Pameran dari budak nakal menjadi tersohor

0
28

SIAPA sangka zaman remajanya pernah dibuang sekolah sebanyak lima kali, kini beliau memahat nama sebagai pelukis berjaya di United Kingdom.

Menurut satu kenyataan media, kisah Hock Aun Teh membuatkan Balai Seni Negara, Kuala Lumpur membuka pintu galerinya mempamerkan karya-karya beliau, untuk berkongsi pelbagai pengajaran berguna buat rakyat Malaysia.

Aun Teh lahir dan membesar sebagai budak kampung biasa di Sungai Gedung, Taiping, Perak. Dikenal pasti oleh guru-gurunya sebagai seorang pelajar yang nakal dan tidak tahu duduk diam.

Segalanya berubah apabila beliau mula jatuh cinta pada seni visual, yang mana pada suatu hari beliau keluar ke bandar Taiping dan terserempak dengan sebuah pameran seni.

Beliau terpandang dan tertarik pada sebuah lukisan jambatan yang sungguh cantik dan gambarannya seakan-akan benar. Lukisan itu memberi aspirasi dan beliau tekad untuk menjadi pelukis.

Sejak dari itu, beliau bertekad melukis setiap hari dan menggilap kemahiran bahasa Inggerisnya. Pada 1970, beliau diterima untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Seni Glasgow.

Beliau menamatkan pelajaran dengan jayanya. Beliau pernah menjadi pensyarah, namun tidak merasa puas dan memutuskan untuk melepaskan pekerjaan yang terjamin dan berlapar menjadi pelukis.

Pada awalnya, beliau merasa hidup menderita. Pada 1984, hidupnya berubah apabila lukisan-lukisannya yang dipamerkan pada Pameran Seni Antarabangsa Chicago habis terjual. Semenjak itu, hidup beliau perlahan-lahan mulai selesa.

Kejayaan Aun Teh jarang dan sukar didengari umum di Malaysia. Ini adalah kerana beliau suka mengembara dan pengalaman itu diterbitkan kembali pada palitan-palitan lukisan dan arcanya. Malahan karya-karyanya laris pada peringkat antarabangsa.

“Beliau pernah dipanggil untuk melukis harimau Benggal di hutan India, pernah berjalan melintasi padang pasir Gobi sendirian, arcanya pernah dipamerkan pada Sukan Olimpik Beijing 2018.

“Karya lukisannya dibeli oleh Sean dan Richard Griffiths, karyanya dikumpul oleh Balai Seni Negara; Muzium Seni China, Beijing; Galeri Seni Moden Glasgow; dan pelbagai lagi,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu.

Aun Teh seorang meminati elemen-elemen drama, percintaan dan misteri dalam kisah-kisah mistik dan lagenda. Walaupun beliau menetap di luar negara, setiap tahun beliau sering pulang ke kampung halamannya Taiping, Perak.

Pulang ke Taiping seolah-olah terapi bagi dirinya berjalan kembali pada zaman lampau.

Menurut kenyataan Balai Seni Negara, pameran Hock Aun Teh yang bertajuk “Kenangan Zaman Kanak-kanak” ini merupakan luahan karya yang baru, kenangan zaman kanak-kanaknya seperti sawah padi, lampu karbait, minyak tanah, mandi terusan serta sungai, dan sebagainya.

Pameran ini mengandungi 45 buah karya dan dipamerkan di Galeri 2A, Balai Seni Negara. Pameran berlangsung mulai 14 Januari hingga 15 Mac 2019. Majlis Perasmian Pameran ini telah diadakan pada 15 Januari lalu dan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicki Treadell.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here