Cukup, cukuplah jadikan TH bahan politik

Cukup, cukuplah jadikan TH bahan politik

 

Oleh MOWARDI MAHMUD

 

IBARAT gajah sama gajah berjuang, TH (pelanduk) mati di tengah-tengah.

Tindakan menjadikan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai mangsa untuk menghentam pihak yang bertentangan dalam politik hanya merugikan umat Islam.

Usahlah diganggu-gugat usaha keras yang dilakukan oleh pihak pengurusan atas TH untuk kembali  memulihkan keyakinan rakyat Malaysia.

Kenapa disebarkan fitnah dan tohmahan yang akhirnya mampu meruntuhkan sebuah entiti yang memainkan peranan penting dalam mengurus umat Islam negara ini menunaikan ibadah haji dengan lebih selesa.

Tidak salah untuk mempersoalkan apa yang dilakukan oleh pengurusan Tabung Haji tetapi bukan dengan dakwaan yang terlalu dangkal dan kurang cerdik sehingga akhir boleh menyebabkan berlaku ‘bank run’ (pengeluaran wang secara besar-besaran).

Malah, dalam mahkamah sekali pun, bukti diperlukan untuk menyabitkan kesalahan seseorang.

Barangkali apa yang dilakukan bertujuan untuk menunjukkan kegagalan atau memburuk-burukkan kerajaan sedia ada. Soalnya, akhir sekali siapa yang rugi?

Bukan mudah untuk TH mencapai pada tahap yang dimiliki sekarang, bakal Jemaah haji bukan lagi menaiki kapal laut  tetapi kapal terbang, bukan lagi berpanas sampai bermandi peluh tetapi berhawa dingin malah makan mengalahkan umat Islam lain di negara yang sering kebuluran.

Hentikan mengheret isu perkauman sempit, apa lagi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang terlalu dibesar-besarkan sangat seolah-olah sebagai ‘Superman’ atau ‘Maharaja Cina’ dalam kerajaan. Kalau ya pun biarlah bukan dalam isu Tabung Haji.

Sama ada anda menyokong atau tidak kepimpinan kerajaan semasa, ia tidak penting tetapi TH perlu dipertahankan melalui usaha-usaha pemulihan yang betul dan bukan dengan lontaran dakwaan yang tidak berasas.

Kerajaan sekarang telah mengambil risiko besar apabila menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) untuk mengambil alih aset dan hartanah yang tidak berdaya maju supaya TH mampu kembali bernafas lega dan tidak lagi semput.

Tambahan lagi, sekiranya TH tumbang implikasi akan menjadi jauh lebih rumit kepada negara.

Bukan setakat TH yang tumbang, malah mungkin juga kerajaan.

Ini kerana kerajaan terpaksa membayar setiap sen milik pendeposit yang dijaminnya.

Sebarang salah laku jika benar didakwa berlaku berkaitan SPV yang kononnya aset dan hartanah TH bakal dibolot oleh Guan Eng (satu-satu dakwaan yang sukar untuk dipercayai) pasti akan terserlah kerana bangkai gajah tidak mungkin dapat ditutup dengan nyiru.

Sekiranya bangkai tidak kenampakan tapi ia tetap berbau juga akhirnya.

Apakah hampir tiada langsung individu beragama Islam dalam kerajaan yang bakal menyanggah perkara berkenaan daripada berlaku. Pastinya tidak!

Sudah dan cukuplah menjadikan TH sebagai mangsa perang politik.

Kita mahukan Tabung Haji menjadi lebih kukuh.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.