Merentas Denai, Menikmati Pesona Air Terjun 10 Tingkat Kampung Sayap

Merentas Denai, Menikmati Pesona Air Terjun 10 Tingkat Kampung Sayap
Gambar atas: Titi yang perlu di lalui untuk sampai ke air terjun.

 

Laporan/Foto: Fauzrina Bulka/ Azman Jumat (Kota Kinabalu)

 

KOTA BELUD – Pagi itu suasana subuh tidak seperti biasa, kerana jika selalunya dikejutkan dari tidur oleh bunyi penggera telefon bimbit, tetapi kali ini kerana yang mengejutkan bunyi dentuman si raja buah ke tanah.

Bukan itu sahaja, deburan kecil air daripada kolam ikan yang dibina di sebelah bilik penginapan berserta udara pagi yang dingin membuatkan hati semakin bersemangat menjalani aktiviti yang telah di susun di Kampung Sayap.

Untuk meneruskan rancangan yang dijadualkan, kami dinasihati supaya tidak mandi, bagi mengelakkan mudah merasa letih ketika menjalani aktiviti merentas hutan hari itu.

Tepat pukul 8.30 pagi kami bertolak dari tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Sayap bersama Rinjoe Ahhing dan Ezra @ Ginong Sadok yang merupakan seorang pemandu pelancongan berlesen.

Berjalan sambil berbual dengan Rinjoe menjadikan pendakian di Eko Pelancongan Kowatuan ini amat istimewa kerana kami bakal dihidangkan dengan keindahan air terjun setinggi 10 tingkat.

Air terjun tingkat ke 10.

“Yang menarik di sini terdapat 10 jenis air terjun yang setiap satunya berbeza bentuk dan juga melihat pelbagai tanaman dan buah-buahan tropika di sepanjang jalan. seperti nenas, terap dan durian.

“Menempuh jarak perjalanan dari SK Sayap ke pondok rehat sejauh 2.9 kilometer akan disajikan dengan pemandangan indah air terjun tingkat keempat di sana, manakala enam tingkat lagi air terjun akan ditemui sejauh 900 meter lagi,” ujar Rinjoe.

Rinjoe Ahhing. pemandu pelancong berlesen.

Denai yang dilalui agak mencabar walaupun kami memakai kasut khas berserta tongkat untuk mendaki kerana batu agak licin dan berlumut serta keadaan denai yang becak akibat hujan dua hari berturut-turut.

Perjalanan sepatutnya mengambil masa hanya 45 minit untuk ke pondok rehat, tetapi disebabkan leka menikmati pemandangan sambil merakamkan keindahan landskap, kami mengambil hampir dua jam juga untuk jejakkan kaki di air terjun ke dua.

“Untuk cabaran keseluruhan perjalanan ini, tidaklah begitu mencabar kepada para pendaki yang sudah biasa, namun pasti pengalaman yang berbeza pada yang baru berjinak-jinak ingin merasai pengalaman mendaki bukit.

Pondok rehat yang selesa lengkap dengan dapur untuk memasak.

Persinggahan sebentar untuk melepaskan lelah di pondok rehat ternyata selesa dan mendamaikan, dengan ruangan yang luas untuk bersantai, serta dapur yang lengkap dengan makanan segera untuk dibeli.

Jika masih mampu, pengunjung boleh meneruskan lagi pendakian sejauh 900 meter untuk ke air terjun ke 10 yang sangat berbaloi melalui denai yang sukar apabila disambut dengan limpahan air terjun mempesonakan.

Sebagai belia kampung yang ingin melihat perubahan, Rinjoe turut berharap agar agensi-agensi berkaitan dapat menghargai daya tarikan yang ada di Eko Pelancongan Kowatuan serta dapat membantu untuk menambah baik kemudahan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Sepanjang 2.9 km jarak perjalanan, hanya beberapa ratus meter sahaja jalan yang berturap dan boleh dilalui oleh kenderaan besar…sehingga kini belum ada projek yang dijalankan untuk menyambung jalan raya tersebut.

“Tambahan pula, komuniti setempat sedang memungut sumbangan daripada ahli-ahli yang juga petani-petani pemilik tanah yang terlibat dalam pembinaan jalan raya tersebut.

“Jalan raya ini nanti pastinya akan memudahkan petani untuk membawa keluar hasil tanaman mereka ke Pasar Tamu. manakala jarak untuk sampai ke Eko Pelancongan Kowatuan juga lebih pendek lebih kurang 1 km saja,” harapannya.

Kira-kira jam pukul 2.00 petang kami kembali ke  penginapan di Porohon Garden and Lodge di mana hidangan tengah hari yang sedap dan dimasak sendiri oleh pemiliknya, Jurinah Okit sudah menanti kami.

Jurinah Okit.

Kemesraan Jurinah kepada tetamu yang menginap di rumah kebunnya menyenangkan kerana beliau begitu ramah dan berkongsi cerita kehidupan penduduk di Kampung Sayap.

Menurutnya kesedaran penduduk kampung untuk menceburi bidang pelancongan timbul semenjak 2016 ketika pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB) , Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) dan Persatuan Homestay menganjurkan Bengkel Kesedaran Pelancongan untuk mereka.

“Pada penghujung 2016, buat pertama kalinya diwujudkan platform edu-tourism yang pertama di SK Sayap yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah ketika itu, Ewon Benedick.

“Apa yang menarik, kami para usahawan eko-pelancongan dan penginapan telah bergabung dengan edu-tourism SK Sayap untuk memberi sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

“Ini bermakna pengunjung yang datang ke sini, contohnya menginap di Porohon Garden and Lodge ataupun pergi mendaki, secara langsung memberi sumbangan kepada murid-murid di SK Sayap juga,” ujarnya yang juga merupakan guru sains di sekolah tersebut.

Menurut beliau sumbangan yang diterima digunakan untuk kemajuan dan pendidikan murid.

Penulis bersama pemandu dan rakan berhenti sekejap melepaskan lelah.

“Seperti yang kita faham PIBG di kebanyakan sekolah pasti kekurangan kewangan, namun bagi SK Sayap walaupun terletak di kawasan pedalaman, platform eko-pelancongan sangat membantu perkembangan pendidikan murid, khususnya untuk menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Setakat ini aktiviti murid yang terlibat ke pertandingan-pertandingan peringkat daerah dibantu oleh PIBG dari segi wang belanja dan pengangkutan, memandangkan tempat ini jauh di pedalaman,” jelasnya.

Jurinah berkata oleh sebab amat perlu bagi penduduk kampung dan pengunjung disediakan dengan jalan raya yang baik dan berturap, maka masyarakat di Kampung Sayap telah mengambil inisiatif mengumpul dana sumbangan bersama bagi mengadakan gotong royong untuk memperbaiki sendiri jalan raya di kampung tersebut.

Mereka merasakan usaha memperbaiki ini amat perlu kerana pernah berlaku insiden seperti tangki minyak kenderaan pengunjung bocor, tayar pecah ataupun kereta tersekat hingga mereka tidak dapat balik mengikut perancangan dan seterusnya mengganggu rancangan percutian.

“Tetapi jika kita lihat sebenarnya pendapatan utama di perkampungan ini adalah dari segi pertanian.

“Mereka berniaga barang-barang pertanian ke pekan dan untuk tujuan itu jalan raya yang baik sangat penting kerana selama ini para petani perlu membungkus hasil tanaman dengan tebal untuk mengelakkan buah-buahan dan sayuran rosak di sepanjang perjalanan untuk ke Pasar Tamu.

“Jika jalan raya sudah baik, mungkin lebih ramai pengunjung akan datang ke tempat ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat bahawa setiap permasalahan yang bakal timbul juga pasti dapat ditangani jika dibina pagar utama di pintu masuk untuk memantau mereka yang masuk di kawasan kampung.

Laluan ke air terjun yang perlu melalui pohonan getah

“Selama ini pengunjung kagum melihat tahap keselamatan yang baik di kampung ini. Mereka hairan apabila mendapati barang berharga. seperti televisyen dan tong gas diletakkan di luar tanpa penjagaan.

“Kawasan ini memang selamat untuk penduduk kerana mereka sentiasa memegang kepada etika dan adab masyarakat dalam menghormati hak orang lain.

“Penduduk di sini juga ramah, di mana pernah suatu ketika sebuah kereta pengunjung rosak, setiap kereta yang lalu akan berhenti untuk membantu,” kata Jurinah bangga.

Katanya, selain mengetengahkan agenda kemajuan setempat penduduk juga menitikberatkan keselamatan bersama.

“Memang telah wujud kerjasama antara Persatuan Rukun Tetangga dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk memantau keadaan bagi memastikan kanak-kanak dan remaja tidak terpengaruh dengan aktiviti yang tidak baik.

“Di samping itu juga, kita lihat ramai remaja kini terpaksa bekerja di negara luar, seperti di Korea dan Australia untuk memetik buah dan macam-macam pekerjaan lagi di Singapura, Brunei mahu pun di semenanjung.

“Penduduk di kampung ini ramai, belia juga ramai, mereka terpaksa mencari pekerjaan sendiri di luar kampung, walhal di sini punya banyak produk.

“Saya harap apabila jalan raya sudah baik dan kampung sudah maju, banyak aktiviti dapat dilakukan dan mungkin orang kampung tidak perlu lagi ke luar untuk bekerja,” luahnya.

Boni bersama murid-muridnya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Latihan dan Pendidikan KATA, Boniface @ Doni Jiran ketika ditemui mengharapkan agar SK Sayap dan masyarakat kampung dapat terus membangunkan konsep pelancongan pendidikan sebagai salah satu bidang dalam industri pelancongan di Kampung Sayap.

“Dalam pelancongan, keunikan itu sangat penting. Ia memberi ruang pilihan kepada pelancong untuk melihat dan mengalami pengalaman yang berbeza di suatu tempat.

“Pelancongan Pendidikan di Kampung Sayap menyasarkan pelajar-pelajar universiti, kolej,sekolah-sekolah di seluruh dunia untuk menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan pergunungan.

“Saya secara peribadi sangat berharap agar usaha SK Sayap dan masyarakat di sini  diperkenalkan oleh pihak  Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Malaysia secara menyeluruh di kawasan lain dan menjadikannya antara usaha dalam mencapai matlamat pendidikan abad ke-21.

Saya percaya konsep pelancongan pendidikan ini mempunyai ruang dalam mana-mana sudut perancangan pendidikan Malaysia,” ujar Boniface.

Tambahnya, dalam masa sama dari perspektif pelancongan, usaha komuniti Kampung Sayap ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada pendapatan kasar negara dan menambah nilai kepada produk pelancongan yang sedia ada di Sabah.

“Jika Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pelancongan Malaysia bergabung untuk membantu Kampung Sayap dalam memperkasakan konsep pelancongan, saya yakin ia akan mencapai sasaran sebagai lokasi pelancongan pendidikan contoh yang pertama di Malaysia menggunakan model berkenaan.

-BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.