Si mythomania dan pemakan kari kambing

Si mythomania dan pemakan kari kambing
(GAMBAR ATAS) ILUSTRASI sebuah cerita rakyat tentang ‘Si Budak yang Berteriak Serigala’. – GAMBAR HIASAN

Ahli politik adalah antara penghidap mythomania yang paling kronik. Mereka pelik apabila rakyat percaya apa yang mereka cakap, sedangkan mereka sendiri tak percaya kepada apa yang mereka cakap tadi.

Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA
zulkimie@yahoo.com

 
Ingatkah anda pada cerita ini? Suatu ketika dahulu ada seorang budak menggembala kambing tuannya di tepi hutan. Pesan tuannya, berhati-hatilah, di hutan itu ada serigala. Kalau serigala menyerang, jeritlah dan minta bantuan penduduk kampung.

Dasar budak nakal. Suatu hari dia mendapat idea untuk menghibur dirinya yang keletihan. Lalu dia pun berlari ke tengah kampung, “Tolong! Serigala hendak memakan kambingku!” jeritnya berkali-kali.

Penduduk kampung berlari ke tempat gembalaannya. Namun alangkah marahnya mereka apabila melihat tiada seekor pun serigala di situ. Kambing-kambing pula sedang enak meragut rumput. Budak gembala itu ketawa terbahak-bahak kerana berjaya mempermainkan jiran-jirannya.

Keseronokan berbohong menyebabkan budak itu mengulanginya lagi. Dia terhibur melihat muka penduduk kampung yang terkulat-kulat ditipunya.

Suatu petang, sekumpulan serigala benar-benar datang dari perut hutan. Budak itu berlari meminta pertolongan. Tapi penduduk kampung tidak mengendahkannya. Maka habislah kambing budak itu dibaham serigala.

Ops… cerita ini belum tamat! Sewaktu budak itu sedang menangis, datanglah ketua serigala mendapatkannya, kemudian “Pling!”, tidak semena-mena berubah menjadi seorang tua yang alim, lalu berkata: “Cucuku, janganlah kamu suka berbohong, kerana ia hanya akan merosakkan dirimu saja.”

Sejak itu budak tersebut tidak lagi berbohong. Dia kemudian menjadi penternak kambing yang berjaya dan sering menderma kambing-kambing belaannya kepada penduduk kampung. Kenyanglah juga penduduk kampung menikmati kari kambing dan kambing bakar pemberiannya. Sekian, habiiiisss…

Anda tahu cerita itu, kan? Ya, ia sebuah cerita rakyat yang kita semua tahu. Tapi penghujungnya saya sengaja tambah. Saja hendak membohong anda. Hahaha… sorry…

Dalam kajian psikologi, budak yang suka menipu itu digelar “mythomania”. Bukan budak itu saja, dalam dunia nyata ini pun cukup ramai mythomania. Mereka suka berbohong untuk meraih perhatian orang lain. Oleh kerana keinginan yang begitu kuat, mereka mereka-reka cerita agar dikagumi orang sekeliling.

Myhtomania tahap ringan hanya melibatkan pembohongan fakta-fakta kecil saja. Namun apabila sudah ketagih, mereka mereka-reka cerita yang lebih besar dan serius.

Akhirnya berbohong itu menjadi sifat semula jadi. Mereka seronok melihat orang lain terpukau dan terkesan dengan cerita bohongnya tadi. Pada ketika ini, berbohong sudah tidak lagi dianggap satu kesalahan, malah satu keperluan dan kenikmatan.

Kata ahli psikologi, terdapat banyak faktor yang menyebabkan mythomania. Punca utamanya ialah kegagalan dalam hidup seperti masalah keluarga, kerjaya, pelajaran, cinta dan cita-cita.

Lalu mereka berbohong untuk menghiburkan diri sendiri dan melarikan diri daripada tekanan emosi. Mereka seronok apabila diri kembali menonjol pada mata orang lain, mudah-mudahan dapat menebus kembali kegagalan tadi.

Penghidap myhtomania ini ramai. Anak-anak juga boleh menghidapnya kerana berasa tersingkir dan mahu mendapatkan perhatian ibu bapa. Lebih-lebih lagi dalam keluarga yang porak peranda dan ibu bapa yang sentiasa sibuk.

Begitu juga di sektor pekerjaan. Di mana-mana pejabat pun pasti ada pekerja yang suka mengampu dan mereka-reka cerita. Pertama, untuk mendapatkan perhatian bos. Kedua, untuk melaga-lagakan para pekerja lain. Betul, kan?

Penghidap myhtomania ini berasa seronok apabila bosnya percaya kepada pembohongan dan ampu-ampuannya. Dia juga terhibur melihat pekerja-pekerja lain berselisih faham akibat pembohongan yang dilakukannya.

SIAPA PENIPU?

Penting sangatkah artikel tentang bohong ini? Ya, penting, kerana sekarang hidup kita ini dikelilingi manusia-manusia penipu. Bahagian paling best dalam artikel ini ialah: Ada jenaka mengatakan ‘Ahli politik adalah antara penghidap mythomania yang paling kronik. Mereka pelik apabila rakyat percaya apa yang mereka cakap, sedangkan mereka sendiri tak percaya kepada apa yang mereka cakap tadi.’

Faham tak? Kalau tak faham, baca sekali lagi perlahan-lahan, ‘Ahli politik adalah antara penghidap mythomania yang paling kronik. Mereka pelik apabila rakyat percaya apa yang mereka cakap, sedangkan mereka sendiri tak percaya kepada apa yang mereka cakap tadi.’

Namun, pada ketika ini, mythomania yang paling menyedihkan ialah mereka yang menipu atas nama serta simbol-simbol agama. Pelakunya memakai pakaian-pakaian agama, menuturkan istilah-istilah agama, tetapi objektifnya ialah menipu masyarakat.

Sebagai contoh, ajaran sesat. Ia wujud dalam semua agama. Ramai yang telah menggadaikan harta, anak isteri, maruah, wang ringgit, malah nyawa akibat terpedaya dengan penipuan pemimpin-pemimpin ajaran sesat ini.

Bacalah kisah ajaran sesat Aum Shinrikyo, Children of God, Order of Solar Temple, Branch Davidians, Haven’s Gate, Golden Dawn, Titisan Syeikh Malik, Sekte Sorga Adn, The Order of Nine Angles, Thule Society German, Rasul Melayu, Kerajaan Langit Ayah Pin dan sebagainya, anda akan terkejut. Betapa manusia mythomania ini mudah saja menipu mangsa-mangsanya untuk meraih kemewahan, seks, kuasa serta populariti. Mereka menipu dengan muka selamba dan penuh confident.

Kenapa semua ini berlaku? Sebab, bagi si mythomania ini pembohongan itu bukan lagi pembohongan, sebaliknya kebenaran hakiki! Ya, mereka percaya dengan pembohongan yang mereka lakukan sendiri! Tiada siapa sangka bahawa mereka sedang berbohong sebab si mythomania ini berbohong dengan bahasa tubuh seorang yang sedang bercakap benar.

Kita boleh saja memberitahu si penipu-penipu ini bahawa hobi membohong akan merosakkan diri mereka sendiri, tapi percayalah, sia-sia sahaja. Si mythomania sudah berasa bangga dan terhibur dengan pembohongan yang dilakukan. Ini kerana hanya dengan cara berbohong saja mereka dapat meraih kejayaan serta melepaskan diri daripada kegagalan yang membelenggu hidup. Ceh!

Soalan mudah: Percayakah anda pada artikel ini? Percayakah anda pada orang di sekeliling anda? Percayakah anda kepada lebai dan YB?

Share artikel ini dalam Facebook dan tengok komen sahabat-sahabat anda. Agaknya siapakah yang mereka anggap sebagai si mythomania. Hahaha…

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.