Faktor umur bukan penghalang sertai ‘Miss Kebaya’

Faktor umur bukan penghalang sertai ‘Miss Kebaya’
Gambar atas: Lapan finalis Ratu Kebaya beraksi pada pertandingan akhir Ratu Kebaya Sama Sama POP (Pride of Perak) di Galeri Warisan 22 Hale Street malam tadi.  –fotoBERNAMA

 

 

IPOH – Menyertai pertandingan ‘Miss Kebaya’ pada usia 53 tahun bukan sekadar untuk beliau memberi sokongan kepada program yang lebih mendapat tempat dalam kalangan golongan muda, sebaliknya merupakan satu cara untuk meningkatkan keyakinan diri.

Agnes Lee, petugas sukarelawan di Tourism District Public Ambassador Perak, yang telah berkhidmat selama tiga tahun itu tidak menjadikan umurnya sebagai penghalang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ‘22 Hale Street Miss Kebaya’ yang berlangsung di sini malam tadi.

“Walaupun tidak menang tapi ia sememangnya memberikan satu pengalaman. Rasa berdebar semasa memperagakan pakaian dan berjalan di atas pentas sesuatu yang tidak akan dilupakan.

Jazmina Ain Nabila Johar (kanan)memenangi tempat pertama manakala Jazmina Ain Nabiha Johar tempat kedua pada pertandingan ’22 Hale Street Miss Kebaya’ di Ipoh. /Foto: NSTP

“Apa yang penting, kita semua ‘happy’ sertai program ini yang disertai semua bangsa pelbagai umur selain meriahkan program di Perak ini,” kata Lee, yang nampak manis berkebaya nyonya, kepada pemberita di sini malam tadi.

‘Miss Kebaya’ merupakan sebahagian daripada program Sama-sama Pride Of Perak (PoP) anjuran kerajaan negeri, Tourism Perak, Majlis Bandaraya Ipoh dan beberapa syarikat swasta serta agensi itu berlangsung di Jalan Tun Sambanthan bermula semalam hingga hari ini.

Program PoP dianjurkan bersempena pembukaan galeri warisan 22 Hale Street yang akan disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada hari ini.

Sementara itu, pasangan adik-beradik ​​​​​​​Jazmina Ain Nabila Johar, 19,  dan  kakaknya Jazmina Ain Nabiha Johar, 25, masing-masing meraih tempat pertama dan kedua dengan membawa pulang wang tunai RM300 dan RM200.

Bagi Jazmina Ain Nabila, pelajar Universiti Teknologi Mara Seremban, dia menyertai pertandingan ini selepas dipujuk kakaknya dan tidak menyangka akan menang.

“Dari atas sampai bawah semua kepunyaan kakak. Ini kali pertama memasuki pertandingan seperti ini dan tak sangka ia bawa tuah kepada saya,” katanya yang berkebaya nyonya hitam merah dan membawa gaya era 60-an.

Jazmina Ain Nabiha pula berkata dia mengetahui mengenai pertandingan itu melalui Twitter Tourism negeri dan menyertainya bersama adik sekadar suka-suka.

“Tak sangka juga menang sebab kami berdua buat keputusan pukul 5 petang tadi untuk sertai. Alhamdullillah rezeki kami adik-beradik malam ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata sebanyak 70 gerai makanan, minuman, produk pelancongan dan pameran dibuka bersempena program ini.

— BERNAMA
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.