Johan Jaaffar Mengalu-alukan Kelahiran Portal Berita bebasnews.my

Johan Jaaffar Mengalu-alukan Kelahiran Portal Berita bebasnews.my

Oleh Johan Jaaffar

Saya mengalu-alukan kelahiran bebasnews.my.

Sekiranya Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) masih hidup, beliau juga sudah pasti akan mengalu-alukan kelahiran portal berita ini.

Malangnya beliau telah pergi terlebih dahulu, meninggalkan legacy beliau dalam dunia kewartawanan dan kenangan pahit manis dan suka duka kita semua bersama beliau.

Saya dan beliau serta banyak kawan-kawan lain yang pernah berkhidmat di Utusan Melayu banyak bercakap tentang syarikat itu. Kami melihat dari jauh apa yang berlaku pada Utusan, juga bagaimana Utusan hilang bukan sahaja kredibiliti tetapi juga edaran dan iklan.

Kami amat menyedari kritikan malah kecaman orang ramai terhadap Utusan menjelang PRU14. Ini bukan bermakna Utusan tidak pernah dikecam sebelum ini kerana pendiriannya tetapi keadaan Utusan pada era Internet dan media sosial tentu berbeza daripada Utusan pada zaman TS Zam, saya atau ketua-ketua pengarang sebelum ini.

Kami menyedari, bahawa lambat laun Utusan akan menghadapi masalah. Utusan tidak akan berupaya menjual akhbarnya lagi. Dan ini tentu akan menjejaskan urus niaga atau bisnes Utusan. Dan periuk nasi karyawannya.

TS Zam sendiri banyak menegur Utusan melalui blognya (zamKata.blogspot.com) dan akaun Twitternya, @ZainuddinMaidin. Saya percaya beliau tidak disenangi oleh sebilangan karyawan Utusan kerana kritikan itu.

Selama 20 tahun saya enggan membuat sebarang komentar secara terbuka tentang Utusan. Saya menganggap zaman saya telah berlalu. Tugas memimpin Utusan di tangan orang lain. Dan saya perlu menghormati pimpinan baru Utusan. Namun saya terpanggil juga untuk membuat teguran terbuka. Saya tidak melihat perubahan pada Utusan sekalipun kerajaan baharu telah mengambil alih. Dan saya lebih sedih apabila ada pandangan umum yang mengatakan bahawa Utusan salah satu punca kekalahan UMNO dan BN dalam PRU14.
Saya tidak mahu menghujahkan benar tidaknya pandangan itu.

Bersama-sama Tan Sri Zam saya membuat kenyataan media menegur cara Utusan menangani isu cadangan pelantikan Peguam Negara yang baru. Kami menganggap pendirian Utusan dalam isu itu rasis dan penuh prejudis. Kenyataan bersama kami pada 5 Jun itu semestinya menaikkan kemarahan beberapa pihak. Kami harus menanggung risik itu.

Kami menyayangi Utusan. Saya menjadi Ketua Pengarang selama enam tahun sahaja. Tetapi TSZ memulakan kariernya di situ sejak berusia 18 tahun. Namun saya sentiasa mengingat pengalaman saya di Utusan sebagai cukup istimewa. Malah ia merupakan universiti kedua bagi saya.

Demikianlah ingatan saya pada Utusan, saya memulakan grup WhatsApp untuk mantan wartawan Utusan menggunakan nama “Buletin Suara Keramat” atau “BSK”. Dan saya, bersama banyak kawan lain juga, sentiasa berada di sebuah kedai mamak di Malayan Mansion di sekitar Masjid India setiap Ahad untuk sesi teh tarik.

Ini tradisi yang dimulakan oleh TS Zam!

Insya Allah, akan kami lanjutkan amalan itu selagi hayat di kandung badan!

Wartawan tidak selalu disenangi. Hal ini saya timbulkan juga dalam rencana yang merupakan penghormatan saya pada TSZ yang tersiar pada hari Isnin, 17hb Disember baru lalu dalam akhbat The Star. (Aneh juga Utusan tidak pernah mengundang saya untuk menulis belasungkawa tentang TSZ malah meminta komentar saya ekoran pemergiannya pun tidak!)

Lihat tulisan saya dalam The Star tentag TSZ: (https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/12/17/zam-an-unrepentant-crusader-he-was-relentless-even-brutal-his-trademark-was-his-frankness-and-he-ca/)

Kita semua maklum, TS Zam sendiri hanya selesa dalam dunia kewartawanan dan di tengah teman-teman wartawan. Malah seperti yang saya sebutkan dalam rencana di atas, walaupun TS Zam baik dengan banyak orang politik tetapi tidak mahu diperalatkan oleh orang politik. Tun Dr Mahathir Mohamad satu ketika dahulu pernah membuat komen bahawa TS Zam adalah a difficult friend (sahabat yang sukar).

Kemuncak kejayaan Allahyarham tentulah apabila beliau dilantik menjadi Menteri Penerangan pada tahun 2006. Namun beliau tidak pernah selesa dengan budaya itu, lalu menulis kemudiannya, sebuah buku berjudul Saya Bukan Menteri. Bagi saya, beliau seorang wartawan, first and last. Malah dalam komen saya pada media berbahasa Inggeris, saya menyebutkan bahawa beliau adalah true-blue journalist. 

Saya percaya profesion kewartawanan menjadi semakin sukar hari ini. Ini bukan sahaja disebabkan bahawa dunia media telah berubah begitu dramatik sekali tetapi di mana-mana pun di dunia wartawan semakin sukar menjalankan tugas mereka. Malah serangan dalam pelbagai bentuk ke atas wartawan semakin dahsyat. Mereka mengalami ancaman pelbagai bentuk. Serta perbagai udang-undang yang mengekang kebebasan mereka.

Tahun ini sahaja 52 orang wartawan telah terbunuh di seluruh dunia, kebanyakannya di kawasan berkonflik yang mereka liputi. Dan kita semua tahu apa yang berlaku pada wartawan The Washington Post, Jamal Khashoggi yang dibunuh dengan kejam di Kedutaan Arab Saudi di Istanbul.

Lebih malang lagi, ada pemimpin dunia yang memang sengaja memusuhi media, malah melabelkan para wartawan yang tidak disenanginya sebagai enemy of the people (musuh rakyat).

Anehnya semakin “terbuka” dunia hari ini dengan segala kecanggihan teknologi maklumat dan peralatan state-of-the art, semakin sukar para wartawan menjalankan kerja mereka. Banyak negara autokratik dan yang mendakwa demokratik pun memberikan tekanan dan kekangan pada petugas media. Menurut satu kajian Freedom House bagi tahun 2017, hanya 13 peratus penduduk dunia menikmati free press yang sebenar, selebihnya harus hidup dengan kawalan ke atas media.

Apabila majalah TIME menamakan wartawan sebagai Person of the Year bagi tahun 2018, pilihan itu terasa amat tepat sekali. Mereka adalah Jamal Kashoggi; petugas dari sebuah akhbar Amerika Syarikat, Capital Gazette serta wartawan Maria Ressa dari Filipina dan dua orang wartawan Myanmar yang sekarang dalam penjara, Wa Lone and Kyaw Soe Oo.  Inilah kali pertama dalam sejarah majalah terkemuka itu, menamakan wartawan sebagai Person of the Year.

Saya mendoakan bebasnews.my akan menjadi satu lagi titik bersejarah bagi dunia kewartawanan negara ini. Saya mengagumi 22 orang mantan wartawan Utusan yang mengambil sikap untuk meneruskan “profesion” mereka dalam bentuk yang lain. Saya ucapkan syabas pada Datuk Zaini Hassan kerana mengambil inisiatif ini.

Saya juga harus mengingatkan bahawa ini bukan tugas yang mudah. Portal berita ini tentu tidak boleh bergantung hanya pada jumlah “hits” atau sokongan pembaca di talian. Untuk mengekalkan kelangsungannya (sekiranya ia mahu dijadikan portal komersil) tentulah perlu ada model bisnes yang tersendiri.

Tetapi, apa yang lebih penting bagi saya ialah bahawa portal ini harus hidup dengan reputasi nama yang diberikan padanya “bebasnews” atau berita bebas. Ini bermaksud ia harus bebas, impartial dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Ia harus berdiri sebagai lambang kewartawanan tulen yang meletakkan integriti dan kebebasan bersuara di atas seala-galanya. Kebebasan dengan tanggungjawab tentunya, bukan kebebasan yang disalahgunakan atau dengan niat jahat.

Saya ingin mengingatkan bahawa teman-teman yang mengasaskan portal ini datang dari satu tradisi sejarah kewartawanan yang luar biasa. Utusan Melayu yang bermula 79 tahun yang lalu di Singapura telah melahirkan legenda di kalangan wartawannya. Nama-nama besar dunia kewartawanan dari Utusan adalah A. Rahim Kajai, Yusof Ishak, A. Samad Ismail, Said Zahari, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zam dan ramai lagi. Sayugia diingat wartawan yang paling lama di bawah tahanan ISA di negara ini juga adalah mantan wartawan Utusan, yakni Allahyarham Pak Said Zahari yang ditahan 17 tahun.

Kita semua sedar bahawa Utusan bukan sekadar nama syarikat tetapi juga sebuah institusi. Malah bukan calang-calang label yang diberikan padanya, “suara keramat” bagi orang Melayu. (Sila baca buku Di Depan Api, Di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu yang ditulis oleh TS Zam.

Kita juga tahu bahawa Utusan Melayu menjadi suara yang lantang dan tanpa kompromi. UMNO mengambil alih Utusan Melayu pada tahun 1961, lalu menyemarakkan kemarahan wartawannya dan berlakulah mogok 90 hari yang amat penting dan bersejarah itu.

Bagi saya, pengambilalihan Utusan oleh UMNO pada 1961 mengakhirkan kebebasan media di negara ini. Media tidak pernah bebas daripada pemilikan parti politik selepas itu, baik secara langsung atau tidak langsung.

Saya harap portal ini akan menjadi model untuk portal berita akan datang. Perjalanannya masih panjang dan berliku atau sejauh mana ia akan bertahan adalah satu hal yang harus difikirkan oleh pengasasnya. Tetapi teman-teman yang mengasaskan portal ini adalah lepasan “universiti” istimewa yang telah melalui susah senang dan pahit maung. Mereka sudah cukup teruji.

Sebagai mantan Ketua Pengarang yang pernah memimpin kesemua 22 orang ini, saya amat berbangga.

Saya percaya TS Zam juga akan menyampaikan kalungan tahniah pada mereka semua!

Selamat maju jaya!

 

 

Please follow and like us:

Post Berkaitan

6 Responses to "Johan Jaaffar Mengalu-alukan Kelahiran Portal Berita bebasnews.my"

  1. Ishak  18/12/2018 at 1:17 pm

    Utusan platform agenda UMNO tapi bila dibuka ruang luas kepada parti lain disini bermulanya kerosakkan

    Reply
  2. Dr.R.Dhanapal  18/12/2018 at 1:44 pm

    Satu tulisan yang cukup menarik , informatif dan dapat mengimbau masa silam Utusan

    Reply
  3. Zainal rashid ahmad  18/12/2018 at 2:09 pm

    Kepada teman-teman, bangkitlah berjuang. Tiap era ada wira. Tiada zaman ada pahlawan. Itulah sejarah bangsa kita yang selama ini berjuang dan terus berjuang

    Reply
  4. abusufi  18/12/2018 at 2:57 pm

    Saya anak utusan,berhenti melanggan sebaik sahaja adr KSKH meletak jawatan.

    Reply
  5. Yob Rizab  18/12/2018 at 2:58 pm

    diharap portal ini akan membuka minda melayu baru!

    Reply
  6. Fonz  21/12/2018 at 10:01 am

    Kembalikan kegemilangan era kewartanan seperti di zaman TS Zam dan TS JJ ! Anak anak Malaysia dahagakan informasi yang tepat,bebas dan berfakta.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.