Ara Johari buka bisnes katering Ara Kitchen tahun ini

0
44

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEMPENA 2019, azam Ara Johari adalah menjadi insan yang lebih baik dan berjaya berbanding tahun sebelumnya.

Selain menceburi bidang seni suara, Ara juga mahu memberi tumpuan kepada bisnes katering di bawah jenama Ara Kitchen.

“Kalau boleh tahun ini, saya cadang nak buat bisnes katering di kawasan Shah Alam. Saya juga nak buka kedai makan dan yang itu mungkin di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Ibu dengan ayah yang akan masak dan ada orang yang akan urus yang lain. Sebenarnya sebelum ini pun saya sudah bantu ibu bapa berniaga dan Ara Kitchen ini kira penjenamaan semula perniagaan kami,” jelasnya bekas bintang program realiti Akademi Fantasia 2016 itu.

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 22, ditemui pada acara sambutan Tahun Baharu di Dataran Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dalam pada itu, kesibukan mengurus kerjaya seni suara membuatkan Ara tidak bersedia menerima tawaran berlakon drama.

Akui Ara, dia bersyukur kerana ada pihak yang mahu memberi peluang kepadanya mencuba bidang lakonan. Namun setakat ini, dia belum berani menembusi tembok tersebut.

“Saya bukan pelakon dan tak salah kalau mencuba tapi setakat ini biar saya tumpu pada nyanyian dulu.

“Bukan apa, saya tak nak dengar orang kata saya sebagai “pelakon kayu’. Dalam hal lakonan saya kena belajar dulu baru boleh cuba bidang itu,” akuinya yang akan mengadakan persembahan pada Anugerah Digital Muzik ERA 2018 pada 25 Januari ini.

Tambahnya, berlakon dalam muzik video lagu berbeza dengan beraksi untuk adegan drama.

“Memang sebelum ini saya ada berlakon dalam muzik video sendiri tapi itu pun susah juga. Saya bukan bermasalah tentang watak tapi dari segi skrip.

“Saya tak pandai nak ‘goreng’ skrip dan yang menjadi masalah besar kerana saya susah nak ingat skrip sebab itu saya tak berani untuk berlakon lagi,” katanya terus terang, yang kini popular dengan lagu Paku ciptaan Hazama.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here