OKU kerjakan umrah, ziarah dengan lebih selesa

OKU kerjakan umrah, ziarah dengan lebih selesa
(GAMBAR ATAS) DARI kiri… R. Jeya, Jasmie Shafie, Nor Tipah Majin, Abdullah Hashim dan Rashidy Murad pada MoU antara PGH dan PKOKM di ibu negara, baru-baru ini.

Tapi kami mengambil cabaran ini untuk memberikan perkhidmatan yang serba lengkap kepada golongan OKU ini dengan menawarkan pakej umrah yang serba selesa dan khusus dengan bayaran yang paling berpatutan.

 

Oleh ROSMAH DAIN
[email protected]

 
BAGI semua umat Islam, berpeluang menziarahi dan mengerjakan ibadah di kota suci Mekah dan Madinah adalah perkara yang menjadi keutamaan dalam kehidupan, apatah lagi perkara ini adalah satu tuntutan bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi yang sempurna fizikalnya, mungkin tidak menjadi halangan besar untuk ke rumah suci Allah itu, namun mungkin agak berbeza bagi orang kurang upaya (OKU).

Menyedari keadaan ini, Persada Global Holidays (PGH), sebuah syarikat pelancongan yang bernaung di bawah Kumpulan Persada menawarkan pakej umrah yang bersesuaian untuk golongan sasar ini dengan mengutamakan keperluan dan kehendak golongan berkenaan bagi memudahkan mereka beribadat di tanah suci itu.

Menurut Pengarah Perhubungan Awam Persada, Rashidy Murad, mungkin agak kurang agensi atau syarikat-syarikat umrah yang sanggup menawarkan pakej yang terbaik diperlukan oleh golongan OKU apabila berada di sana.

“Tapi kami mengambil cabaran ini untuk memberikan perkhidmatan yang serba lengkap kepada golongan ini dengan menawarkan pakej umrah yang serba selesa dan khusus dengan bayaran yang paling berpatutan, malah sebelum ini pihak PGH pernah menawarkan pakej yang sama dan mendapat timbal balas yang baik daripada golongan ini,” jelasnya.

Kata Rashidy, antara kemudahan yang disediakan oleh PGH ialah tempat penginapan yang berdekatan dengan Kaabah bertaraf lima bintang, hotel yang mempunyai lif, tandas khas untuk OKU, memastikan mempunyai laluan bagi mereka yang berkerusi roda, menugaskan mutawif khas yang menjadi pengiring kepada golongan ini bermula ketika berlepas dari Malaysia dan juga mengiringi ketika berada di Mekah dan Madinah sambil ditemani ahli keluarga masing-masing, sekiranya ada.

Begitu juga dengan kemudahan-kemudahan lain termasuk makan, minum dan ubat-ubatan serta kursus umrah yang diberikan secara percuma kepada golongan ini secara berkelompok untuk menyediakan pengetahuan mereka sebelum menjejak kaki ke Mekah.

Perkhidmatan khusus turut diberikan kepada warga emas.

Beliau ditemui pada majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara pihak Persada dengan Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM) yang menjadi rakan niaga kepada syarikat pelancongan berkenaan.

PKOKM diwakili Presidennya, Jasmie Shafie manakala PGH diwakili Pengarah PGH, Abdullah Hashim. Hadir sama Pengarah Bahagian Komuniti, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Nor Tipah Majim dan Ketua Bahagian OKU dan Warga Emas JKM, Kuala Lumpur, R. Jeya.

Hasil perjanjian berkenaan menyaksikan ahli-ahli PKOKM sebagai ejen rasmi kepada syarikat umrah berkenaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Timbalan PKOKM, Ruslan Abdullah memberitahu, program Langkah Kerdil Menuju ke Baitullah, iaitu sebuah program khas bagi golongan kerdil yang beragama Islam mengerjakan umrah telah dilaksanakan pada 26 hingga 6 November tahun lalu.

Program Bersama PGH ini, yang telah berjaya membawa seramai 14 orang kerdil dengan sebahagiannya dibiaya oleh pihak Persada sendiri, telah membuka mata masyarakat dan mencetuskan peluang kepada ahli-ahli PKOKM untuk menjana pendapatan dengan menjadi ejen secara langsung bagi pihak Persada.

Dalam pada itu, Nor Tipah mengalu-ngalukan langkah yang dilakukan oleh PKOKM dan PGH sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan ini menjana pendapatan dan merealisasikan impian golongan OKU untuk mengerjakan umrah dan ziarah ke Tanah Suci.

Beliau turut mencadangkan pemergian umrah OKU pada 3 Disember setiap tahun bersempena sambutan Hari OKU Sedunia kerana pada tarikh berkenaan, kerajaan Arab Saudi mengkhususkan golongan OKU melakukan tawaf selama satu jam tanpa gangguan.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

2 Responses to "OKU kerjakan umrah, ziarah dengan lebih selesa"

  1. Norhasni Binti Abdullah Hashim  02/02/2019 at 10:37 pm

    Salam Saya amat berbesar hati kerana Ada pihak yang prihatin dgn kesukaran oku utk melakukan ibadah umrah…sy sebagai oku berkerusi roda berharap akan lebih ramai oku dpt turut serta

    Reply
  2. RADIN BAIDRUL IKRAM RADIN SOENARDI  16/06/2019 at 6:20 pm

    Saya berhubung dengan 5 orang buta yang ingin mengerjakan Umrah tetapi tidak dapat sokonga daripada agen Umrah conventional. Tolong hubungi saya Haji Radin (124935560) untuk saya berbincang dengan pihak yang berkenaan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.