Mahathir senyum sinis, muka Anwar terus jadi merah!

0
161
(GAMBAR ATAS) Ihsan theaustralian.com.au dan funtasticko.net

 

Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA

SAYA sudah lupa tarikh tepatnya. Tapi tahunnya ialah 1995. Hari itu saya ditugaskan membuat liputan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersama Ketua Pemberita akhbar Utusan Malaysia, Hanafiah Man. Waktu itu saya cuma pemberita junior, kereta pun tak ada. Tumpang kereta Hanafiah.

Mesyuarat bermula pukul 9.30 pagi, dan berakhir pukul 12.30 tengah hari. Kami masuk ke bilik mesyuarat dan Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memulakan sidang media. Beliau juga adalah Perdana Menteri Malaysia.

Saya sudah lupa apa isu yang dibangkitkan tetapi yang ingin saya ceritakan pada ruangan ini, dan yang saya ingat sampai sekarang, bukanlah tentang MT UMNO. Tapi apabila Dr. Mahathir mengumumkan bahawa, “Mesyuarat MT hari ini bersetuju sebulat suara tiada pertandingan untuk jawatan Presiden bagi pemilihan parti yang akan datang.”

Bagi kami para wartawan, wah, ini besar! Bermakna, Dr. Mahathir tidak akan dicabar. Dalam kata lain juga, tidak boleh dicabar. Kalau dicabar, ia melanggar ketetapan MT. Jangan jadi derhaka!

Tapi keputusan MT bukannya hukum agama, kan? Ia juga bukan undang-undang negara, yang boleh dihukum dan dipenjara kalau melanggarnya.

Wartawan mula bertanya lebih lanjut tentang perkara itu dan Dr. Mahathir menjelaskannya. Ketika inilah peristiwa itu berlaku: Saya masih ingat, tengah hari itu wartawan Bernama yang bernama Hashim (Allahyarham) telah bertanyakan satu soalan panas kepada Anwar, berbunyi begini…

“Datuk Seri, adakah ini bermakna Datuk Seri tidak akan bertanding jawatan Presiden?”

Sebelum saya beritahu jawapan Anwar, saya ingin ceritakan sedikit latar belakang isu ini dan tentang Hashim. Ketika itu Anwar adalah Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Tidak lama sebelum itu, saya telah membuat liputan kepulangan Dr. Mahathir dari luar negara, di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Hari itu, Hashim telah bertanya kepada Dr. Mahathir tentang desas-desus kononnya hubungan beliau dengan Anwar sedang bermasalah. Ini dilaporkan oleh media antarabangsa. Wartawan Bernama itu bertanyakan soalan berkenaan dua, tiga kali.

Untuk soalan itu, Dr. Mahathir telah menjawab lebih kurang begini… “Cerita tu tak betul. Hubungan saya dengan Anwar baik. Tak ada masalah.” Beliau tegaskannya berkali-kali.

Tapi bagi kami wartawan, kalau Bernama sudah bertanya dan ada dilaporkan oleh media antarabangsa, ehem… faham-faham sajalah. Sefaham saya juga, media negara ini lebih banyak berfungsi menafikan berita serta gosip dari media luar, sedangkan selepas itu ternyata gosip tersebut benar-benar berlaku. Ini kami faham sangat.

Kembali kepada Anwar: Apabila ditanya begitu, beliau menjawab, “MT telah buat keputusan, tidak ada pertandingan untuk jawatan Presiden. Itu sudah jelas.” Suaranya tenang.

Tetapi wartawan Bernama ini tidak berpuas hati. Beliau bertanya lagi, tapi dengan penekanan suara yang berbeza, “Jadi, adakah ini bermakna Datuk Seri tidak akan bertanding jawatan Presiden UMNO?”

Jawab Anwar, “Saya sudah jawab, itu keputusan MT. Soalan awak tidak berbangkit!” Kali ini suaranya tegas. Muka Anwar kelihatan serius.

Saya terkejut melihat drama yang sedang berlaku. Wah, ini drama yang tidak akan dilaporkan di media. Mungkin anda masih tidak faham maksud tersirat kepada soalan ini. Tak mengapa, saya teruskan dulu ya, nanti anda akan faham.

Untuk kali ketiga, Hashim bertanya lagi soalan berkenaan dan jawapan Anwar kali ini saya ingat sampai bila-bila. Kata Anwar, “Siapa yang bertanya soalan ini, mereka adalah orang yang bankrap idea! Saya ulangi, siapa yang bertanya soalan ini, dia adalah orang yang bankrap idea!”

Ketika ini saya lihat muka Anwar memang benar-benar serius. Beliau ternyata bengang diasak dengan soalan tersebut. Reaksi Dr. Mahathir pula bagaimana? Macam biasa, beliau senyum saja melihat Anwar. Anda boleh bayangkan muka Dr. Mahathir senyum, kan.

Hashim tidak lagi bertanya untuk kali keempat. Saya pula diam, belum hilang terkejut.

Sidang media selesai, Dr. Mahathir mengajak kami makan tengah hari di tingkat atas PWTC. MT UMNO naik dahulu, baru kami ikut.

Sesampai di bilik makan, saya lihat Dr. Mahathir memandang kami. Anwar duduk di sebelah kanannya. Nampak saja kami masuk, Dr. Mahathir terus berkata, “You all tulis ya, ‘Anwar didn’t say no!’” Beliau berhenti sekejap di situ, kemudian mengulangnya, “Tulis tau, ‘Anwar didn’t say no…’”

Dr. Mahathir tidak menoleh pun ke arah Anwar, tetapi semasa berkata demikian, beliau melemparkan senyuman yang sangat sinis. Macam mana sinisnya? Kalau anda ingat jelingan manja dan senyuman lejen beliau kepada seorang profesor berbaju hijau tidak lama dahulu, lebih kurang begitulah raut wajah Dr. Mahathir ketika itu. Memang pedih.

Saya lihat muka Anwar serta-merta berubah. Kulit yang putih menjadi merah. Wajah yang tampan jadi berkerut. Anwar tidak menjawab walau sepatah pun. Dia hanya senyum, tetapi anda faham senyum yang bagaimana.

MT-MT UMNO yang duduk di meja itu ada yang ketawa, ada yang senyum, ada yang diam saja. Bagaimana dengan saya? Saya pun ketawa, tapi berani dalam hati saja.

Makan tengah hari selesai. Masa untuk balik. Sambil memandu kereta pulang dari PWTC, saya dan Hanafiah ketawa terbahak-bahak. Kata Hanafiah, sepanjang beliau menjadi wartawan dan membuat liputan mesyuarat MT UMNO, inilah yang paling best.

“Hahaha… sekarang baru Anwar tau siapa Mahathir. Jangan main-main dengan orang tua tu. Hahahaha…” Saya pun ketawa juga.

Sambung Hanafiah, Anwar ini masih mentah lagi permainan politiknya kalau hendak dibandingkan dengan Dr. Mahathir. Jangan cuba-cuba nak lawan bos. Dr. Mahathir ini licik dan ‘zalim.’ Permainannya tidak boleh dijangka. Tidak ada belas kasihan.

Juak-juak Anwar pun jangan gelojoh. Jangan sombong dan tidak sabar hendak lihat bos mereka jadi PM. Tolong hormat kepada Dr. Mahathir.

Itulah topik yang kami bualkan sepanjang jalan hingga sampai ke ibu pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin. Kami ketawakan Anwar dan kami kagum dengan kepintaran Dr. Mahathir mematikan langkah lawannya.

Benar kata Hanafiah, selepas banyak kali membuat liputan mesyuarat MT UMNO, saya rasa memang mesyuarat tadilah yang paling best. Ada drama di sebalik tabir. Saya dapat rasakan, ia adalah satu peristiwa yang wajib saya ingat sampai bila-bila.

Benar juga seperti yang saya duga, selepas itu hubungan Dr. Mahathir dan Anwar semakin dingin. Dari retak, jadi berantakan, akhirnya berkecai terus. Apabila ini berlaku, saya tidaklah berasa pelik. Anwar dipecat, dipenjara, reformasi bla bla bla… anda semua tahu, tak perlu saya cerita lagi.

Apa yang berlaku seterusnya? Bukan tentang Anwar – Mahathir, tapi kisah di sebalik tabir.

Anda tentu terkejut kalau saya ceritakan bahawa, Hanafiah adalah penyokong Anwar selepas beliau dipecat daripada UMNO serta TPM dan seterusnya dipenjara atas tuduhan yang mengaibkan. Malah, jangan terperanjat pula kalau saya beritahu anda bahawa Hanafiah adalah salah seorang yang mengasaskan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (keADILan) pada 4 April 1999, bersama tokoh-tokoh muda lain seperti Mohd. Ezam Mohd. Nor, Mohd. Azmin Ali, Dr. Badrul Amin Baharom, Johari Abdul dan Ruslan Kassim.

Anda terkejut? Ya, itu cerita benar. Kenapa Hanafiah yang dahulu mentertawakan Anwar, kemudian menyokong Anwar? Bagaimana pula dengan saya yang mengagumi Dr. Mahathir? Saya pun dulu ketawakan Anwar juga, kan…

Nantilah saya sambung. Kalau anda mahu tahu cerita selanjutnya, like dan share dulu story BebasNews ini… hahaha.

NOTA: Kisah ini saya tulis sebagai menyahut amaran Anwar kepada media beberapa hari lalu, supaya jangan melaga-lagakannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir. Saya setuju dengan Anwar, janganlah ada pihak yang cuba lagi membuat kerja jahat melaga-lagakan mereka. Sia-sia saja sebab kedua-dua tokoh ini sudah belajar daripada apa yang berlaku dulu. Dalam masa yang sama, orang di kiri dan kanan Anwar serta Dr. Mahathir janganlah berperang, bimbang nanti cerita yang saya tulis di atas tadi berulang lagi.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here