Nikita Mirzani lepaskan hijab, cetus sensasi terbaharu

Nikita Mirzani lepaskan hijab, cetus sensasi terbaharu

Oleh FAUZAN UDA AHMAD

BINTANG sensasi Indonesia, Nikita Mirzani, 32, mengawali tahun 2019 dengan melakukan sensasi terbaharu setelah melepaskan hijab yang dipakainya sejak lima bulan lalu.

Perubahan pada diri Nikita sudah diperlihatnya dalam laman Instagramnya sejak beberapa hari lalu. Sementara kemunculan pertamanya pada khalayak tanpa hijab adalah ketika muncul memberi keterangan di ibu pejabat polis Metro, Jakarta Selatan pada 3 Januari lalu.

Nikita pertama kali muncul di khalayak tanpa memakai hijab pada 3 Januari 2019.

Dalam majlis itu, Nikita yang berambut perang yang dikerumuni wartawan mengesahkan pelepasan hijab itu tanpa mahu menyatakan alasannya.

Nikita cuma berkata, dia mengambil masa yang panjang untuk melakukan perubahan itu yang dirasakan memberi faedah terhadap kariernya seterusnya. Nikita turut mengesahkan kembali menjadi DJ (disc jockey) di kelab malam sebagai salah satu sumber pendapatannya.

Tindakan Nikita menanggalkan hijab menjadi berita hangat dan sensasi dalam media sosial Indonesia dan halaman berita dalam web berita.

Nikita yang lahir di Jakarta pada 17 Mac 1986 menafikan anggapan ramai bahawa faktor ekonomi menyebabkan dia melepaskan hijab.

Nikita ketika diwawancara apabila pertama kali memakai hijab Julai 2018.

Tindakan Nikita memakai hijab pada 10 Julai 2018 mengundang sensasi sedangkan sebelum itu terkenal dengan sering bergaya dan berperawakan seksi.

Beliau tiba-tiba memakai hijab ketika krisis rumah tangganya dengan Dipo Latief memuncak.

Nikita dikenali sebagai selebriti yang sukakan kehidupan mewah.

Tiga perkahwinannya gagal bertahan. Nikita enggan mendedahkan identiti suami pertamanya. Perkahwinan pada 2006 hanya bertahan beberapa bulan dan melahirkan seorang anak, Laura Meizani Nasseru Asru. Pada tahun 2013, Nikita berkahwin dengan warga New Zealand, Sajad Ukra. Nikita bagaimanapun mengemuka tuntutan cerai dan mereka berpisah pada Disember 2015. Perkahwinan itu menghasilkan anak yang dinamakan Azka Raqila Ukra.

Wajah Nikita ketika berhijab.

Nikita kini menuntut cerai diq Pengadilan Agama (Mahkamah Syariah) Jakarta Selatan bagi menamatkan perkahwinan kali ketiga dengan Dipo Latief (Ahmad Dipo Difiro). Perkahwinan mereka berlangsung secara siri (senyap) pada 18 Februari 2018. Perkahwinan tanpa didaftarkan ini menyukarkan urusan tuntutan harta.

Perkahwinan Nikita dan Dipo tidak mendapat restu keluarga Dipo, yang mana ayahnya seorang jutawan dan bekas menteri.

Nikita mendakwa tidak mendapat kebahagiaan hidup apabila berkahwin dengan Dipo. Malah mendakwa bukannya menerima nafkah harta dari Dipo sebaliknya mengeluarkan wang untuk membiayai kehidupan Dipo.

Namun walaupun menyesali hubungan dengan Dipo, Nikita kini sedang hamil. Justeru perkahwinannya dengan Dipo hanya akan berakhir selepas kelahiran anak itu dan tamat tempoh berpantang.

Walaupun ketiga-tiga perkahwinannya kandas, bintang sensasi ini berharap akan menerima cinta baru. Katanya, dia mendambakan lelaki yang mampu membimbingnya menjadi ibu dan isteri yang baik hingga ke akhir hayat.

Bintang bermulut celupar ini akan terus mencipta sensasi. Apakah sensasi seterusnya?

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.