PRK CH:DAP buat laporan polis kenyataan Khalil Hadi yang didakwa fitnah

0
53

CAMERON HIGHLANDS: Ketua Pemuda DAP Kebangsan yang juga Timbalan ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands berikutan satu kenyataan fitnah yang dikeluarkan Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Keledek dekat Jelai malam tadi.

Howard berkata, dalam ceramah itu, Muhammad Khalil yang juga anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa menuduh DAP mahu mengeluarkan Islam sebagai agama rasmi negara.

“Beliau juga (Muhammad Khalil) tuduh, tohmah dan fitnah bahawa DAP dan PH hendak membuang institusi istana di negara kita, ini adalah satu tuduhan dan fitnah yang sangat serius dan saya berpendapat ia adalah melanggar Kanun Keseksaan Seksyen 499.

“Tujuan saya buat laporan polis adalah supaya perkara ini disiasat secara mendalam mengikut Kanun Keseksaan dan juga apa sahaja undang-undang berkenaan dan yangbersesuaian kerana ini mengundang kemarahan rakyat dan sengaja berniat jahat menanam kebencian terhadap parti memerintah iaitu PH dengan mengkhususkan DAP atas dasar dan sifat rasis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan berkenaan di perkarangan IPD Cameron Highlands, hari ini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Pengerusi PKR Pahang yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan, Muhammad Khalil dalam ceramahnya di Kampung Keledek semalam mendakwa DAP mahu membuang Islam daripada agama rasmi negara ini selain turut mendakwa sejak mendapat kuasa parti itu mengganggu pelbagai institusi Islam dan raja.

Kampung Keledek adalah satu daripada tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu selain PDM Sungai Koyan Satu dan Kota Raja.

Sementara itu, Fuziah berkata, PAS dan UMNO tidak sepatutnya menggunakan kenyataan sedemikian demi untuk memancing undi pada PRK kali ini.

“Sebagai Timbalan Menteri yang menjaga hal ehwal agama, saya ada hak untuk bercakap mengenai perkara ini, yang pertamanya kita mesti menjaga akhlak kita dan mesti menjaga perkataan kita, apabila kita nak mengata orang mereka tidak baik, kita kena tunjukkan terlebih dahulu bahawa kita adalah lebih baik.

“PH sentiasa menjunjung Perlembagaan Perskeutaun dan tidak akan mengubah Perlembagan Persekutuan dan ini adalah satu janji PH. Jadi mengapa mesti perlu fitnah untuk mendapatkan undi, ini akhlak Melayu Islam yang jijik dan kotor dan harus ditolak pengundi,” katanya.

Fuziah berkata, justeru PAS dan UMNO diingatkan supaya jangan bercakap mengenai Islam apabila mereka merasakan mereka lebih suci kerana meraka datang dari parti Melayu Islam.

Katanya, untuk itu, beliau turut menyokong sepenuhnya usaha dibuat DAP membuat laporan polis bagi menyiasat perkara itu dengan membuka kertas siasatan berhubung laporan yang sudah dibuat.

 

-NSTP
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here