Perkasa jangan hilang arah lagi: Suara ultra Melayu masih diperlukan…

Perkasa jangan hilang arah lagi: Suara ultra Melayu masih diperlukan…

 

 

TERUS TERANG saya tidak berminat mengulas mengenai soal dalaman Perkasa ini.

Tetapi ia semacam terus menarik naluri saya untuk mengulas mengenainya.

Secara peribadi saya pernah menghormati pertubuhan ini atas suara ultranya demi kemaslahatan masyarakat Melayu. Namun saya bosan kerana momentumnya kadang-kala naik dan turun.

Ia bergantung kepada pasang surut kepala hulubalangnya, Ibrahim Ali.

Sebelum pilihan raya lalu, beliau tiba-tiba lenyap dalam pertubuhan itu. Kononnya mahu bertanding dalam pilihan raya.

Kakinya sekejab sana, sekejab sini. Lompat sana, lompat sini. Sehingga saya pernah memberitahu kepada setiausaha agung pertubuhan itu, Tuan Syed Hassan Syed Ali — apa dah jadi dengan Ibrahim Ali?

Dia kata “saya pun tak tahu”.

Sehinggalah saya pernah terserempak dengan Ibrahim dan dari hati saya, saya berkata kepada beliau “Tok Him kena terus memimpin Perkasa”.

Jangan hilang tumpuan, kata saya. Tapi seperti biasa dia ketawa kecil. Entah serius, entah tidak. Itulah tipikal Tok Him.

Bukan apa: Saya bimbang Melayu akan terus hilang kuasa bersuara.

Walaupun ramai yang tidak berapa berminat dengan Ibrahim, terutamanya golongan profesional Melayu dan sedikit liberal, namun dalam hati kecil mereka, mereka mahu juga melihat satu suara yang sedikit keras-kritikal dalam masa-masa kaum Melayu ditekan.

Jika kaum Cina mempunyai Dong Zhong sebagai pertubuhan ultra Cina; dan kaum India mempunyai Hindraf, yang kini kepalanya berada dalam Kabinet Mahathir, maka kaum Melayu pun memerlukan satu suara ultra alternatifnya sendiri.

Kita bukan mahu berperang, tapi kita hanya mahu menyeimbang suara yang kadang-kala perlu dihingarkan kepada umum.

Dalam suasana politik semasa, di mana orang Melayu semakin gelisah ia amat-amat diperlukan.

Walaupun kita tidak ada kuasa ekonomi, sedikit sebanyak sisa-sisa pegangan politik yang kita ada harus dipertahankan.

Di era pasca-UMNO yang mana umat Melayu sudah hilang kepercayaan kepada parti Melayu itu akibat ketamakan kebendaan duniawi, orang Melayu terus-terang memerlukan satu suara lain yang nyaring.

Tugas saya yang banyak mengkritik orang Melayu dan UMNO dalam kolum Cuit Utusan Malaysia, satu ketika dahulu, sudah berakhir.  Mereka enggan mendengar orang bodoh macam saya.

Saya pernah acap kali menegur Pemuda UMNO, ketika itu, supaya menjadi Singa UMNO dan menjadi ginger group supaya menegur tingkah-laku para pemimpin mereka yang semakin rakus. Tapi mereka gagal. Kini nasi sudah menjadi bubur.

Mereka sanggup melihat kemungkaran di depan mata, akibat ketamakan wang ringgit. Walaupun ada yang bersuara tetapi suaranya, tidak kejantanan.

Pada waktu itu Perkasa pun bisu seribu bahasa. Hanya cakap di belakang-belakang sahaja. Mereka gagal mengambil kesempatan menjadi juara kepada kegawatan defisit kepercayaan itu.

Tidak pasti saya, mengapa jadi begitu? Hanya Tok Him atau Ibrahim Ali sahaja yang maha mengetahui.

Namun, Perkasa masih ada satu nyawa lagi. Orang Melayu saya rasa masih mengharapkannya.

Jadilah mata dan telinga yang berkesan untuk orang Melayu. Pastikan ‘pelakon-pelakon’ dalam Kabinet Harapan ini tahu ada satu elemen yang terus-menerus memerhati mereka.

Biar ada check and balance yang mantap dalam kumpulan ultra Melayu itu.

Perkasa tidak boleh lagi ‘terikat’ atau ‘termakan budi’ dengan sesiapa pun waima — Mahathir atau Anwar — yang pernah didampingi erat oleh Tok Him satu ketika dulu.

Saya tahu dalam isi hati Mahathir pun, beliau memerlukan suara-suara ini untuk membantunya.

Usia bukan lagi menyebelahi Mahathir. Kudratnya semakin luntur. Dan undercurrent politik pakatan beliau pun bukan stabil. Arus bawahnya bergelora. Mahathir, saya percaya memerlukan pendamping ini.Sebagai wartawan yang mengharung situasi politik Malaysia sekian lama — saya tahu apa yang tersurat dan apa yang tersirat.

Saya amat mengetahui. Orang Melayu perlukan satu suara yang mantap. Ia bukan rahsia lagi. Sebelum Melayu terus hanyut di bumi sendiri, Perkasa harus perkasa.

Semua orang tahu. Ia bukan rahsia lagi.

Mahathir pun tahu…

— BebasNews.my
Please follow and like us:
error

One Response to "Perkasa jangan hilang arah lagi: Suara ultra Melayu masih diperlukan…"

  1. Dr Mana  24/01/2019 at 12:43 pm

    Perkasa sudah tidak relevan lagi di negara ini. Mungkin hanya relevan bagi orang yang sudah keciwa dalam politik. Rakyat amnya mahu semua bersatu padu dan tidak lagi menjadi sentrik kaum dan agama sebagai teras hidup. Rakyat inginkan suatu bangsa Malaysia yang boleh bertolak ansur. Kerajaan PH nampaknya sudah menjadi teras kepada usaha-usaha menyatu padukan rakyat negara ini. .

    Reply

Leave a Reply to Dr Mana Cancel Reply

Your email address will not be published.