Jangan curang macam Ina, tapi setia macam Karim

Jangan curang macam Ina, tapi setia macam Karim
Oleh Zulkarnain Zakaria

 

Cinta materialistik atau setia hingga hujung nyawa?

Sewaktu menjalankan tugasan untuk majalah Mastika pada pertengahan 2002, saya terserempak dengan seorang wanita berbaju kurung, bertudung dan berusia 40an, sedang mundar-mandir di luar balai polis Kota Bharu, Kelantan. Dia terjengah-jengah ke dalam balai sambil mulut membebel marahkan seseorang.

Seorang kawan memberitahu, nama wanita itu Ina. Dia kenal sangat. Siapa Ina? Inilah yang saya hendak ceritakan.

Ina perempuan murahan. Sejak remaja lagi dia sudah menyerahkan dirinya kepada lelaki. Tapi Ina pilih lelaki yang berpangkat dan berduit saja. Lepas seorang, seorang, asalkan ada duit. Yang sengkek Ina tak pandang. Ina tidak kisah dia sampai mendapat empat orang anak luar nikah, yang penting adalah duit.

Ina akan ugut lelaki-lelaki berkenaan supaya memberikannya duit. Jika tidak, dia akan hebahkan skandalnya kepada isteri dan majikan lelaki tadi. Itulah yang dilakukannya di luar balai polis berkenaan. Entah anggota atau pegawai manalah yang sedang diugutnya. Yang penting, duit.

Esoknya saya lihat Ina masih mundar-mandir lagi di depan balai polis berkenaan, sambil mulutnya membebel marah-marah. Tapi tidak lama kemudian, saya juga lihat dia masuk ke dalam sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki, dan berlalu pergi. Hmmm… dapat lah tu.

Tentu anda tertanya-tanya, dah kenapa pula saya cerita pasal perempuan di BebasNews, sebuah portal berita hebat kendalian bekas-bekas wartawan terbilang Utusan? Bukankah ini portal berita mainstream, bercerita kisah politik, hiburan, sukan dan isu-isu semasa yang bertaraf nasional?

Ya, itulah sebabnya. Sebab ini portal bebas tanpa ikatan politik. Sebab ini portal yang memberi kami kebebasan menyuarakan pandangan, tanpa takut pada gertakan.

Sebab… apabila saya melihat kelam-kabut pemimpin atasan, pertengahan serta ahli bawahan di Semenanjung dan di Sabah meninggalkan parti masing-masing, kemudian dan berasak-asak memohon menyertai parti-parti di dalam Pakatan Harapan, saya terus teringatkan Ina.

Bila sudah hilang kuasa, tiada wang, terus hilang arah tujuan. Saya nampak mereka ini sudah macam Ina. Duit, duit duit. Selak kain nampak paha pun sanggup, asalkan dapat duit. Semasa dalam dakapan orang berduit itu, dia menyatakan cinta; bahawa sanggup berenang di lautan api. Tapi apabila orang itu tidak berduit lagi, Ina cari lelaki lain.

Ops! saya tidak kata ahli-ahli politik tadi berpindah parti kerana duit. Tidak. Saya cakap, macam Ina; si gadis yang tidak setia dan sanggup memperdagangkan maruah demi duit. Baca di bawah ini.

Perangai Ina ini berbeza dengan Karim. Siapa pula Karim? Namanya Karim bin Dol. Dia setiap hari menziarahi kubur isterinya, Allahyarhamah Rohani Sidang Omar, di tanah perkuburan Islam Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Sejak isterinya meninggal dunia pada  23 Julai 1996, tidak pernah sehari pun Karim gagal menziarahi pusara isterinya itu, sampailah ketika saya menemu bualnya pada awal 2002. Malah Karim menggunakan marmar import yang mahal dan cantik untuk membuat binaan dan juga `pintu gerbang’ daripada bunga kertas sebagai pintu masuk ke kubur Rohani.

Saya bertanya kepada Karim, kenapa pak cik lakukan semua itu? Jawab Karim, sebab dia cintakan isterinya itu. Dia akan terus setia walaupun Rohani sudah tiada. Sebagai bukti, dia telah menempah satu kiang lubur di sebelah pusara isterinya itu.

“Kalau saya mati sekarang pun tak apa. Saya mahu dikebumikan di sisi arwah dan saya tidak sabar lagi mahu bertemu dengan dia di alam kekal abadi,”  begitu jawapan Karim, yang usianya pertengahan 60-an.

Kepada ahli-ahli politik yang sekarang ini sedang terlompat ke sana, terlompat ke sini, saya hendak bertanya satu soalan; anda mahu jadi Ina atau mahu jadi Karim? Cinta materialistik atau setia hingga hujung nyawa?

Haaa… nak ke mana tu? Duduk… jangan lari!

Please follow and like us:

One Response to "Jangan curang macam Ina, tapi setia macam Karim"

  1. Aim  18/12/2018 at 2:51 pm

    Ramai yg memilih jd Ina…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.