Tandas Awam Rantau Abang antara terbaik Asia

Tandas Awam Rantau Abang antara terbaik Asia
Gambar atas: NSTP

 

Tandas awam Rantau Abang di sebelah Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang diiktiraf antara tandas awam terbaik di Asia, minggu lalu.

Keadaannya bersih, bau wangi, mesra pengguna serta landskap menarik merupakan antara ciri-ciri utama tandas itu memenangi Anugerah StandardTandas Awam Asia 2019-2021’ sempena Forum Pelancongan Asia di Bandaraya Ha Long, Vietnam, Jumaat lalu.

Anugerah itu menjadikan tandas tersebut sebagai satu-satunya tandas awam dari wilayah Pantai Timur yang mendapat pengiktirafan tersebut bersama empat lagi dari Malaysia iaitu tandas awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Restoran Foh San, Perak, Masjid Cina Melaka dan Plaza Merdeka, Sarawak.

Gambar: NSTP

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Lizan Che Mat berkata, anugerah itu adalah satu penghormatan besar bagi penduduk dan warga MPD khususya yang telah bekerja keras melaksanakan pelbagai usaha serta insiatif agar kebersihan tandas awam di seluruh daerah itu terjaga.

“Tandas Awam Rantau Abang sememangnya mendapat perhatian utama MPD kerana ia berada di lokasi pelancongan negeri yang sangat dikenali sebagai tempat pendaratan penyu.

“Tandas ini boleh dikatakan lengkap dan sesuai untuk dijadikan hentian pengunjung dekat dan jauh kerana turut mempunyai bilik mandi, tempat rehat dan ditambah pula dengan keindahan landskap yang dibina di sekitarnya,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menurut Lizan, tandas tersebut telah mendapat penarafan lima bintang dan pernah menerima beberapa anugerah lain termasuk johan Pertandingan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Cemerlang 2016 dan Anugerah Perak kategori Tandas Awam milik PBT (Bandaraya/ Perbandaran) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2016 dan 2018.

Gambar: NSTP

Beliau berkata selain ingin menambah baik lagi Tandas Awam Rantau Abang, pihaknya juga mempunyai pelbagai perancangan bagi meningkatkan lagi kebersihan dan keindahan kawasan di sekitar 15 tandas awam yang ada di daerah itu tahun ini.

“MPD telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM30 juta daripada KPKT bagi 2019- 2021 untuk tujuan pembangunan landskap bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti penduduknya.

“Jadi kita akan gunakan sebahagian peruntukan ini untuk kerja penambahbaikan, keceriaan dan pembinaan landskap bagi memberi imej baharu kepada tandas awam yang selalu dilabel sebagai tempat yang kotor.

Gambar: NSTP

“Walaupun nampak kecil tandas awam sebenarnya boleh memberi impak kepada sektor pelancongan kerana daripada situ pelancong boleh menilai mentaliti dan sikap rakyatnya,” kata Lizan.

Sementara itu, tukang cuci Tandas Awam Rantau Abang, Faridah Chaiman berkata, beliau menggunakan pewangi semulajadi iaitu bunga rampai yang diperbuat daripada daun pandan bagi menyerap bau dalam tandas tersebut dan seterusnya mengeluarkan bau yang wangi.

Malah, daun pandan tersebut dipetik daripada pokok yang ditanam di satu sudut bahagian depan dan tepi tandas itu sejak lima tahun dahulu.

“Rata- rata orang ramai sukakan aroma daun pandan yang harum tetapi tidak menyakitkan hidung seperti pewangi yang dibeli di kedai. Adakalanya mereka (pengunjung) sempat meminta sedikit (daun pandan) untuk diletakkan di dalam kereta,” katanya.

– Bernama 
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.