[VIDEO] Kenangan bersama Jaafar Rahim @ Edward de Bono Malaysia, Al-Fatihah…

[VIDEO] Kenangan bersama Jaafar Rahim @ Edward de Bono Malaysia, Al-Fatihah…
Gambar atas: Allahyarham Datuk Jaafar Rahim dan isteri Datin Fauziah, kakak Jaafar Maklong Pah dan saya semasa majlis perkahwinan anak mereka beberapa tahun lalu.

 

 

DATUK Jaafar Rahim, sahabat saya, abang angkat saya, penasihat pemikiran kepada penulisan saya dan saudara saya — terkenal dengan jolokan Edward de Bono Malaysia, pergi meninggalkan kita jam 11.25 pagi, 2 Januari 2019.

Saya menerima berita sedih itu ketika masih berada di Croydon, selatan London.

Allahyarham berusia 68.

Jaafar adalah pembaca buku tegar dan mempunyai berpuluh-ribu koleksi buku (ada yang mengatakan sebanyak 50,000) di rumahnya di Ampang Jaya.

Catatan saya bersama Jaafar Rahim.

Kebanyakan buku adalah mengenai tajuk pemikiran dan falsafah. Apa sahaja mengenai pemikiran ada dalam kutub-khanahnya.

Beliau memiliki koleksi lengkap Dr. Edward de Bono, koleksi lengkap buku Francis Fukuyama, dan hampir-hampir lengkap koleksi pemikiran buku Harold Bloom, Howard Gardner & Anthony Robbins, Marvin Minsky, Tony Buzan. Mereka antara penulis kesukaan arwah yang masing-masing menulis buku-buku, termasuk The Western Canon, The Theory of Multiple Intelligences dan Awaken the Giant Within.

Menurut tulisan Biblioholisme: Mengenal Dunia Pencinta Buku tulisan Shaharom TM Sulaiman (2012) beliau berkata: “Jaafar memang meminati pemikiran kreatif dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan pemikiran otak (brain studies). Oleh sebab itu, beliau sering diundang untuk membicarakan pemikiran kreatif, khususnya tentang pemikiran lateral Edward de Bono.”

Jaafar bukan beli dan simpan buku. Tapi Jaafar akan menghadamkannya dan mampu mengulas isi buku itu dengan baik. Pemikirannya juga cukup tajam dan beliau mampu menghafal fakta-fakta tulisan itu.

Beliau membaca dengan mata hatinya.

Jika saya malas membaca sesuatu buku, saya akan meminta beliau mengulasnya untuk saya. Beliau tidak pernah menghampakan saya.

Satu hari tidak lama dulu, arwah menelefon saya “bila hang nak belanja abang beli buku?”

Kebetulan lama juga saya tidak menjenguk beliau. Beliau sejak kira-kira dua tahun lalu menghidap sakit buah pinggang, yang memerlukannya membuat dialisis tiga kali seminggu.

Saya menjawab “abang tunggu, saya ambil abang di rumah pada hari Khamis. Tarikhnya adalah 11 Oktober 2018.”

Mendengar kata-kata saya beliau cukup teruja. Tersangat gembira. Buku adalah segala-gala baginya.

Tiba pada tarikhnya, saya meminta seorang sahabat saya, Saudara Rosmanizam Abdullah @ TL Ang menemani saya.

Dalam perjalanan beliau beberapa kali menelefon saya. “Bila nak sampai, abang dah siap?”

Dua kali beliau menelefon saya semasa saya memandu ke rumahnya. Tidak sabar-sabar Abang Jaafar.

Itu sebenarnya adalah tabiat beliau. Beliau memperlakukan kita bagaikan anaknya sendiri iaitu tidak sabar menunggu ketibaan bagi menjenguknya.

Setibanya di depan rumah, beliau sudah ada di pintu pagar. Sambil tersenyum lebar, beliau menjenguk ke dalam kereta.

Dia terkejut melihat Rosmanizam di dalam kereta. Saya tidak memberitahunya yang Rosmanizam ikut sekali.

Signifikannya saya membawa Rosmanizam ialah untuk mengimbau kembali sejarah hidupnya mungkin lebih 30 tahun lalu apabila Rosmanizam menjadi saksi perkahwinan Jaafar dengan isteri kesayangannya sehingga hari ini, Kak Fauziah.

Allahyarham Datuk Jaafar Rahim (kanan), saya dan Rosmanizam (tengah) bersama buku-buku yang dibeli di Kinokuniya KLCC pada 11 Oktober 2018.

Itu kisah lama, kata Jaafar.  Masing-masing kami ketawa sambil saya memandu ke kedai buku kegemaran Abang Jaafar iaitu di Kinokuniya di KLCC.

Sampai di kedai buku itu, tanpa saya sedari Abang Jaafar hilang daripada pandangan saya. Dia hilang. Dan kemudian saya menemuinya di bahagian buku pemikiran Islam. Sambil menelaah buku yang sedang dibeleknya.

“Boleh abang ambik beberapa buku? Saya kata abang ambillah…” Beliau tersenyum, puas.

Saya juga amat puas dapat melayan abang ku itu. Bukan beliau tidak mampu untuk membeli sendiri, tetapi mahu saya membeli untuknya.

Akhirnya beliau mengambil tiga buah buku iaitu Lost Islamic History: Reclaiming Muslim Civilisation from the Past (Firas Alkhateeb);  Islamic Civilisation and the Modern World (Osman Bakar) dan sebuah buku falsafah. Saya pula membeli dua buah buku iaitu The World Three Zeros (Mohammad Yunus) dan Billion Dollar Whale. Manakala Rosmanizam mengambil buku 1MDB: The Scandal That Brought Down a Government.

Kemudian kami singgah di food court di hujung kedai buku itu sambil minum teh tarik dan bersembang-sembang.

Itulah kenangan terakhir saya dengan beliau. Pada Khamis 20 Disember lalu saya dan Rosmanizam menziarahi beliau yang koma di Wad Kecemasan Urologi & Nefrologi HKL.

Keadaannya kritikal. Beliau mengalami serangan jantung dan jangkitan paru-paru.

Isterinya Kak Fauziah meminta kami mendoakan beliau.

Di hospital saya juga menemui kakak kepada Jaafar, panggilan mak long Pah sekitar usia 80an; dia tak henti-henti menceritakan kenangannya pernah tinggal di kampung halaman saya di Kampung Tanjung, Mukim Jeram, Tunjang, Jitra, Kedah.

Mak long Pah dan ayahnya yang dikenali sebagai Pak dak Rahim pernah tinggal di kampung saya sebelum mereka berpindah ke Kuala Kurau, Perak sekitar 70an. Saya pernah membawa Jaafar ke kampung itu untuk menemui orang lama yang mengenali Pak dak Rahim.

Saya dan Datin Fauziah serta Mak long Pah dan anaknya semasa menziarahi Datuk Jaafar yang koma di HKL pada 20 Disember 2018 lalu.

Jaafar Rahim seorang yang cukup ceria. Tiada erti sakit baginya. Setiap kali tulisan saya Cuit tersiar dalam Utusan Malaysia, beliau tidak pernah “miss” mengulas mengenainya.

Sambil membuat dialisis, dia dan rakan-rakannya membaca tulisan dalam Utusan Malaysia itu.

Beliau adalah pengikut tegar kolum Cuit. Baginya tulisan itu cukup kritis dan penuh dengan soal pemikiran. “Kita kena banyak bermain dengan fikiran,” nasihat beliau kepada saya.

Jaafar banyak mengajar saya mengenai pemikiran dan yang saya sering memasukkan istilah-istilah pemikiran dalam tulisan saya. Ada antaranya dalam istilah latin, yang cukup dihafal beliau.

Jaafar ialah bekas pegawai perancang bahasa, bahagian teori dan kritikal bahasa di DBP. Beliau amat bangga dengan pekerjaannya sehinggalah bersara pada 24 November 2006. Beliau dilahirkan di Kuala Kurau, Perak pada 27 November 1950. Memiliki ijazah Sarjana Muda Sastera (Sastera dan Sains Politik) dari USM.

Pada 3 Disember lalu semasa saya menyatakan hasrat untuk memulakan portal berita bebasnews setelah berhenti dari akhbar Utusan Malaysia, beliau menghantar mesej:

“Selamat memasuki gapura yang baharu. Moga sukses. Kata nak jemput abang bagi talk bila tu?”

Aksioma (2012) buku terbaharu tulisan Datuk Jaafar Rahim merupakan kompilasi 75 buah esi yang membicarakan persoalan kehidupan berkaitan aspek social, politik, kebudayaan agama, sejarah, kesusasteraan dan falsafah. Katanya: “Akal kita tidak pernah tua dan tidak mungkin menjadi tua; justeru, ini adalah peluang terbaik untuk menggunakannya secara maksima”.

Benar, saya ingin menjemputnya untuk memberi wacana mengenai soal pemikiran dalam konteks pemikiran Melayu. Namun, ia tidak kesampaian.

Saya juga amat terharu kerana jemputannya — berkali-kali — ke rumahnya bagi menikmati gulai ikan sembilang masakan Kak Fauziah. Jemputan itu dibuat kerana saya pernah memberitahu Abang Jaafar meminta Kak Fauziah memasak gulai kepala ikan sembilang kepada saya.

“Setiap kali abang ke pasar tengok ikan sembilang, abang teringatkan hang. Bila hang nak mai makan gulai ikan sembilang?

“Hang bagi tau awai supaya abang boleh pi beli,” katanya dalam loghat Utara. Namun, itu pun tidak kesampaian.

Dalam wikipedia beliau ditulis juga:

Jaafar mula menulis sejak 1969 untuk khalayak majalah, akhbar , radio dan televisyen. Beliau adalah kolumnis ‘Dunia Pemikiran’ dalam akhbar Utusan Malaysia sekitar 1993-1996. Beliau amat mengagumi pemikiran lateral yang dipelopori Dr Edward de Bono. Lalu beliau mencetuskan pemikiran 4K iaitu ‘Kerohanian, Kebitaraan, Kesaintifikan dan Kekreatifan’.

Beliau hanya menulis esei dan kritikan,  tidak ada cerpen atau novel. Setakat ini beliau telah menghasilkan buku Misteri Dalam Sains dan Catatan Si Malin Kundang. Beliau hanya menulis sebuah puisi dalam bahasa Inggeris, ‘Let Flower Bloom in the Garden of Cham’ yang dideklamasikan di hadapan orang Cham di California pada Oktober 1996 hasil rasa sedih yang mendalam terhadap penderitaan mereka.

Berbahagialah Abang Jaafar di sana. Kenangan abang dengan saya tidak akan dapat saya lupakan.

Abang cukup istimewa. Abang cukup bernilai. Seorang pemikir yang cukup hebat.

Benar kata pepatah: Harimau Mati Meninggalkan Belang, Manusia Mati Meninggalkan Nama.

Itulah Datuk Jaafar Rahim. Satu nama yang cukup istimewa.

Al-Fatihah…

 

— BebasNews
Please follow and like us:
error

3 Responses to "[VIDEO] Kenangan bersama Jaafar Rahim @ Edward de Bono Malaysia, Al-Fatihah…"

  1. Lukman  03/01/2019 at 9:20 pm

    Al Fatihah.

    Reply
  2. Zack  03/01/2019 at 9:32 pm

    Allahyarham juga kawan lama saya yang saya kenali mulai saya berlatih di DBP pada tahun 1977. Memang seorang pemikir dan suka juga berjenaka. Alfatihah

    Reply
  3. Mohd. Shah Abdullah  03/01/2019 at 10:15 pm

    Takziah. Saya mendoakan roh Allahyarham dihimpun bersama golongan solehin. Alfatihah

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.