Ribut Pabuk: K’jaan nasihat jauhi pantai Batu Ferringhi

Ribut Pabuk: K’jaan nasihat jauhi pantai Batu Ferringhi
Gambar atas: Aziz A. Shariff

 

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang menaikkan tanda amaran bendera merah di persisiran pantai negeri ini sebagai panduan kepada orang ramai agar menjauhi kawasan berkenaan terutama di pantai Batu Ferringhi, dekat George Town hari ini berikutan amaran ribut tropika Pabuk.

Pengarah APM negeri, Kolonel (PA) Pang Ah Lek berkata ia berikutan keadaan angin kencang dengan kelajuan antara 40 hingga 50 kilometer sejam yang sedang melanda kawasan pantai di Pulau Pinang ketika ini.

Katanya ketika ini juga paras air laut dikategorikan sebagai berbahaya dengan ombak sehingga tiga meter dan laut bergelora malah ia tidak selamat untuk sebarang aktiviti.

“Keadaan ombak tepian pantai terutama di sebelah daerah Timur Laut agak kuat tetapi saya dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi keadaan itu dijangka beransur pulih, namun saya harap orang ramai tidak mandi laut bagi tempoh sehari dua ini kerana kita bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi di George Town hari ini.

Beliau berkata pihak APM terutama pasukan menara Penyelamat Pantai melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan sekitar persisir pantai di Pulau Pinang dari semasa ke semasa sejak dua hari lepas bagi memantau keadaan.

Pang berkata pengusaha aktiviti sukan air juga dinasihatkan agar tidak membawa pengunjung ke laut sebagai langkah keselamatan.

“Kami harap pengusaha aktiviti sukan air juga dapat menyalurkan maklumat kepada orang ramai serta pelancong berhubung situasi semasa di persisir pantai dan laut sekarang ini kerana APM telah memberikan taklimat kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Pantai Bersih, Butterworth dekat sini mendapati kawasan pesisir pantai yang selalu menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah lengang malah beberapa peniaga di Hentian Rehat dan Rawat Bagan Ajam di situ juga menutup perniagaan mereka.

Pesisir pantai di Pulau Pinang antara yang terjejas dengan bencana alam ribut tropika Pabuk yang turut menyebabkan hujan lebat awal pagi tadi, namun tiada kawasan dilanda banjir setakat ini.

– Bernama
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.