[EKSKLUSIF] Ara Johari dambakan yang lebih baik bagi AJL33

[EKSKLUSIF] Ara Johari dambakan yang lebih baik bagi AJL33

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BARU ada tiga buah lagu iaitu ‘Warkah Untukku’, ‘Bunga’ dan ‘Paku’ tetapi rezeki Ara Johari, 22, ibarat penyanyi yang memiliki tiga album rakaman.

Bintang program realiti Akademi Fantasia 2016 itu berkata, dia bersyukur kerana sering mendapat undangan menjayakan persembahan pentas.

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 22, yang ditemui pada acara sambutan Tahun Baharu di Dataran Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini memberitahu, dia juga akan mengadakan persembahan pada Anugerah Digital Muzik ERA 2018 yang akan berlangsung pada 25 Januari ini.

“Alhamdulillah, sehingga kini undangan untuk saya buat persembahan pentas tak pernah putus. Kadang-kadang saya dapat undangan persembahan secara solo dan kerap kali saya akan dapat undangan sama pentas dengan Syamel. Lagi mudah sebab kami di bawah satu pengurusan.

“Biarpun sering satu pentas tapi kami tidak pernah diminta oleh pihak penganjur untuk berduet kerana semua orang tahu siapa pasangan duet Syamel iaitu Ernie Zakrie,” jelasnya.

Ara yang baru tampil dengan lagu ‘Paku’ ciptaan Hazama memberitahu, untuk single ketiga, dia mahu mencuba karya komposer lain selain Akim Ahmad yang mencipta dua lagu untuknya sebelum ini. ‘Paku’ yang berentak pop rock itu baru dua bulan diperkenal kepada peminat muzik tanah air.

Kata Ara, pada awalnya pendengar agak susah untuk menerima perubahan genre muzik yang diketengahkannya.

“Awalnya agak susah juga orang nak terima perubahan yang saya buat ini. Maklumlah sebelum ini dua lagu dendangan saya berentak balada, tiba-tiba lagu ‘Paku’ ke arah pop rock pula.

“Saya pilih Hazama sebab nak cuba sesuatu yang baharu dan mencuba muzik yang menjadi ikutan sekarang,” jelasnya.

Namun kata Ara, dia terpaksa memperlahan promosi lagu ‘Paku’ kerana mahu membuat persediaan untuk Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) yang bakal berlangsung pada 3 Februari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Jelasnya, walaupun AJL33 lebih kepada menilai karya ciptaan komposer dan penulis lirik, namun sebagai penyanyi lagu tersebut, dia mahu memberikan persembahan yang terbaik.

Belajar vokal atasi kelemahan

Jika tahun lepas AJL32, Ara mempertaruh karya Akim Ahmad menerusi lagu ‘Warkah Untukku’, tahun ini sekali lagi mendendangkan lagu ciptaan komposer tersebut bersama-sama dengan Laq dan Kadok.

Sebagai persediaan untuk AJL33, Ara turut mengikuti kelas vokal bimbingan Shaffiq Erwin.

“Tahun lepas disebabkan gementar, saya ada buat kesilapan dan sedar yang saya kurang tahu tentang teknik vokal.

“Saya mahu pastikan kali ini persembahan saya untuk lagu Bunga dapat memberi kesan kepada penonton,” katanya yang berkawan rapat dengan penyanyi Wany Hasrita dan Wani Syaz.

Ara yang turut muncul dalam video yang dimuat naik dalam Instagram @wanisyazofficial, mengakui mereka amat rapat.

“Saya dengan Wany Hasrita dan Wani Syaz bukan setakat rapat, kami adalah sahabat baik sebab ‘satu kepala’.

“Bila perangai masing-masing lebih kurang saja, itu yang buat kami mudah rapat dan menjadi kawan,” akuinya.

Melihatkan Ara berkolaborasi dengan rakan-rakannya, penyanyi itu juga menyimpan hasrat untuk berduet bagi single keempat nanti.

Jelas Ara, dia mahu mencari pasangan duet yang mampu membawa lagu pilihannya.

“Single keempat mungkin berduet dan masih mencari pasangan duet yang boleh bawa lagu yang saya nak iaitu pop yang catchy.

“Belum ada pilihan tapi dalam fikiran ada terlintas nama Khai Bahar atau Andi Bernadee.Kalau pasangan perempuan mungkin Zizi Kirana untuk rap,” jelas Ara tentang perancangannya.

BAHAGIAN DUA: Ara Johari hendak buat bisnes katering tahun ini

— BebasNews

 

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.