Konsert Reunion Dewa 19: Dul Jaelani ganti Ahmad Dhani

Konsert Reunion Dewa 19: Dul Jaelani ganti Ahmad Dhani
(GAMBAR ATAS) DUL JAELANI (tengah) sentiasa bersama bapanya, Ahmad Dhani (kiri) ketika Ahmad Dhani menjalani perbicaraan di Jakarta, Indonesia pada Januari lalu.

 

Oleh FAUZAN UDA AHMAD

 
DEMI memastikan konsert Reunion Dewa 19 berjalan lancar di Malaysia Sabtu (2 Februari) ini, Dul Jaelani, 19, mengambil alih tempat ayahnya, Ahmad Dhani selaku pemain keyboard kumpulan itu.

Dalam wawancara yang disiar dalam program Insert Pagi, Trans TV hari ini (1 Februari) Dul berkata, selain untuk menyelamatkan maruah kumpulan yang diasaskan oleh bapanya, ia juga menjadi pengalaman berguna kepadanya dalam mendalami bidang muzik.

Konsert itu bakal menjadi konsert muzik terbesar yang pernah disertainya.

Dul atau nama penuhnya Ahmad Abdul Qadir Jaelani merupakan anak lelaki ketiga (paling bongsu) hasil perkahwinan pertama Ahmad Dhani dengan Maia Estianty (1984-2008).

Dul merupakan anak paling rapat dengan Ahmad Dhani dan terlibat dalam bidang muzik secara langsung berbanding dengan dua abangnya.

Dul turut menaiki lori tahanan bagi mengiring Ahmad Dhani ke Lembaga Pemasyarakatan (LP) Cipinang pada 28 Januari lalu.

Dalam wawancara itu, Dul menyatakan telah mendapatkan keizinan untuk menyertai konsert reunion itu.

Kumpulan Dewa 19 dijangka sampai ke Malaysia hari ini (1 Februari).

Konsert Dewa 19 Reunion Live In Malaysia Feat Ari Lasso & Once Mekel akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam. Selangor.

Dewa 19 diasaskan oleh Ahmad Dhani pada 1986 hingga 2011. Tempat Ahmad Dhani sebagai penyanyi diambil alih oleh Ari Lasso kemudian Once Mekel.

Konsert Dewa 19 Reunion dijadual akan berlangsung di beberapa tempat di Indonesia selepas di Malaysia.

Ini memerlukan Dul terus menjadi pemain keyboard pengganti bersama Dewa 19 sehingga Ahmad Dhani Prasetyo, 46, dibebaskan dari menjalani tahanan selama 18 bulan.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.