun, dengan menggunakan baja silikon ini, pokok padi masih tegap dan petani dapat menuai hasil padi dengan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Halim berkata baja padi subsidi keluaran NAFAS menerusi anak syarikatnya itu dijamin berkualiti tinggi dengan mampu bertahan antara enam bulan hingga ke setahun untuk penggunaan tanaman padi di negara ini.

Beliau berkata ini kerana kilang itu menggunakan bahan khas yang disalut kepada baja berkenaan sebelum melalui proses pembungkusan bagi mengelakkan daripada baja tersebut keras.

“Bahan ‘wax’ ini kita import dari Sepanyol. Produk (baja) dari kilang Malaysian NPK (Fertilizer Sdn Bhd) ini memang dijamin kualiti sebab kami dapat pengiktirafan daripada SIRIM untuk semua jenis produk subsidi kita keluarkan.

“Kita (juga) mendapat pengiktirafan ISO 9001 daripada segi pengurusan dan (untuk) makmal kita juga mendapat ISO makmal 17025 dan daripdaa segi persekitaran alam sekitar dan juga kebersihan tempat kerja kita ada 5S,” katanya.

Selain itu, Abd Halim berkata kilang NAFAS itu satu-satunya kilang yang boleh menggunakan bahan mentah daripada urea cecair untuk diproses dengan semua formulasi bagi menghasilkan baja subisidi termasuk yang sukar dihasilkan.

Beliau berkata MNFSB mengguna pakai teknologi dari syarikat terkemuka di Sepanyol iaitu Incro untuk proses granula baja sebatian manakala bagi proses pemekatan urea pula menggunakan teknologi  urea Snamprogetti dari Itali.

“Bagi proses pengeluaran baja pula bermula daripada bahan mentah pepejal dan bahan mentah cecair, yang kemudian melalui proses granulasi, pengeringan, tapisan atau ayakan, penyalutan ‘wax’ dan pengawalan kualiti sebelum pembungkusan serta penyimpanan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kedudukan kilang itu yang terletak di ‘tengah’ kawasan pengeluaran padi di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak sekaligus memudahkan pesawah, yang memerlukan hampir 60 peratus baja subsidi mendapatkan bekalan itu secara terus dari kilang berkenaan.

— BERNAMA

 

Please follow and like us:
error

2 Responses to "Nafas Rancang Hasilkan Baja Silikon"

  1. Amat  25/06/2019 at 10:27 am

    Boleh tak beli baja terus dari Nafas.berapa harga setiap beg 25kg

    Reply
    • Mowardi Mahmud  26/06/2019 at 11:58 am

      kena contact Nafas

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.