8 Pemenang Anugerah Satira BEBASnews 2018

8 Pemenang Anugerah Satira BEBASnews 2018

Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA

Tahun 2018 telah menutup lembarannya. Tetapi sebelum melangkah lebih jauh, apa kata kita toleh ke belakang sebentar untuk melihat siapakah watak-watak yang banyak menceriakan kita sepanjang tahun lalu. Mereka ini wajar diberikan Anugerah Satira BebasNews 2018 kerana telah memeriahkan hidup kita sepanjang tahun lalu, tahunn yang penuh dengan drama dan ketidak tentuan. Pemenang-pemenang itu ialah…

7. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Baru berusia 26 tahun, Menteri Belia dan Sukan ini seorang yang serius dengan idealismenya dan handal berpidato. Sejurus dilantik ke jawatan tersebut, Ahli Parlimen Muar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini hanya mahu dipanggil Bro sahaja, bukan Yang Berhormat. Menarik.

Sesuai dengan usianya, Syed Saddiq menampilkan imej anak muda. Tetapi ada ketikanya dilihat janggal dan tidak kena gaya. Baru saja masuk ke pejabat, beliau sudah menjadi bahan usikan kerana berseluar pendek semasa bersenam dengan kakitangan kementeriannya, yang tentunya ramai yang lebih dewasa dan kalangan wanita.

Pada Oktober lalu Syed Saddiq berkongsi pula gambar beliau tidak berbaju di dalam tab mandi, di laman sosial Instagram. Netizen terus mempersendakan menteri muda ini yang kemudian bergambar ala-ala model fesyen untuk sebuah majalah tempatan dengan gaya metroseksual.

Baru-baru ini Syed Saddiq muncul dengan memegang bingkai gambar beliau memakai kosutum adiwira Superman. Pada gambar itu tertulis The Super Young Man, suatu pengiktirafan terhadap beliau sebagai menteri termuda di Malaysia. Ini jadi bahan usikan netizen juga.

Hinggakan ada netizen yang bertanya, Bro… nak jadi menteri ke nak jadi Model?

6. Teresa Kok

Menteri Industri Utama ini menjadi sendaan netizen selepas menyarankan penoreh getah agar menoreh pada musim tengkujuh. Perkara ini diucapkannya semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat, pada November lalu.

Saranan itu, dari satu sudut memanglah bagus. Namun dari satu sudut yang lain, netizen tertawa kerana secara praktiknya penoreh tidak menoreh pada musim hujan. Memang ada penoreh yang menggunakan peralatan tertentu bagi membolehkan mereka menoreh pada musim tengkujuh, namun jumlahnya sangat sedikit. Peralatannya pun tidak dipasarkan secara meluas.

Sebelum itu Teresa dipersendakan kerana di Dewan rakyat juga beliau mengatakan seekar tanah boeh menghasilkan sehingga 12 hingga 15 tan kelapa sawit. Apabila kenyataannya itu disanggah, Teresa mengatakannya tersilap. Dia bermaksud sehektar, bukan seekar. Malangnya, sehektar tanah juga takkan mampu menghasilkan 12 hingga 15 tan sawit.
Jangan buat lawak lagi, YB.

5. Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Walaupun diakui tinggi dalam ilmu agama, namun Abdul Hadi disendakan oleh netizen kerana sering gagal memberikan jawapan yang dikehendaki apabila ditanyakan soalan-soalan tertentu dalam program bicara di televisyen atau forum umum.

Ia berlaku sekurang-kurangnya dua kali. Kali pertama sewaktu dijemput menjadi tetamu Astro Awani tidak lama selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14, pada Mei 2018. Kali kedua dalam forum umum sebuah akhbar tempatan pada pertengahan Disember 2018.

Apabila ditanya oleh moderator, Abdul Hadi tidak memberikan jawapan yang spesifik. Beliau sebaliknya memberikan jawapan yang bersifat konseptual dan teoritikal.

Ini menyebabkan netizen mengusik Abdul Hadi sebagai `Tanya lain jawab lain.’ Netizen bertambah galak mengusiknya apabila para penyokong Pas mempertahankan Abdul Hadi dengan mengatakan bahawa jawapan-jawapan Presiden parti itu itu sangat menakjubkan kerana menggunakan ilmu mantik bertahap tinggi.

Selain itu, Abdul Hadi juga menjadi bahan sendaan netizen kerana gemar menggunakan analogi bernada jelek dan buruk terhadap musuh-musuh politiknya, seperti butir taik, anjing menyalak babi di hutan, biawak hidup serta dua ekor anjing yang bergaduh, selain barua dan broker suatu ketika dahulu

Lantas apabila beliau mengkritik, netizen akan memulangkan kembali analogi-analogi beliau itu kepada diri dan partinya. Datuk Seri, jaga mulut tu sikit, ya.

4. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak

Sekarang bekas Perdana Menteri ke-6 ini sangat aktif mempersendakan kerjaaan PH melalui media sosial Facebook. Netizen bagaimanapun mempersendakan semula Najib kerana sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu beliau dilihat `takut’ dengan wartawan. Hinggakan beliau tidak lagi mengadakan sidang media selepas sesuatu program, seperti yang wajib dilakukan oleh Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelumnya, juga semua menteri kabinet. Ini dilakukan bagi mengelakkan beliau ditanya dengan soalan-soalan sensitif, khususnya isu 1MDB.

Selain itu, netizen juga mentertawakan Najib kerana sering menjawab `Tidak tahu’ apabila ditanya tentang skandal 1MDB, sejumlah wang dan barang-barang berharga yang dirampas dari kediamannya dan individu yang berkaitan dengannya, serta keputusan-keputusan kerajaan beliau yang dilihat merugikan negara. Ini khususnya berkaitan dengan tender serta projek melibatan kos bernilai jutaan dan billion ringgit.

Turut dipersendakan netizen ialah apabila Najib tiba-tiba berang dan bangun untuk meninggalkan set wawancara ketika beliau ditemubual oleh wartawan media berita antarabangsa Al-Jazeera, Mary Ann Jolley, selepas diasak dengan soalan-soalan sensitif berkaitan isu kematian Altantuya dan 1MDB.

Datuk Seri memang King of Troll!

3 . Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal-ehwal agama ini dikenali sebagai seorang yang sangat kental pendiriannya. Selepas memegang jawatan tersebut, Mujahid berani mengambil pedekatan yang berbeza bagi mengetengahkan konsep Rahmatan lil Alamin. Antaranya, dengan tidak mendiskriminasi golongan transgender, memelihara agama-agama lain melalui konsep La ikraha fiddin, mempromosi ratifikasi Icerd dan mendekati masyarakat bukan Melayu/Islam bagi memperkenalkan Islam yang damai dan menghormati perbezaan warna kulit.

Semuanya nampak begitu teguh dan baik, hinggalah beliau mencoretkan Warkah Dari Cordova untuk pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, yang juga anak kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 25 Disember 2018. Warkah yang menggunakan perkataan Kekanda dan Adinda itu telah mencemarkan segala keberanian yang telah ditampilkannya sebelum itu.

Perkataan Kekanda dan Adinda itu telah menjadi bahan sendaan akhir tahun yang sangat melucukan netizen. Manakan tidak, Nurul Izzah itu ibu tunggal dan masih muda lagi. Mujahid pula menteri agama.

Lebih-lebih lagi apabila Nurul Izah sendiri tidak bersetuju dengan surat berkenaan. Walaupun Mujahid mengatakan suratnya itu bertujuan mengangkat keindahan Bahasa Melayu, namun netizen tetap tidak bersetuju dan terus mempersendakannya.

Kekanda janganlah berasa hati sangat dengan nukilan ini, ya.

2. Sajat

Ini satu hal. Bukanlah hendak mendiskriminasi atau memalukan golongan transgender, tapi isu jantina usahawan kosmetik, Sajat, sama ada dia lelaki atau perempuan memang melucukan. Bersungguh-sungguh Sajat mengatakan dia perempuan. Bagi mencari jawapannya, pihak JAKIM menyatakan kesediaan untuk memeriksa jantina Sajat. Ini menyebabkan netizen ketawa kerana belum pernah didengar pegawai JAKIM terpaksa memeriksa jantina (melihat isi kelengkang) orang lain.

Isu ini bertambah kelakar apabila bapa Sajat mempertahankan dakwaan anaknya itu wanita dan mengenakan bayaran RM300 juta kepada mana-mana pihak yang mahu melihat sekali imbas alat kelamin anaknya itu.
Bagaimanapun, netizen kemudian gelak besar apabila tersebar dalam media sosial gambar Sajat semasa di sekolah menengah dan nama sebenarnya ialah Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman.

Habis, pecah lubang!

1. Datuk Seri Jamal Yunos

Namun demikian, anugerah utama Satira BEBASnews 2018 selayaknya diberikan kepada Ketua UMNO bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos. Semasa pemerintahan BN Jamal tampil sebagai seorang pembela UMNO dan Najib yang sangat ekstrem.

Jamal sering melakukan tindakan-tindakan luar biasa seperti memakai tuala dan menyelitkan berus gigi di telinga untuk mandi, memecahkan botol arak, membawa van jenazah serta membawa katil, urut dan memberi ais kerim di bangunan SUK, Shah Alam.

Jamal dan kumpulan baju merahnya juga mengekori dan memprovokasi setiap pergerakan kumpulan baju kuning Bersih, dengan tindakan serta kata-kata kesat. Paling diingati adalah adegan silat kera oleh anak-anak buahnya di kompleks beli-belah SOGO.

Bagaimanapun, Jamal kemudian ditertawakan oleh netizen apabila hidungnya berdarah akibat ditumbuk seseorang dalam suatu pergelutan ketika mengekori kumpulan baju kuning di sebuah pusat beli-belah di Ampang. Kata-katanya `Polis tumbuk saya… polis tumbuk saya’ dengan hidung yang berdarah menjadi bahan tawa netizen di media sosial.

Anehnya, apabila PH membentuk kerajaan selepas PRU-14, Jamal yang garang itu telah melarikan diri ketika dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, pada 25 Mei 2018. Alasannya untuk mengeluarkan wang di Tabung Haji dan bank. Setelah beberapa hari gagal menyerahkan diri kepada polis, Jamal tiba-tiba muncul dalam video pendek di ladang kelapa sawit.

Jamal berjaya menyembunyikan diri selama lebih sebulan, namun akhirnya ditangkap oleh Polis Negara Republik Indonesia di Jakarta, pada 2 Julai 2018. Jamal kemudian ditahan polis dan dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan. Sejak itu Jamal tidak berani lagi menunjukkan bantahannya kepada kerjaaan PH dengan aksi-aksi ekstrem seperti dulu.

Hahaha… lakonan yang sangat mantap.

Anugerah Satira Seumur Hidup:

Rakyat yang sukakan satira dan jenaka bagaimanapun sebenarnya rindukan seseorang yang mempunyai perwatakan sinikal, sarkastik, selamba, lucu dan licik. Individu ini disayangi kerana sentiasa menceriakan suasana. Oleh itu, anugerah istimewa ini selayaknya diberikan kepada Ahli Parlimen Pontian, yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.

Nasi goreng apa pulak lepas ni, YB?

– BEBASnews

Please follow and like us:

One Response to "8 Pemenang Anugerah Satira BEBASnews 2018"

  1. Sarimah  01/01/2019 at 4:16 pm

    Hebat bebasnews!!! Tahniah.

    Banyak lagi tu kalau nak ikut list menteri raja lawak…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.