MOM perkemas pentadbiran dan kriteria pemilihan

MOM perkemas pentadbiran dan kriteria pemilihan

TAHNIAH kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang berupaya memperkemaskan lagi kriteria pemilihan atlet bagi menyertai temasya sukan seperti ke Sukan SEA, Asia, Komanwel dan Olimpik.

Mesyuarat lembaga eksekutif badan itu pada 8 Januari telah meluluskan kriteria berkenaan yang dikemukakan oleh sebuah badan bebas diketuai bekas timbalan presiden MOM  Tan Sri Dr. Mani Jegathesan.

Bukan itu sahaja, MOM dikepalai presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria tidak sabar-sabar ingin memperhebatkan imej pertubuhan itu dengan mencadangkan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) walaupun sudah ada pengurus besar.

Pengurus besar yang sedia ada, Fong Wan Hor; anak didik  bekas setiausaha, Datuk Sieh Kok Chi dirasakan amat berpengalaman. Dia naik pangkat dari jawatan eksekutif biasa seterusnya timbalan pengurus besar hinggalah ke jawatan sekarang.

Setelah ketiadaan pegawai media dan bekas wartawan Malay Mail, Tony Mariadass, Norza juga berkehendakkan seorang pegawai media tetapi berlainan fungsi. Norza mahu fungsi pegawai media terbaharunya boleh menguasai media sosial untuk mengorak kecemerlangan MOM.

Berikutan berjawatan presiden, Norza difahamkan sedang mencari siapa calon yang sesuai sebagai pegawai khasnya. Tentulah pegawai khas ini boleh memacu kecemerlangan imejnya di samping pelbagai perancangan lain.

Kini MOM berbelanja hampir RM100,000 sebulan untuk membayar gaji dan elaun pekerja.  Dengan penambahan beberapa jawatan lagi, belanjawan bulanan pasti melonjak. Apakah ini memadai?

Ada terdengar muzium sukan di MOM juga akan dipertimbangkan untuk melaksanakan penambahbaikan ratusan ribu ringgit. Kononnya untuk menarik orang ramai atau pelancong.

Sebahagian besar punca kewangan yang diterima MOM sekarang adalah menerusi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan Majlis Olimpik Asia. Hotel MOM pun bermasalah sekarang.

MOM merupakan sebuah badan yang mengeluarkan belanja atlet ke multi-sport games. Cuma yang masih menguntungkan akhir-akhir ini, kerajaan terus menampung sebahagian belanja penyertaan ke temasya sukan itu kemudian. Apakah sekarang kerajaan masih boleh membantu?

 

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.