Pantun empat kerat ibu jadi kenangan…

Pantun empat kerat ibu jadi kenangan…

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

PERTAMA kali berbual dengan isteri kesayangan Eddie Wings, Norlela Mohd. Yusof, 56, tentang percintaan dan perkahwinan mereka yang kekal hingga hari ini, ada sesuatu yang pasti diingati walaupun sudah 28 tahun berlalu.

“Saya masih ingat apabila pertama kali beritahu Mak (kini arwah) tentang hubungan saya dengan Eddie setelah lima bulan kami berkawan agar Mak tahu yang kami benar-benar serius.

“Mak tak beri jawapan tentang hubungan kami, tetapi sekadar pantun empat kerat yang saya ingat sampai saat ini,” cerita Norlela sambil tersenyum

Apabila ditanya pantun yang masih segar dalam ingatannya, Norlela terus berpantun.

“Kumbang jarak,
Kumbang jagong,
Berani bawak,
Berani tanggung.”

Ditanya maksud pantun arwah Maknya, Saleha Abu, beritahu Norlela;

“Mak kata dia tidak menghalang siapapun pilihan saya kerana yang akan melayari hidup berumah tangga dengan Eddie ialah saya, bukan Mak.

“Saya amat bersyukur kerana Mak merestuinya. Setelah setahun berkawan dan mengenali hati budi masing-masing, kami terus berkahwin,” jelas Norlela.

Eddie berkenalan dengan Norlela kerana sering datang ke salon tempat Norlela bekerja dan hanya mahukan Norlela yang mencuci rambutnya.

Keluarga bahagia Eddie Wings. Dari kiri: Nor Najmi Nabila,  Alleeysa Nur, Norlela, Muhammad Aidil Hidayat, Eddie dan Nor Najmi Nadira di majlis perkahwin Aidil.

Lima bulan pertama perkenalan mereka, Norlela hanya menerima pelawaan berbuka puasa bersama dan setelah setahun berkawan mereka dinikahkan pada 2 Jun 1990.

Setelah 27 tahun berkahwin, Norlela dan Eddie dikurniakan tiga orang anak – Nor Najmi Nadira, 26; Nor Najmi Nabila, 23; dan Muhammad Aidil Hidayat, 21, yang telahpun berkahwin dengan Alleesya Nur, 20.

Bila ditanya tentang Eddie, 50, Norlela memberitahu sepanjang perkenalan dan berkawan Eddie adalah seorang lelaki yang jujur dan sentiasa menjaga adab dan sopan.

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.