Sebanyak 1,453 surat amaran, 3,879 diberi nasihat kerana langgar larangan merokok

Sebanyak 1,453 surat amaran, 3,879 diberi nasihat kerana langgar larangan merokok
Gambar atas: NSTP

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 1,453 surat amaran bertulis dikeluarkan dan 3,879 individu diberi nasihat untuk hari pertama penguatkuasaan larangan merokok di premis makan yang berkuatkuasa sejak semalam.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, 611 anggota penguatkuasa KKM semalam telah melawat 2,786 premis makan termasuk yang beroperasi 24 jam.

Dzulkefly juga menambah bahawa, sehingga jam 12 tengah hari tadi, pihaknya menerima 28 panggilan telefon berkaitan isu larangan merokok berkenaan.

“Pihak KKM pastinya akan meneruskan penguatkuasaan ini khususnya untuk tempoh enam bulan pertama, yang diistilahkan sebagai penguatkuasaan pendidikan secara menyeluruh bagi memastikan masyarakat benar-benar maklum dan memahami larangan ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media mengenai Aktiviti Penguatkuasaan Pendidikan Tempat Makan Sebagai Tempat Dilarang Merokok di Putrajaya, turut kelihatan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye / Foto NSTP

Mengulas berhubung sambutan yang diterima, Dzulkefly berkata ia sangat baik dan mengujakan.

“Dari sudut sokongan, saya ucapkan terima kasih kepada masyarakat seluruhnya dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil memberikan kerjasama.

“Begitu juga di media sosial. Sambutan sangat baik dan mengujakan. Kita harapkan ia berterusan dan tidak hangat-hangat tahi ayam,” katanya.

Pada sidang media itu, Dzulkefly turut menjelaskan bahawa, selain talian telefon, pihaknya akan melancarkan penggunaan aplikasi Whatsapp bagi membolehkan orang ramai menghantar gambar dan membuat aduan berhubung larangan berkenaan.

“Cuma kita mahu perkara ini berlaku kerana kebertanggungjawaban,” katanya.

Semalam, Dzulkefly menjelaskan bahawa pihaknya akan menggunakan pendekatan mendidik bagi tempoh enam bulan pertama penguatkuasaan larangan merokok itu.

Larangan merokok dimumkan KKM Oktober lalu dan berkuatkuasa sejak semalam di semua premis makanan di seluruh negara.

Pihak yang didapati melanggar larangan itu boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun.

Pemilik premis makanan yang didapati membenarkan pelanggan merokok akan didenda maksimum RM2,500.

Perokok bagaimanapun dibenarkan merokok 3 meter (kira-kira 10 kaki) dari premis makanan.

 

-Dipetik daripada Malaysiakini
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.