YB Nik Abduh jangan sebut Liverpool boleh tak?

YB Nik Abduh jangan sebut Liverpool boleh tak?

Entah kenapalah Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz baru-baru ini gatal mulutnya membandingkan Liverpool dengan Pas. Sudah tidak ada bandingan lain lagikah, YB? Sudah habis ideakah?

Daripada YB beranalogi yang tidak sepadan, lebih baik YB layari Facebook atau laksanakan tugas di Parlimen YB. Atau pun…

Sekejap lagi saya sambung.

Sebelum diulas tentang YB Nik Abduh, satu soalan ingin ditanya, ingat lagikah anda kepada komen seorang Ahli Parlimen dari Kedah, yang pada Mei 2015 berkata: “Tak mau bayar cukai, pi dok bulan.” Cukai di sini merujuk kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Kata YB itu, memang kerajaan hidup atas kutipan cukai kepada rakyat. GST membantu negara, kemudian negara membantu rakyat. Tapi kalau tak suka bayar cukai, tak suka GST, pergilah tinggal di bulan.

Siapa nama YB itu? Malas saya sebut, anda carilah sendiri. Tetapi YB itu, yang kini bukan lagi YB selepas partinya kalah dalam Pilihan Raya Umum lalu, masih ada di bumi Kedah. Beliau masih belum berpindah ke bulan. Tentu beliau benar-benar sayang kepada kerajaan Pakatan Harapan, dan gembira membayar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Sebelum itu, kalau anda masih ingat, ada seorang bekas Menteri Dalam Negeri pada 2015 menyergah rakyat yang tidak setuju dengan sistem politik dan PRU di negara ini, supaya berpindahlah ke negara lain. Mudah betul hukuman yang diberikan, sesiapa yang tidak suka dengan kerajaan, carilah negara lain.

Bekas menteri ini juga masih ada di negara kita. Tentu beliau juga sayang dengan kerajaan Pakatan Harapan dan setuju dengan semua dasarnya.

Maaf, artikel ini bukanlah tentang pertikaian antara rakyat dengan kerajaan, tetapi tentang mulut ahli-ahli politik kita. Gatal sangat hendak bercakap, hingga yang keluar dari mulut mereka adalah tidak rasional, melampau dan memperlekeh serta menafikan hak rakyat.

Baru-baru ini misalnya seorang menteri mencadangkan rakyat menoreh pada musim tengkujuh. Benarlah, memang ada penoreh menggunakan peralatan-peralatan tertentu bagi membolehkan mereka menoreh getah pada musim hujan.

Tapi persoalannya berapa ramai? Di kawasan mana? Adakah peralatan itu telah diperkena secara meluas di negara kita? Adakah harganya murah?

Hasilnya, kenyataan menteri itu telah menyakitkan hati penoreh yang sudah pun terbeban dengan harga getah yang murah. YB, perkenalkan dulu peralatan-peralatan berkenaan, pasarkan dengan harga yang rendah dan kawallah dahulu  harga getah serta komoditi-komoditi utama lain, baru sebut tentang menoreh pada musim tengkujuh.

Sebelum itu menteri ini juga pernah mengatakan sehektar tanah boleh menghasikan 12 hingga 15 tan kelapa sawit. Sedangkan, keluasan itu tidak mampu mengeluarkan hasil yang sebegitu banyak.

Baru-baru ini juga, seorang menteri menggunakan frasa Rasulullah s.a.w. pernah mungkir janji kepada sahabat, untuk membandingkannya dengan kegagalan Pakatan Harapan menunaikan janji-janji manifesto pilihanrayanya. Walaupun menteri berkenaan sudah memohon maaf dan insaf dengan ketersasulannya itu, tetapi kerosakan sudah pun berlaku.

Di atas tadi hanya sebahagian kecil sahaja contoh ahli-ahli politik kita yang gatal mulut dan bercakap tanpa berfikir waras. Anda boleh cari contoh lain.

Kembali kepada Nik Abduh. Apa masalahnya apabila beliau membandingan Liverpool dengan Pas?

Masalahnya di sini ialah Nik Abduh mengatakan Liverpool hanya tinggal sikit saja lagi akan mendakap piala. Begitu juga Pas. Tinggal sikit saja lagi akan mendakap Putrajaya.

Hello YB… Liverpool memang mempunyai daya dan karakter untuk menjadi juara dan mendakap piala.  Mereka menyerang, menyerang dan menyerang. Liverpool menggunakan stategi dan pemilihan pemain yang tepat dalam setiap perlawanan, itu menyebabkannya sekarang berada di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Tapi tidak Pas. Parti YB ini tiada langsung karakter dan strategi untuk menawan Putrajaya. Bayangkan, ketika parti-parti lain bergabung dan berkompromi, Pas pula tidak sudah-sudah bergaduh dengan parti sekutunya.

Kedua, sebagai pembangkang, dahulu ketika parti-parti lain menyerang kerajaan BN/UMNO, parti YB pula mempertahan kerajaan yang sepatutnya YB  tumbangkan. Pelik betul sikap Pas sebagai pembangkang. Hasilnya, dalam PRU lepas bukan saja kerajaan BN/UMNO tumbang, dengan Pas sekali tumbang. Yang menang adalah parti yang menyerang, menyerang dan menyerang, seperti Liverpool.

Kemudian parti Pas yang YB sayangi itu berkasih sayang dengan UMNO, dengan harapan untuk menjadi paduan dua parti Melayu Islam terbesar di negara kita. Hasilnya, UMNO punah ranah dan ramai pemimpinnya lari ke Parti Pribumi Bersatu (PPBM), manakala ahli-ahli Pas pula ramai yang melompat ke parti Amanah.

Percintaan UMNO dan Pas itu juga menyebabkan parti-parti pelbagai etnik di Sabah melompat ke parti Warisan yang mesra kerajaan Pusat. Tidak perlulah disebutkan tentang respons parti politik di Sarawak. Mereka memang menolak Pas dan aliran politik yang ekstrim serta perkauman.

Nah, dengan percintaan Pas – UMNO yang sudah punah, ramai ahli Pas  meninggalkan lari ke Amanah dan penolakan parti-parti politik etnik di Sabah serta Sarawak, adakah Pas tinggal sikit saja lagi nak menawan Putrajaya? Semakin jauh, ada lah.

YB, anda telah membuatkan para penyokong Liverpool marah. YB dinasihatkan supaya lain kali gunakanlah analogi yang lebih tepat.

Menganalogikan pandangan YB itu dengan Liverpool adalah silap, kerana pasukan yang lebih sesuai dianalogikan ada dua. Pertama Totenham Hotspurs (hahahahaaa) dan kedua, MU.

Bukan Manchester Unted, tapi Melaka United. Pasukan Melaka United memang sampai bila-bila pun tidak akan mampu mendakap piala Liga Perdana Inggeris, samalah keadaannya dengan Pas, yang tidak akan mampu menawan Putrajaya selagi ia beraliran keras terhadap sesama Muslim dan bukan Muslim.

Haa… nak ke mana tu YB? Relaks lah YB, kita chill, chill.

Please follow and like us:

One Response to "YB Nik Abduh jangan sebut Liverpool boleh tak?"

  1. Sue Rosnie  20/12/2018 at 6:42 pm

    Wow…..
    Saya x nak komen politik
    Sy nk bgthu saya penyokong Harimau Malaya😂

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.