Menyelami hukum penggunaan matawang bitcoin

Menyelami hukum penggunaan matawang bitcoin

Oleh AHMAD TARMIZI ABDUL RAHIM

ISLAM adalah agama ‘langit’ yang suci lagi syumul. Ia tidak diinovasikan oleh manusia, jauh sekali dicipta oleh golongan agamawan berkepentingan demi memuaskan agenda nafsu masing-masing.

Firman Allah SWT: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu..,” al-Maidah:3

Sekecil-kecil perkara dalam Islam wajib disandarkan kepada rujukan utama yang muktabar iaitu al-Quran dan hadis. Bagaimanapun masih terdapat beberapa kelonggaran dibenarkan yang melibatkan urusan ijtihad seperti membabitkan isu-isu fikah.

Namun ia tetap perlu mematuhi dan tidak melanggar garis panduan ditetapkan al-Quran dan hadis. Ini kerana matlamat akhir umat Islam ialah masuk syurga dan mengelakkan diri daripada api neraka.

Begitulah juga dengan fenomena semasa iaitu mata wang kripto, adakah ia dibolehkan dalam Islam? Sila baca nukilan Mufti Wilayah Persekutuan ini untuk mencerahkan kegelapan, sekali gus mampu membuat pusingan-u jika tersilap. Semoga bermanfaat, Insya-Allah.

BAYAN LINNAS #153: HUKUM PENGGUNAAN MATA WANG BITCOIN
Butiran
Dimuatn aik oleh Luqman Tarmizi
Diterbitkan: 15 November 2018

http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2773-bayan-linnas-153-hukum-penggunaan-mata-wang-bitcoin

Kesimpulan:

Secara tuntasnya, setelah menilai pandangan ulama dan sarjana Islam berkenaan bitcoin, maka didapati mata wang ini tidak menepati ciri-ciri mata wang yang ditetapkan dalam Islam apabila ia tidak mampu menyimpan nilai secara konsisten. Meskipun masyarakat umum boleh menerimanya sebagai mata wang namun ketidakstabilan nilai pada mata wang ini boleh mengundang kemudaratan kepada pengguna pada masa akan datang.

Selain itu, ketiadaan badan berautoriti yang mengawal selia mata wang ini juga boleh mengundang pelbagai perkara negatif seterusnya mampu mengganggu-gugat sistem mata wang rasmi dalam sesebuah negara.

Berdasarkan pemerhatian terhadap amalan semasa, bitcoin lebih dilihat sebagai satu aset pelaburan, dan ia tidak menepati tujuan asal penciptaan bitcoin itu sendiri, iaitu sebagai mata wang alternatif kepada sistem mata wang fiat yang sedia ada.

Justeru, tindakan menyekat penggunaan mata wang ini adalah wajar berdasarkan kepada kaedah Sadd al-Zarai’ (menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan) agar ia tidak berlegar di kalangan masyarakat umum. Sesuatu yang asalnya harus boleh dicegah apabila ia ternyata boleh membawa kemudaratan yang lebih besar.

Pemerintah dan badan berautoriti juga berhak untuk menghalang sebarang transaksi bitcoin ini demi memelihara maslahah masyarakat umum. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: Tindakan seseorang pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahah.

Maka mata wang bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’iy kerana ia tidak menepati sepenuhnya ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, dan ia mampu memberikan pelbagai ancaman terhadap kemaslahatan umum. Namun begitu, hukum ini boleh berubah jika penambahbaikan dilakukan terhadap bitcoin samada dari sudut pengeluaran, pengawalan harga, sistem keselamatan di bursa dan regulasi untuk mengelakkannya daripada diekploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan hujahan ini juga, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa Bitcoin yang terdapat pada masa sekarang tidak menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam, diputuskan bahawa Bitcoin mampu mengundang pelbagai kemudaratan terhadap sistem kewangan sesebuah negara. Oleh kerana itu, penggunaan Bitcoin yang ada pada masakini sebagai satu mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum.

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.