Perokok tegar dan kawasan larangan merokok

Perokok tegar dan kawasan larangan merokok
Gambar atas: dua pekerja di sebuah restoran memakai penutup mulut ‘Dilarang Merokok’ –fotoBERNAMA
Oleh NURULANUAR MANSOR

 

Assalamualaikum dan selamat menyambut tahun baharu buat semua.

Izinkan Abam memulakan tulisan pertama pada tahun baru ini dengan membuat pengakuan bahawa Abam seorang perokok super tegar.

Sebagai seorang perokok super tegar dan kaki lepak restoran mamak, pastinya ketetapan kerajaan untuk menjadikan semua premis menjual makanan sebagai kawasan larangan merokok  satu ketetapan yang amat merengsakan diri ini dan rakan-rakan perokok yang lain.

Pun begitu, walaupun merengsakan, bagi Abam, ia merupakan satu ketetapan yang disambut baik (oleh Abam). Syabas kepada Kementerian Kesihatan kerana tetap juga melaksanakan larangan ini walaupun ramai dalam kalangan perokok menentangnya.

Abam tidak bercakap mewakili perokok yang lain. Abam ada sebab sendiri untuk menyokong dan menyambut baik keputusan kerajaan ini.

Sebab sokongan Abam si perokok super tegar adalah seperti yang berikut –

  1. Sejak lima hingga enam tahun yang lepas Abam telah cuba dengan gigih pelbagai usaha untuk berhenti merokok, namun semuanya gagal.

Antara sebab yang Abam kenal pasti menjadi punca kegagalan ini adalah pertamanya, kelemahan dan kedegilan diri sendiri.

Kalau orang lain menggunakan #mudahterhibur, Abam dalam soal gagal berhenti merokok ini menggunakan #mudahtergoda dan #mudahtewas.

Benar, Abam mudah tergoda dengan lenggang lenggok asap rokok yang dihembuskan oleh rakan-rakan perokok yang lain ketika kami lepak di restoran mamak.

Bukan salah mereka atau pemilik restoran mamak berkenaan, itu salah diri Abam kerana tidak mempunyai kekuatan diri untuk melawan aroma busuk asap rokok yang seolah-olah lebih menyelerakan daripada bau enak kari ikan di situ.

Seorang pelanggan merokok diluar kawasan restoran di bandar Kuantan hari ini. –fotoBERNAMA

Perlaksanaan larangan merokok di premis menjual makanan (secara peribadinya) membantu melawan godaan lenggang lenggok dan aroma busuk asap rokok di restoran mamak dan (diharapkan) pada masa hadapan akan dapat menjayakan usaha Abam untuk berhenti merokok.

  1. Larangan merokok di premis menjual makanan juga bermakna semakin kuranglah penjual-penjual rokok dalam kalangan pemilik restoran.

Abam tidak menyalahkan mereka menjual rokok. Menjual rokok, asalkan bukan rokok seludup bukan satu kesalahan. Lagipun kita kena faham bahawa mereka hanya mahu menambah pendapatan.

Salahnya salah diri Abam sendiri. Ingat #mudahtergoda tadi?

Ya, Abam #mudahtergoda.

Kotak rokok putih berona hijau dengan huruf yang ditulis menggunakan kaligrafi Gothic itu tidak pernah gagal mencuri penglihatan Abam bagaikan seorang gadis cantik. Semakin kuranglah pemandangan indah yang boleh menggoda Abam untuk membeli rokok.

  1. Abam tidak mahu hidup solo selama-lamanya.

Hakikatnya, majoriti gadis atau teruna yang masih tidak mempunyai pasangan tidak suka perokok, apatah lagi perokok tegar seperti Abam.

Dengan perlaksanaan larangan ini, peluang Abam dan gadis/teruna yang merokok untuk menemui calon pengisi kekosongan hati menjadi semakin cerah.

Logiknya begini, (1) larangan itu bermakna Abam tidak lagi boleh merokok di restoran mamak kegemaran Abam yang mana turut didatangi oleh ramai gadis comel. Ini bermakna, pada lebih 75 peratus masa Abam di situ mereka akan dapat melihat diri ini tidak memegang apatah lagi menghisap rokok dan ini mencerahkan harapan Abam untuk menamatkan kehidupan solo.

(2) Abam juga mahu mengelak daripada dikenakan denda RM10,000 jika ditangkap merokok di restoran mamak. Jika berlaku demikian, sukarlah bagi Abam membuat persediaan perkahwinan.

Kesimpulannya, bagi Abam, larangan merokok di premis menjual makanan ini banyak baik daripada buruknya.

Abam amat berharap, perkara baik seperti ini tidak hanya dilakukan terhadap perokok. Abam sarankan ia turut dibuat terhadap peminum arak.

Kerana, sebagaimana rokok itu menjejaskan kesihatan, pengambilan arak juga menghancurkan kehidupan.

Akhir kata, doakan Abam berjaya berhenti merokok tanpa gagal.

 

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.