[VIDEO] Pulanglah sayang: Datuk Vida merayu siapa tu?

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

DALAM tempoh tidak sampai 24 jam, muzik video Sayang Pulanglah Sayang, dendangan Datuk Seri Dr. Vida sudah mendapat 23,000 tontonan.

Muzik video tersebut telah dimuat naik dalam saluran YouTube rasmi miliknya iaitu DSV Entertainment pada petang 29 Disember lalu.

Beliau memilih untuk memperkenal lagu ciptaan Cat Farish dan Eddy G itu secara rasmi kepada orang ramai sewaktu berada di Kota Kinabalu, Sabah bagi menjayakan satu majlis.

“Saya pilih nak perkenal muzik video Sayang Pulanglah Sayang sewaktu di Kota Kinabalu untuk beri satu pembaharuan kepada orang Sabah.

“Saya juga menaruh harapan agar lagu ini dapat memberi satu anjakan baharu kepada saya terutama dalam bidang seni,” katanya penuh harapan.

Menurut Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 47, lagu tersebut dirakam sejak dua bulan lalu dengan menjalani tiga kali rakaman sebelum beliau berpuas hati.

“Saya pilih untuk bekerjasama dengan Cat juga selepas La Vida Go Bola kerana dia boleh ikut jadual kerja saya yang tak menentu ini.

“Selain itu Cat faham apa yang saya kehendaki dan boleh memenuhi cita rasa saya dalam muzik. Kali ini saya mahu mencuba genre baharu dan sebab itu konsep lagu balada sikit,” katanya yang mahu menampilkan kelainan.

Jika dalam lagu La Vida Go Bola, beliau menampilkan Mimi Fly sebagai rapper, untuk lagu ini Cat dan Eddy G turut tampil sebagai rapper.

Jelas Vida, beliau mahu memberi peluang kepada mereka untuk menyanyi sama kerana Cat dan Eddy G ada stail tersendiri.

Menyentuh pula mengenai pembikinan muzik video tersebut, jelas Vida, lokasi penggambaran adalah di sekitar Ipoh dan kediamannya.

“Tempoh penggambaran adalah dua hari, saya sehari dan Cat juga sehari. Itupun penggambaran dibuat ikut kelapangan jadual saya.

“Saya harap lagu ini dapat memberi hiburan kepada pendengar di luar sana, selain dapat mengimbau kisah-kisah mereka yang menghadapi jiwa kacau seperti mereka yang ditinggalkan atau dicurangi,” ulasnya.

Vida juga menegaskan bahawa lirik lagu tersebut tidak ada kaitan dengan dirinya.

Sementara itu, Cat membongkar rahsia bahawa lagu Sayang Pulanglah Sayang itu awalnya dibuat untuk Elizabeth Tan, sewaktu penyanyi tersebut mula bergiat dalam bidang seni.

Bagaimanapun katanya, selepas melalui beberapa perbincangan pihak syarikat rakaman tidak mengizinkan.

“Lagu tu saya buat dah lama waktu zaman Tiga Swagger lagi iaitu sekitar 2014. Bila Elizabeth Tan tak jadi rakam saya simpan. Bila perdengar kepada Datuk Vida, dia suka.

“Asal lagu memang tajuknya Sayang Pulanglah Sayang. Untuk rakaman ini saya cuma ubah sikit saja untuk ikut kesesuaian vokal Datuk Vida,” jelasnya yang juga bertindak sebagai pengarah bersama muzik video.

Tegas Cat, setiap kali menghasilkan lagu untuk pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., dia suka melakukan perubahan.

Katanya, biarpun Vida bukan penyanyi profesional tapi jutawan kosmetik itu tahu apa yang nak ditonjolkan.

“Kalau ada yang kata saya buat lagu untuk Datuk Vida sebab duit, itu tidak benar. Siapa ysng pernah kerja dengan dia akan tahu bahawa wanita ini amat cerewet dan akan melakukan sesuatu sehingga puas hati.

“Mungkin sebab dia orang bisnes, jadi dia tahu hala tujunya. Saya lihat dia ada kesungguhan dan boleh dipelbagai. Insya-Allah untuk akan datang saya bakal tampil dengan irama lain seperti joget pula,” katanya.

Cat yang melakukan rakam vokal di studio miliknya di Damansara Perdana, Petaling Jaya itu berharap agar lagu ciptaannya bersana Eddy G itu dapat diterima ramai seperti mana lagu dendangan Vida sebelum ini iaitu La Vida Go Bola, La Vida Raya dan I Am Me.

– BEBASnews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.