[EKSKLUSIF] Black Wings pakar penyediaan minuman kopi

[EKSKLUSIF] Black Wings pakar penyediaan minuman kopi

Oleh MUZLINA ABU BAKAR

KHAMIS 2 Januari lalu pukul 12.30 tengah hari, seperti yang dijanjikan saya sampai di lobi Hospital Pakar Putra di Melaka.

Dari jauh saya memerhatikan sesosok tubuh berkulit sawo matang, dengan rambut ikalnya diikat kemas dan lengkap beruniform sedang melayan pelanggannya.

Jika di pentas persembahan, tangannya tidak henti memukul dram tanpa mengenal erti penat, begitu jugalah dia di Kafe Gloria Jean’s Coffee tidak henti menghidangkan pelbagai minuman kopi yang diimport dan memenuhi citarasa pengunjungnya.

Satu demi satu pesanan pelanggan disiapkan iaitu kopi dan pastri. Apabila menyedari kehadiran saya, dengan senyum yang tidak lekang pada bibir, dia dan isteri menyambut kedatangan saya.

Siapa sangka jika di pentas dan studio, dia lebih selesa berkemeja-T dan berseluar tiga suku, tetapi berdiri di depan saya seorang ‘bos dan pemilik’ kafe kelihatan kemas dengan uniform lengkap dengan kasut.

 

Black Wings melayan seorang pelanggan di kafenya, Gloria Jean’s Coffees di Hospital Pakar Putra, Melaka.

Itulah pemain dram Wings, Azmi Hashim atau lebih dikenali Black, 53, dengan dibantu ole isterinya, Suraya Tawi, 50, yang lebih mesra dipanggil Sue dan dua pembantunya, Amir Yusof dan Nur Syazwani, yang kini melayari hidup sebagai bos yang pakar dalam menyediakan minuman kopi yang diimport dari Columbia dan Sumatera dan dipanggang di Australia.

“Sebenarnya apa yang saya dan isteri lakukan hari ini semuanya adalah rezeki yang ditentukan Allah kerana kami yang baru berpindah ke Bachang, belum terfikir apa nak buat.

“Sejak berkahwin 20 tahun lalu, kami duduk di Desa Pandan, tetapi Sue ajak berpindah ke Bachang untuk memudahkan dia menjaga ibunya, Hajjah Kamsiah Abdullah yang berusia 77 tahun.

“Alhamdulillah dengan wang simpanan saya sebagai pemain dram dan dengan sewa kafe yang berpatutan kami berjaya mendapat kontrak untuk menguruskan kafe ini,” kata Black sambil menyingkap kisah lucu apabila ada pelanggan kafenya berpatah balik apabila menyedari ‘orang yang’ buatkan kopi untuk mereka adalah antara pemain dram terbaik di Malaysia.

Sebelum memulakan operasi di kafe ini, Black mengikuti kursus dua minggu iaitu seminggu teori dan seminggu lagi praktikal iaitu cara membuat minuman kopi dan bagaimana campurannya agar menepati standardnya.

Black Wings (kiri) dan isteri, Suraya Tawi (dua dari kiri) bersama dua staf kafe mereka.

Kafe Gloria Jean’s Coffee di Hospital Pakar Putra, Melaka memulakan operasinya pada 15 November 2017 dan dibuka setiap hari pukul 9 pagi hingga 10malam.

Kafe ini bukan sahaja menjadi tumpuan para pengunjung yang melawat saudara-mara yang mendapatkan rawatan di hospital ini, malah ada yang datang semata-mata mahu menikmati keenakan kopi tersebut.

Selain menghidangkan tiga minuman ‘signature’ – Irish Nut dan Caramelatte (panas) serta Cocoa Loca (sejuk), kafe ini juga menghidangkan pelbagai pastri seperti pie, croissant, danish, donut, muffin dan kek yang mana Black mendapat daripada pembekal yang disyorkan.

Menyentuh mengenai pendapatannya melalui kafe ini, kata Black: “Jika kita memulakan perniagaan yang bermodal ratusan ribu ringgit, kita hanya boleh menikmati keuntungannya setelah dua tahun setengah.”

— BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.