Silap tak beritahu awal tapi Rosyam tetap dikagumi

Silap tak beritahu awal tapi Rosyam tetap dikagumi

Oleh FAUZAN UDA AHMAD

DATUK Rosyam Nor silap kerana hanya baru semalam (5 Januari) membuat pengakuan. Sepatutnya bintang dengan nama penuh Mohamed Noor Shamsuddin, 52, ini berlaku jujur dengan mendedahkan situasi sebenar kepada media ketika majlis pelancaran ST Rosyam Mart pada 15 September 2018 lalu.

Jika pendedahan ini dilaku lebih awal, pasti penularan dalam media sosial tidak terjadi.

Perkembangan pesat media sosial (socmed) menyebabkan kehidupan peribadi individu terutama mereka yang terkenal jadi ikutan dan sukar disembunyikan. Khidmat sosial media kini menjadi sesuatu yang menakutkan bagi setiap orang.

Orang ramai menjadi semakin sukar menjadi pembawa berita dan pendengar berita tanpa tapisan.

Pendedahan sebenar mengenai pemilikan pasar raya itu semalam tidak akan mampu menarik kepercayaan masyarakat sepenuhnya. Sebahagian masyarakat tetap beranggapan bahawa Rosyam menipu selama ini.

Dalam sidang media pada 15 September 2018 itu, Rosyam cuma menyatakan bahawa dia menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank. Katanya, pengalamannya selama lima tahun menjadi pembantu kedai sejak berusia 13 tahun mendorongnya untuk terbabit dalam perniagaan peruncitan.

Dia juga memberitahu akan membuka tiga cawangan lagi dalam waktu terdekat di Shah Alam, Bangi dan Melaka.

Dikatakannya juga bahawa pasar raya itu beroperasi 24 jam dan menjual pada harga patut bagi membantu mengurangkan kos perbelanjaan rakyat .

Pasar raya itu terletak di sederet bangunan rumah kedai di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Akibat publisiti meluas termasuk melalui laman sosial dan menawarkan sejumlah barang pada harga murah, pasar raya itu dibanjiri orang ramai sebelum jam pembukaannya pada 15 September lalu.

Ketika itu dalam kalangan wartawan dan seterusnya orang ramai percaya bahawa pasar raya itu adalah milik beliau sepenuhnya dan bangga di atas pencapaian itu.

Dalam sidang media semalam, Rosyam mengakui bahawa dia tetap pemilik syarikat ini, Cuma memegang saham 10 peratus. Sedangkan selebihnya milik Datuk Raymond Ho Cheng Hann (89 peratus) dan 1 peratus lagi milik Alan Ho Cheng Yek (adik Raymond).

Rosyam menafikan dakwaan dia cuma menjadi duta syarikat berkenaan dan menjadi ‘barua’ kepada pemegang saham utama.

Insan seni popular adalah antara insan terpilih sebagai pelaris promosi. Ia fenomena di seluruh dunia. Malah terdapat segelintir artis yang cuba mengaku menjadi pemilik sendiri sesuatu produk itu, sedangkan dia cuma dibayar sebagai duta atau mempromosi produk.

Dengan memiliki pengalaman hidup berliku sejak kecil, Rosyam diyakini mampu menjadi usahawan berjaya sebelum berusia 60 tahun atau paling lewat sebelum 65.

Buku autobiografi ‘Rosyam Nor; Jadi jutawan dari budak setinggan’ dilancar oleh ibunya Rubiah Kamarudin.

Rosyam perlu dijadikan ikon bagi kalangan insan seni dan kaum Bumiputera dalam kejayaan meniti liku-liku kejayaan.

Buku autobiografi tulisan Rosyam yang dilancar pada 12 April 2016 berjudul ‘Rosyam Nor: Impian Jutawan Budak Setinggan’ perlu menjadi bacaan ramai. Walaupun bersifat autobiografi ia turut memberi motivasi.

Sesuai sebagai mengingatkan kehidupan lamanya, pelancaran autobiografi itu dilakukan Bangsar South (dulu kawasan setinggan Bukit Kerinchi) dan dilancarkan oleh ibunya, Rubiah Kamarudin.

Perkampungan setinggan Bukit Kerinchi (tidak jauh dari kompleks Angkasapuri) yang didudukinya sejak kecil banyak mendorongnya untuk merubah kehidupannya.

Rosyam sudah berjaya sebagai insan seni dengan meraihkan pelbagai anugerah. Cuma dia tetap patuh berpegang kepada kata-katanya bahawa tidak akan menjadi pengarah.

Dia sanggup berlakon di bawah orang lain sedangkan drama itu diterbitkan oleh syarikatnya sendiri.

Selepas menamatkan SPM, ‘Gila Gila Remaja’ pada tahun 1986 adalah penglibatan pertamanya dalam filem. Filem itu arahan bapa saudaranya Hussein Abu Hassan. Rosyam berlakon bersama sepupunya Faizal Hussein.

Namun Rosyam mula dikenali sebagai pelakon berwatak apabila muncul sebagai salah seorang peranan utama filem ‘Perempuan, Isteri dan …‘ pada tahun 1986. Dalam filem arahan Uwei Hj Saari itu beliau diganding dengan Nasir Bilal Khan dan Sofea Jane.

Kejayaan Rosyam semakin cerah apabila berjaya memiliki Suhan Movie and Trading yang sebelumnya dimiliki Panshah.

Kejayaan memiliki Suhan Movie adalah kejayaan kepadanya secara peribadi. Bermula bekerja di syarikat itu ketika berusia 18 tahun Cuma sebagai pekerja am akhirnya menjadi Pengarah Urusan syarikat itu.

Melalui Suhan Movie Rosyam kini menjadi antara penerbit pilihan stesen-stesen TV tempatan.

Rosyam berusaha untuk memperkembang perniagaan dengan tidak terlalu bergantung kepada industri filem/drama.

Dia juga terlibat dalam bidang perhotelan dengan menjadi rakan kongsi My Hotel iaitu hotel bajet yang kini mempunyai tujuh cawangan di sekitar Kuala Lumpur.

Rosyam turut terbabit dalam bidang perkebunan sejak 2010. Dia mempunyai 175 ekar tanah di Tanaman Kekal Pertanian Pengeluaran Makanan (TKPM), Lanchang, Pahang. Antara keluarannya ialah nangka madu.

Dia turut memiliki ladang herba yang dikenali sebagai Taman Impian Herba dan Jati). Ladang itu terletak di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah, Melaka. Rosyam kini memasarkan jus durian belanda yang dikenali sebagai Adraa.

Di atas kejayaannya dalam bidang lakonan dan keusahawanan, Rosyam menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada Oktober 2013.

Turut menerima anugerah dan gelaran pada masa yang sama ialah insan seni Ramli Sarip dah jurulatih bolasepak Ong Kim Swee.

Dengan rekod cemerlangnya dalam bidang keusahawanan Rosyam mempunyai peluang cerah dalam bidang peruncitan. Bukan mustahil tidak lama lagi Rosyam mampu untuk menjadi pemegang saham majoriti ST Rosyam Mart. Atau dia mungkin akan menubuhkan pasar raya lain dengan menggunakan kekuatan namanya seperti Pasar Raya Rosyam Noor.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.