[VIDEO] Kenali wartawan kental ‘iron lady’ Zaharah Othman

[VIDEO] Kenali wartawan kental ‘iron lady’ Zaharah Othman
Gambar atas: Saya dan Zaharah dalam pesawat MH01 dari London ke KLIA baru-baru ini.

 

Oleh ZAINI HASSAN

 

MULAI 30 Disember 2018 hingga 15 Januari 2019 saya berada di Kotaraya London-Madrid, Sepanyol dan London semula.

Setibanya di sana, selain urusan peribadi, saya juga sempat bertemu dengan rakan-rakan taulan.

Saya juga sempat menghubungi dengan wartawan veteran Zaharah Othman, yang sudah berpuluh tahun menetap di London bersama suaminya Wan Ahmad Hulaimi, juga bekas wartawan.

Saya berjanji untuk bertemu mereka selepas kembalinya saya dari Madrid, seminggu sebelum pulang ke Malaysia.

Dalam perbualan melalui WhatsApp itu pelbagai perkara yang dibincangkan. Soal keluarga; soal anak Zaharah yang sedang berada di Lampung dan Banten, Indonesia mengikuti misi kemanusiaan gempa bumi dari UK; soal sahabat mereka Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam), yang baharu meninggal dunia dan pernah menetap di London.

Maka kami pun berjanji akan bertemu dan berborak lagi.

Namun, sekembalinya dari Madrid ke London, saya terpaksa menghadapi jadual lain yang ketat. Maka pertemuan dengan Zaharah yang dijanjikan terpaksa dilupakan. Dan saya juga rasa bersalah kerana tidak sempat memaklumkan beliau bahawa janji kita tak sempat ditepati.

Sehinggalah pada hari saya akan pulang ke tanah air dalam pesawat MH01, pada malam 15 Januari, tiba-tiba saya terserempak dengan Zaharah.

“Ya Allah, kat sini kita jumpa,” sedikit tinggi nada saya akibat terkejut. Zaharah, yang saya panggil Kak Zaharah turut ketawa.

Beliau menyampuk “saya juga terfikir apa nak kata kat Zaini pasal tak sempat jumpa di London.”

Beliau terus ke belakang pesawat MAS A350-900 itu dalam kompartmen yang sama dengan kerusi saya di kelas ekonomi. Saya menyangka Zaharah akan pulang bercuti ke Malaysia dan menjenguk keluarganya di Alor Star.

Apabila saya menoleh ke belakang saya melihat Zaharah rupa-rupa mengiringi seorang pesakit strok warga Malaysia yang terlantar di hospital London. Dengan kamera mini video, beliau kelihatan merakam pesakit itu dirawat oleh sekumpulan tim perubatan.

Pesakit itu seorang pesara TNB, Sahrom Ahmad, 57, diserang strok sehari selepas tiba untuk menghadiri majlis graduasi anaknya di University Loughborough, UK pada 12 Disember lalu.

Akibat serangan itu beliau terlantar di Charing Cross Hospital di London lebih sebulan. Kos perubatan mencecah kira-kira £70,000 atau sekitar RM370,000.

Naluri wartawan tidak terhenti di situ. Zaharah mahu membantu rakan senegaranya yang sedang menghadapi masalah. Belenggu kos yang tinggi itu kemudian mendapat perhatian umum.

Kisah demi kisah yang ditulis oleh Zaharah melalui akhbar kumpulan NSTP mendapat perhatian pihak korporat Malaysia.

Kebetulan semasa saya di Madrid saya menerima mesej daripada rakan saya Datuk Zuraidah Atan, berupa posting facebook beliau mengenai penderitaan Sahrom.

Battersea Power Station (BPS) London helps out! Proud of you BPS! Alhamdulillah God Bless! ::1. Thank you BPS Board…

Posted by Dato Zuraidah Atan on Friday, January 11, 2019

Zuraidah yang juga ahli lembaga pengarah syarikat SP Setia menulis memberitahu Battersea Power Station (BPS) bersetuju menaja kos perubatan Sahrom dan membawa pulang pesakit itu ke Malaysia.

SP Setia memiliki 40 peratus pegangan dalam BPS, yang sedang membangunkan projek pembangunan hartanah di Battersea, London.

Usaha Zaharah tidak sia-sia. Dalam pesawat itu saya sempat bersembang dengan Kak Zaharah, di kerusi belakang berhampiran wad kecil yang dipasang untuk Sahrom.

“Sampai di KLIA, saya akan ikut Sahrom sehingga ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SDMC). Tidur di rumah keluarga malam itu dan esok balik ke London.” Maknanya Zaharah hanya akan berada di KL selama 12 jam sahaja.

“Esok terbang ke London semula. Saya tidur atas pesawat. Sampai London terus buat liputan kunjungan PM, Tun Mahathir Mohamad di sana pula. Kemudian ke Vienna ada lagi assignment lain…”

Saya melihat walaupun dia kelihatan cukup letih dalam penerbangan 14 jam Heathrow-KLIA itu, semangatnya cukup kental.

Itulah senior saya di sekolah kewartawanan (Masscomm) ITM sekitar tahun 70an dulu. Kami dilatih cukup kental!

Saya pula belajar di sekolah itu sekitar pertengahan 80an dan salah seorang adik Zaharah, iaitu Arfah, junior saya juga lulusan dari sekolah yang sama.

“You tau tak saya dah 65 tahun.” Saya sedikit terkejut kerana wajahnya tidak menunjukkan usianya.

Saya kata “kak you are a truly an iron lady journalist…” Kami sama-sama ketawa.

(Semasa dalam perjalanan pulang ke London, Zaharah sempat menghantar kepada saya video yang dibikinnya dalam perjalanan menghantar Sahrom ke Malaysia bertajuk “A Father’s Homecoming”.)

Ikuti di sini:

— BebasNews.my
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.