MoF lulus perolehan buku teks PT3 secara runding terus

MoF lulus perolehan buku teks PT3 secara runding terus

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) telah memberikan kelulusan khas untuk permohonan melaksanakan perolehan buku-buku teks Program Dwibahasa (DLP) secara rundingan terus.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini (13 Januari) berkata kelulusan khas pada 18 September tahun lepas dibuat supaya keperluan pelajar-pelajar dapat dipenuhi secepat mungkin.

Katanya, kementerian sangat mementingkan kebajikan pelajar dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam memudah cara prosedur perolehan dan kewangan untuk memastikan kelengkapan pembelajaran dapat disediakan dengan baik.

“Sehubungan itu, proses perolehan buku-buku teks DLP PT3 telah menerima perhatian yang sepatutnya, dan MOF telah memberikan kelulusan khas untuk permohonan melaksanakan perolehan buku-buku teks tersebut secara rundingan terus pada 18 September 2018,” katanya.

Katanya, Kementerian Kewangan sentiasa mempertimbangkan permohonan dari mana-mana kementerian atau agensi yang mempunyai keperluan untuk melaksanakan perolehan secara rundingan terus bagi memenuhi sesuatu keperluan yang kritikal dan mendesak, terutama sekali untuk perkara yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Rabu lepas, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan menyebut pembekalan buku teks DLP untuk semua sekolah yang menawarkan mata pelajaran ‘Mathematic Form 3’ dan ‘Science Form 3’ akan dilaksanakan mulai Mac ini.

Menurut kenyataan itu, pembekalan buku teks tersebut tidak dapat dilaksanakan pada awal sesi persekolahan ekoran perubahan untuk menambah baik sistem perolehan dan mengelakkan sistem rundingan terus sejak pertengahan 2018.

— BERNAMA

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.