Pesuruhjaya Sukan akan lebih berkuasa

Pesuruhjaya Sukan akan lebih berkuasa

MINGGU lepas Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman bercerita mengenai pemerkasaan Akta Pembangunan Sukan dari sudut pewartaan tiga peraturan sebagai undang-undang subsidiari.

Ini berikutan pembentangan akta berkenaan untuk pindaan di Parlimen awal tahun lalu dengan sebahagiannya membabitkan tiga perkara utama; pelesenan, bidaan atau tawaran jadi tuan rumah kejohanan peringkat antarabangsa dan mengenai jawatankuasa pertikaian sukan.

Berikutan kepentingan dalam tiga peraturan subsidiari ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memanggil badan-badan sukan di bawah seliaan Pejabat Pesuruhjaya Sukan hadir memberikan pandangan baru-baru ini.

Zaiton memanglah atlet ternama 1980-an dulu dalam acara heptatlon dan lompat jauh.  Tetapi sebagai Pesuruhjaya Sukan banyak cabaran diharungi Zaiton sejak mengambil alih daripada Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang kini menerajui Majlis Sukan Negara.

Zaiton difahamkan tertekan kerana Pindaan 2018 ini perlu diperkemas agar ia boleh digunakan tahun 2019. Dalam hal pelesenan nampaknya ia tertumpu kepada permohonan bagi menganjurkan sesuatu atur cara dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia memiliki kuasa penentu.

Juga dirancang jumlah fi dikenakan untuk mendapatkan lesen penganjuran dan ini  tidak termasuk fi sanksi oleh persatuan sukan kebangsaan.

Dalam bidaan pula, ia telah dimulakan sejak Datuk Seri Azalina Othman Said menjadi Menteri Belia dan Sukan lagi tetapi tidaklah setegas mana. Masa itu menteri mahu persatuan sukan kebangsaan ada ‘kekuatan; dari  segi kewangan jika mahu membuat penawaran menjadi tuan rumah saingan antarabangsa.

Apa yang difahamkan, setiap badan sukan didaftarkan boleh menjalankan apa-apa kegiatan sukannya termasuk menganjurkan kejohanan antarabangsa. Tetapi kenapa perlu campur tangan terlalu kerap daripada Pesuruhjaya Sukan? Atau apa yang dimaksudkan bidaan ini ialah tawaran mengelola temasya sukan seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau yang lebih besar lagi kerana ia membabitkan pihak kerajaan sekali?

Sebelum ini jika wujud sebarang pertikaian sukan, ia akan dirujuk terus kepada Panel Penasihat Sukan yang dibentuk oleh Menteri Belia dan Sukan. Masa sekarang bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid mengepalai panel ini.

Dengan wujudnya Jawatankuasa Pertikaian Sukan, nampaknya Panel Penasihat Sukan ini boleh terhenti fungsinya. Atau sudah ada ura-ura panel ini bakal berkubur dalam sebulan dua lagi. Apa pun jawatankuasa pertikaian perlu dibarisi mereka yang berpengalaman dan bukan hanya diperuntukkan kepada pegawai-pegawai di bawah pengawasan Pesuruhjaya Sukan sahaja.

Dengar khabar Pesuruhjaya Sukan akan bersara dalam beberapa hari lagi; betulkah?

 

– BebasNews
Please follow and like us:

Post Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.