[EKSKLUSIF] Lapan tahun Eddie ‘merajuk’ dengan Awie

[EKSKLUSIF] Lapan tahun Eddie ‘merajuk’ dengan Awie

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

APABILA bercakap tentang Wings, tidak boleh tidak kita akan menyentuh tentang salah seorang ahli kumpulan ini yang amat penting di samping Awie, Black, Edrie dan Sham iaitu Eddie.

Eddie atau nama sebenarnya Samsaidi Ulong Idris, 50, merupakan satu-satunya ahli/pemuzik yang tidak pernah meninggalkan Wings sejak menganggotai kumpulan rock ini pada tahun 1986 sehinggalah hari ini.

Eddie bersama isteri, Norlela.

“Walaupun tindakan beberapa ahli Wings keluar ditukar orang baru, namun ia sedikit pun tidak mampu menukar pendirian saya untuk kekal dengan Wings kerana minat dan sayang saya pada Wings.

“Tetapi apabila Awie meninggalkan Wings pada tahun 1993 disebabkan ‘orang luar’ saya ambil masa beberapa bulan untuk menghilangkan kesedihan di hati saya.

“Bayangkan selama 17 tahun bersama Wings kami bagaikan adik beradik tiba-tiba disebabkan ‘orang luar’ ia menjejaskan semangat setia kawan kami.

“Berbulan-bulan saya menangis memikirkan apa yang terjadi dan kesedihan itu hanya hilang apabila anak pertama saya lahir,” cerita Eddie ketika ditemui bersama isterinya, Norlela dan anak keduanya Billa di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sejak saat itu, Eddie membawa rajuknya yang berpanjangan mematikan diri apabila terserempak Awie di mana-mana.

Malah ketika bertembung dengan Awie di dalam lif, Eddie tidak menyapa Awie apalagi untuk bercakap.

“Saya tak marah Awie, tetapi saya sedih dan merajuk apabila Awie pergi dan tinggalkan Wings kerana sesuatu sebab,” cerita Eddie.

Sepanjang Awie meninggalkan Wings dan muncul dengan album solonya, Wings juga muncul dengan beberapa album bersama Superfriends antaranya “Orang Asing” (Mel), “Biru Mata Hitamku, Mencari Asal Usul” (Mus), “Opera Dalam Kenangan (1)” dan “Opera Dalam Kenangan (2)” dan beberapa album lagi bersama Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan dan Datuk M. Nasir.

Bagaimanapun setelah lapan tahun meninggalkan Wings, akhirnya Awie kembali bersama kumpulan rock itu.

Apabila menyertai semula Wings, Awie datang berjumpa Eddie di rumahnya dan meluahkan rahsia hatinya kenapa meninggalkan Wings.

“Saya terkejut apabila mendengar penjelasan Awie kenapa dia tinggalkan Wings sekian lama. Rupanya Awie juga merajuk macam saya.

“Awie yang saya kenali adalah seorang yang suka memendam perasaan dan tidak suka bercerita apa yang melukakan hatinya. Tetapi dalam perjumpaan itu, saya dapat rasakan apa yang melukakan hati Awie,”cerita Eddie yang berharap tiada sesiapa lagi yang akan mengganggu gugat hubungan silaturrahim Wings.

Majlis perkahwinan anak bungsu Eddie, Aidil baru-baru ini. Duduk depan: Nor Najmi Nadira dan Nor Najmi Nabila. Duduk belakang: Eddie, Muhammad Aidil Hidayat dan isteri, Alleesya Nur dan Norlela.

Bagi Eddie, Wings dapat kekal sehingga hari ini kerana ia adalah ‘satu jenama’ yang kuat dan melekat di hati para peminat setia mereka.

Bukan itu sahaja, malah apa yang paling penting kerana Awie adalah penyanyi versatile kerana dia bukan sahaja mampu menyanyikan lagu rock dengan baik malah berilah apa genre lagi Awie tidak akan mengecewakan.

“Itulah istimewanya Awie dan sebab itulah Wings tetap teguh meskipun ahlinya keluar masuk,” kata Eddie, , ayah kepada tiga orang anak Nor Najmi Nadira, 26; Nor Najmi [email protected], 23; dan Muhammad Aidil Hidayat, 21.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

One Response to "[EKSKLUSIF] Lapan tahun Eddie ‘merajuk’ dengan Awie"

  1. Amie  01/04/2019 at 8:57 am

    Kenapa joe tinggalkan wings? Kembalikan la semula joe dalam wings.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.