Tindan Challenge parti politik… siapa sakit masuk wad!

Tindan Challenge parti politik… siapa sakit masuk wad!
Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA

 

Rupa-rupanya anak remaja kita sedang bertindan challenge. Alangkah tua rasanya kita apabila kita tidak sedar bahawa anak-anak remaja kita ini sedang mengikut trend cabar mencabar, untuk menjadi siapa lebih hebat.

Caranya, anak-anak remaja ini akan membuat kumpulan masing-masing. Empat, lima, enam orang… terpulang kepada mereka. Kemudian, setiap anggota kumpulan itu akan bergabung dengan cara duduk, berdiri, bersandar dan membongkok antara satu sama lain. Kehebatan sesuatu kumpulan itu akan dilihat kepada kumpulan yang membentuk formasi paling tinggi, unik dan mencabar.

Maka untuk menjadi yang lebih hebat, anggota tindan challenge ini sanggup menonggeng dan meniarap dan duduk di atas belakang serta tengkuk kawan. Aksi mereka nampak bersahaja dan seronok, sangat bekerjasama dan bersatu-padu.

Setiap kumpulan tindan challenge ini kemudian memperagakan aksi mereka kepada awam. Ambil foto. Ambil video. Tunjukkan kehebatan formasi dan pengorbanan masing-masing.

Tapi tindan challenge ini rupa-rupanya ada musibahnya. Apa dia? Nanti kita cerita kemudian.

Dalam masa yang sama, kita tidak sedar rupa-rupanya dalam kandang politik pun ada tindan challenge. Benar, ada. Cuma kita tidak sedar. Caranya ialah mereka bergabung membentuk kumpulan masing-masing. Ada kumpulan Pakatan Harapan (PH), ada kumpulan Barisan Nasional (BN), ada kumpulan Gagasan Sejahtera (GS) dan kumpulan-kumpulan lain di Sabah dan Sarawak.

Gabungan tindan challenge parti-parti politik ini juga membentuk formasi dan saling duduk-menduduk di atas badan setiap anggota kumpulan. Ada parti politik yang memainkan peranan seperti orang duduk, ada yang berperanan seperti orang berdiri dan meniarap. Ada juga parti yang mahu nampak lebih hebat, sanggup menonggeng dan seperti sedang rukuk.

Parti-parti ini aksi sama ada duduk di atas tengkuk kawan atau benarkan tengkuk mereka diduduki oleh kawan.

Kembali kita kepada tindan challenge anak-anak remaja: Apa yang mereka dapat? Pertama, syok sendiri. Kedua, cedera. Ini kerana tindan challenge boleh menyebabkan patah tulang, cedera saraf tunjang, lumpuh, sendi terkehel serta skoliosis jika ada kepatahan atau retak pada tulang belakang. Andaikan tidak patah sekali pun, tulang belakang boleh membengkok akibat tulang lentur.

Ini terjadi disebabkan tulang terpaksa menanggung beban yang tidak sepatutnya dan dalam posisi yang salah. Bayangkan, duduk atas tengkuk dan tengah belakang kawan, bukankah aniaya kawan namanya itu?

Tambahan pula kalau kawan yang duduk di atas tengkuk dan tengah belakang itu badannya tembam dan ketika sedang duduk, dia tidak reti diam. Bergerak ke sana, bergerak ke sini. Ada pula yang mahu bergurau dan mengusik, mereka menggelek-gelek punggung di atas tengkuk dan tengah belakang kawan. Mereka ingat itu kelakar.

Begitulah dengan parti-parti politik tanah air. Apa yang terjadi selepas PRU-14?

Lihatlah, banyak parti yang patah tulang, lumpuh, terkehel, sakit tengkuk dan sakit lutut. Paling menakutkan parti-parti ini ada yang putus urat hingga meracau dan meroyan.

Tidak percaya? Lihatlah apa jadi kepada PH. Parti-parti gabungan ini sedang berjegil-jegil biji mata sesama mereka. Masing-masing saling mencurigakan. Parti Keadilan rakyat (PKR) tidak setuju dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima bekas ahli dan pemimpin UMNO yang tiba-tiba saja mahu melompat parti.

Bagi PKR, menerima ahli UMNO yang banyak skandal dan sebelum ini menghentam PH, bermakna menderhakai semangat reformasi serta jiwa Malaysia Baharu yang telah disepakati bersama.

PKR juga mengesyaki tindakan itu dilakukan oleh Bersatu untuk membolehkan Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menjadi Perdana Menteri, sekali gus memungkiri janji untuk melepaskan jawatan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrhaim, selepas dua tahun memimpin. PKR dan Bersatu seperti sedang menunggu masa untuk perang saudara.

DAP turut tidak senang dengan tindakan Bersatu. Parti Amanah pula walaupun kelihatan tenang, namun perlu dibantu kerana struktur organisasinya yang belum mantap. Buat masa ini ia terpaksa merelakan dirinya dikritik. Hendak melawan, masih hijau sangat.

Di Sabah jangan ceritalah. Sampai kita tidak tahu mana pangkal, mana hujungnya. Kita keliru mana kumpulan A, mana kumpulan B, sebab parti dan ahli-ahli politik ini semuanya gemar melompat. Pagi mereka dalam kumpulan A, tiba-tiba petang mereka melompat masuk kumpulan B. Esoknya mereka duduk di atas tengkuk A semula, lusa benarkan tengkuk mereka diduduki oleh kumpulan B.

Gabungan BN yang telah memerintah negara selama 61 tahun, sudah hampir berkecai. Semua parti-parti komponennya sudah cedera parah. UMNO sakit tulang belakang. MCA patah sendi. MIC sakit pinggang. Parti-parti sahabat di Sarawak pula lenguh-lenguh otot, namun mereka cepat-cepat melarikan diri dan mencari tabib lain supaya cepat sembuh. Memang `bijak’.

Bagaimana dengan Gagasan Sejahtera yang ditubuhkan pada 16 Mac 2016, oleh parti PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa)? Nampaknya Berjasa seperti orang yang sedang nazak. Tidak tahu di mana jasadnya terlantar sekarang. Mungkin sedang dalam tahap sakaratulmaut, mungkin juga sedang membawa diri ke dalam gua.

Begitu juga dengan Ikatan. Sebelum PRU-14, nampak gagah juga parti Ikatan ini. Presidennya pun kelihatan kacak dengan bownya yang bermacam-macam warna. Tetapi selepas PRU-14, senyap terus. Sudah lumpuhkah? Sudah patah tengkuk? Atau sedang dirawat di ICU?

Yang nampak gagah hanya PAS. Ini kerana dalam tindan challenge  Gagasan Sejahtera, PAS mahu duduk di tempat yang paling atas. PAS mahu jadi Big boss atau Big brother. Mereka duduk di atas tengkuk kawan-kawan. Malangnya, semasa duduk di atas tengkuk kawan, PAS ini tidak reti diam. Ia suka menggelek-gelek punggung dan menghentak-hentak badan.

Akibatnya, semua anggota Gagasan Sejahtera yang disebutkan tadi cedera parah. Tengkuk mereka terkehel bagai hendak patah. Akhirnya semua jatuh terhumban ke lantai.

PAS pun sebenarnya cedera parah juga akibat jatuh daripada formasi berkenaan, lantaran ramai ahlinya yang keluar menyertai Amanah dan parti-parti lain dalam PH. Tetapi hebatnya PAS, walaupun cedera parah, ia tetap berlagak macam sihat walafiat. Malah mereka boleh berlagak seperti sang tabib mujarobat dan sedia memberi rawatan kepada parti-parti lain. Hebat… hebat!

Paling unik ialah UMNO. Walaupun berada dalam tindan challenge kumpulan BN, namun ia berkenyit-kenyit mata dan bergesel-gesel paha dengan PAS. Akibatnya, tengkuk UMNO juga terkehel akibat digelek-gelek punggung PAS. Parti itu kini berantakan dan BN yang diterajuinya pun sudah tunggang langgang.

Nah, sekarang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganalogikan, parti itu tidak sudi menaiki bahtera UMNO yang sudah bocor dan hampir karam. Kelak nanti dengan bahtera PAS sekali tenggelam ke dasar lautan.

Itulah akibatnya apabila silap memilih kawan.

Tahun 2019 bakal memunculkan diri. Nampaknya aksi tindan challenge parti-parti politik tanah air ini masih jauh daripada penamatnya. Sebagai penonton, kita lihatlah nanti parti mana yang akan lumpuh, parti mana yang akan masuk ICU, nazak dan meninggal dunia, serta parti mana pula yang akan sembuh dan sihat semula.

Buat masa ini kita hanya boleh beritahu mereka, katil wad masih banyak lagi yang kosong.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.