TV Alhijrah tidak wajar difitnah!

TV Alhijrah tidak wajar difitnah!

Justeru, kenalah faham. Stesen TV Alhijrah berdakwah melebihi sekadar kandungan TV-nya. Malah, dakwah ekonomi turut menjadi dasar utama dalam segmen iklannya. Peranannya turut menjadi entiti penting dalam ekosistem PKS negara ini.

 
TUDUHAN melulu dua laporan portal mengenai kedudukan TV Alhijrah jelas tidak tepat dan berunsur fitnah. Malah, cuba menyeret salah faham dan buruk sangka awam terhadap peranan stesen Islam yang pertama di negara ini.

TV Alhijrah mula beroperasi pada 2 Februari 2010 dan bersiaran pada 25 Disember tahun yang sama. Iltizamnya jelas iaitu mensyiarkan Islam melalui platform TV.

Senarionya mudah. Apabila sebuah stesen swasta mengubah saluran berteraskan kandungan Islam kerana gagal meraih keuntungan komersial, ia menimbulkan vakum kosong pada usaha dakwah di saluran TV.

Walaupun sudah wujud senario pasaran iklan komersial yang tidak memihak pada saluran Islam berikutan keputusan syarikat swasta itu menukar saluran Islamnya ke kandungan tradisional Melayu, ia bukan tanda syiar Islam wajar dibiarkan mati di platform TV.

Justeru, pada 2010, kerajaan bersetuju stesen Islam diwujudkan. Ini bagi memastikan ketika lebih 10 saluran tempatan bertemakan hiburan dan komersial menguasai industri, penonton harus diberi pilihan untuk memilih saluran yang 100% berteraskan kandungan Islam

Tuduhan portal tersebut bahawa TV Alhijrah memiliki hutang ratusan juta adalah fitnah dan salah fakta. Menyebut stesen Islam ini memiliki 350 pekerja juga salah fakta. Malah, menuduh banyak jawatan baharu diwujudkan selepas PRU14 dengan pelantikan bergaji besar pun satu fitnah yang nyata.

TV Alhijrah hanya memiliki 235 pekerja dengan hampir 40 penjawat bertaraf kontrak. Hutang pula di bawah paras RM15 juta dengan kemampuan pembayaran balik melalui penyusunan semula kewangan yang cekap.

Isu kewangan tidak muncul selepas PRU14. Isu TV Alhijrah bukan isu politik pertukaran kerajaan. Ia isu berkaitan dengan fenomena domestik yang dialami semua pemain industri TV.

Ada syarikat swasta yang terpaksa menawarkan dua skim VSS dan satu skim MSS dalam tempoh tiga tahun semata-mata untuk tindakan pengurangan pekerja. Tindakan yang menyebabkan 600 penjawat ditamatkan khidmat. Ini bukti bahawa konglomerat media yang mapan selama tiga dekad pun kini sedang melalui detik sukar.

Saluran satelit juga berdepan isu kemerosotan pelanggan akibat kemunculan perisian android di TV yang memudahkan akses pengguna ke ratusan saluran global tanpa perlu melanggan saluran berbayar.

Berbalik pada isu TV Alhijrah. Apabila syarikat swasta menutup saluran Islam kerana isu pemerolehan iklan yang rendah, itu isyarat awal, wujud sentimen pengiklanan dalam saluran TV Islam.

Islamofobia tidak saja melanda Barat dan Eropah selepas Tragedi 11 September 2001. Malah, ia juga menjadi isu senyap di Malaysia. Sentimen itu jelas kerana pengiklan utama arus perdana tidak mahu jenama mereka dikaitkan dengan Islam.

Alasannya mudah: Kuasa beli pelanggan mereka ialah bukan Islam. Islamofobia wujud bukan sahaja dalam kalangan pengiklan arus perdana, malah GLC dan syarikat swasta yang dikuasai orang Islam turut bersikap prejudis.

Ketakutan untuk mengaitkan jenama mereka dengan Islam, antara isu utama stesen seperti TV Alhijrah menanggung beban mendapatkan iklan dalam pasaran.

Walaupun laporan ADEX yang menjadi katalis mengenai pengiklanan nasional menggambarkan wujud lebih RM1.4 bilion potensi pengiklanan – namun, senario itu kini sudah berubah.

Selain menurunnya penguasaan iklan TV ke paras 28%, peningkatan iklan digital pula sedang mencanak naik ke paras 40%. Sekali lagi, realiti ini memberi impak besar pada TV Alhijrah.

Ingat faktanya. Pada 2011, pengiklanan digital hanya menguasai 11% pasaran keseluruhan. Dalam tempoh tujuh tahun, angkanya melonjak dan bertambah hampir 30%.

Jadi, hakikatnya – TV Alhijrah berdepan dua fenemona cabaran yang besar. Pertama, sejak bersiaran pada 2011, pengiklan utama di negara ini secara senyap turut bersindrom Islamofobia. Kedua, peratusan penguasaan iklan TV sedang menurun dengan drastik tahun ke tahun.

Tuduhan mengenai ratusan juta hutang memang fitnah dan salah fakta. Istilah muflis pun salah fakta. TV Alhijrah tidak meminjam sesen pun daripada mana-mana bank. Hutang yang ada hanyalah dengan rakan teknologi industri dan ia disusun dengan baik melalui beberapa keadah rundingan korporat yang dinamik.

Soal penjanaan pendapatan

Sejak era kerajaan BN, sokongan pasaran iklan arus perdana sudah menunjukkan sindrom pengiklan utama tidak mesra saluran Islam. Ingat! Sejarah saluran Islam di TV swasta yang hayatnya hanya bertahan empat tahun adalah bukti awal yang nyata. Saluran bertema Islam itu dilancarkan pada 2005, namun dipindah konsep pada 2009. Semuanya kerana sikap Islamofobia.

Balik lagi ke isu TV Alhijrah. Pada lima tahun pertama (2011 hingga 2015) capaian iklannya hanya sekitar RM2 juta hingga RM5 juta setahun. Angka capaian ini bukan isu salah strategi.

Realitinya, kerajaan sudah sedar sejak awal. Bahawa TV Islam ditubuhkan atas dasar dakwah. Namun, diseru agar mampu mandiri.

Apakah TV Alhijrah tidak mampu mandiri?

Mampu. Tetapi harus bersikap adil dan memahami konsep bahawa dakwah dan komersial harus diimbangi. Pada 2016, kerajaan mengurangkan geran RM38 juta kepada RM18 juta. Angkanya merudum melebihi 50 peratus. Ini berlaku pada era kerajaan BN.

Namun, jangan politikkan. Lihat isu utama iaitu persekitaran iklan komersial yang menguncup serta langkah drastik yang perlu disusun TV Alhijrah. Stesen ini secara drastik perlu menerima realiti, geran tahunannya sudah dipotong dan lompong kewangan harus ditampung melalui pendapatan iklan.

Justeru, pada 2016, TV Alhijrah mengubah strategi pengiklannya. Memandangkan geran kerajaan hanya mampu menanggung kos gaji, stesen mengambil langkah drastik mengubah hala tuju segmen penajaan. Lupakan penaja arus perdana, TV Alhijrah mengalihkan tumpuan ke sektor Perusahaan Kecil Sederhana (PKS)

Malah, meminjam ala-ala tema perniagaan Tony Fernandes: Semua Mampu Iklan di TV.

Memandangkan realistik penguasaan tontonan hanya tiga peratus, dan PKS relatifnya bermodal kecil, TV Alhijrah menjalankan dasar mesra niaga usahawan kecil. Kos iklan dimurahkan. Malah, servis penghasilan bahan iklan juga ditawarkan secara diskaun.

Maknanya, PKS hanya perlu berbelanja kos siaran. Itu difahami kerana banyak syarikat PKS tidak menerima bajet promosi dalam perniagaan mereka. Apa lagi bajet iklan tv yang mahal. Namun, TV Alhijrah memilih untuk membantu supaya tiga bulan pertama, syarikat IKS disubsidi supaya mampu mengembangkan perniagaan.

Formulanya mudah – servis kreatif penjenamaan dan kos produksi diberikan secara percuma. Strategi ini penting kerana dengan membangunkan PKS, keuntungan mereka akan menjadikan TV Alhijrah memiliki klien berpotensi bagi bisnes jangka panjang.

Malah, dasar ini berfungsi dengan baik. Pada tahun 2016, capaian iklan melonjak 260% mencapai angka RM14 juta.

Jangan hanya lihat apa TV Alhijrah dapat. Kaedah pengiklanan ini turut membantu lebih 100 usahawan PKS mencapai keuntungan kerana servis yang diberikan berjaya melonjakkan pasaran mereka.

Ini memacu ekosistem ekonomi PKS, sekali gus menyumbang kepada KDNK negara. Malah, membantu PKS yang berpotensi mengembangkan jenama mereka mendapatkan ruang pemasaran jenama melalui kos setimpal.

Ertinya, TV Alhijrah sedang dan kini berfungsi sebagai instrumen pemacu industri PKS. Satu tanggungjawab dinamik dalam konteks lebih luas dalam membantu ekonomi negara berkembang. Ini sesuai dan bertepatan dengan status TV Alhijrah sebagai agensi kerajaan. Stesen ini memainkan peranan proaktif melangkui skop asal hanya sebagai stesen kandungan Islam.

Ada syarikat PKS yang bermula dengan modal pelaburan iklan RM3,000 pada Mei 2016, tetapi kini mampu melanggan iklan RM100,000 setahun. Dalam agama TV Alhijrah berdakwah. Namun, secara senyap dalam ekonomi, stesen Islam ini sedang menjadi kunci kuasa promosi berkos mampu bayar bagi memakmurkan industri IKS.

TV Alhijrah memang tidak akan menghasilkan pendapatan RM100 juta setahun sekelip mata. Namun, ia memakmurkan perniagaan lebih 100 jenama PKS yang sedang mengalami kemerosotan perniagaan sejak 2014. Hampir 90% pengiklan stesen Islam ini ialah usahawan Islam.

Kita jangan lupa, suasana ekonomi negara mulai perlahan sejak 2014. Ratusan syarikat PKS milik usahawan Islam terjejas teruk. Ia dibeban lagi susulan kejatuhan mata wang ringgit akibat rali yang flipflop selama lebih lima tahun. Impak lebih besar, 90% usahawan ini meminjam dari bank atau mendapat geran pinjaman agensi kerajaan.

Selain berdakwah, peranan pengiklanan TV Alhijrah turut prihatin untuk membantu dan menyelamatkan usahawan PKS Islam, sekali gus mengelakkan kesan ekonomi domino di mana syarikat ditutup dan agensi kerajaan dan bank komersial mengalami krisis mengutip semula pinjaman.

Justeru, kenalah faham. Stesen TV Alhijrah berdakwah melebihi sekadar kandungan TV-nya. Malah, dakwah ekonomi turut menjadi dasar utama dalam segmen iklannya. Peranannya turut menjadi entiti penting dalam ekosistem PKS negara ini.

Jadi jangan terus menfitnah dengan maklumat yang dikutip tepi jalan. Anda menyeraikan tuduhan bersifat sampah ketika TV Alhijrah sedang memainkan peranannya sebagai saluran dakwah dan entiti utama dalam kitaran ekonomi usahawan PKS.

Jangan perlekeh konsep pengiklanan berteraskan semangat jemaah. Selain ibadah melalui dakwah program TV, kami entiti penting dalam dakwah ekonomi. Pada masa sama, formula ini turut mengembangkan janaan iklan TV Alhijrah. Walaupun pada jajaran kecil.

Konsep berjemaah bersama PKS melonjak capaian pendapatan ke angka RM14 juta pada 2016. Iaitu 260% lebih tinggi berbanding capaian model lama pada tahun 2011 hingga 2015.

Angka capaian iklan kaedah ini terus meningkat tahun ke tahun. Prestasinya terus meningkat sekitar 7% kepada RM15 juta (2017) dan naik lagi sekitar 8% kepada RM16.2 juta (2018).

Siapa kata tiada potensi. Dari pemotongan geran kerajaan RM38 juta pada 2015, kepada RM15.7 juta pada 2016, TV Alhijrah berusaha keras mencari pendapatan mandiri. Stesen ini kehilangan RM22.3 juta sokongan geran pada 2016 dengan notis mendadak.

Sejak 2016, kerajaan memperlihatkan trend akan kekal dengan geran bantuan RM15.7 juta setahun. Tanda geran sudah mendadak berkurang hampir 60% berbanding RM38 juta pada 2015.

Namun, capaian 260% peningkatan hasil iklan dalam tempoh setahun, satu tanda TV Alhijrah sangat responsif. Malah, berjaya mencapai kenaikan pendapatan iklan ketika pasaran sedang merudum.

Pada 2011 hingga 2015, pendapatan keseluruhan iklan TV Alhijrah bagi tempoh lima tahun pertama hanya sekitar RM14 juta. Tetapi pada tiga tahun mutakhir (2016 hingga 2018), capaian total pendapatan mencapai RM45 juta.

Inilah fakta dan bukti potensi TV Alhijrah untuk kekal kompeten dalam bisnes dan releven dalam konten.

Soal TV Alhijrah hilang arah?

TV Alhijrah mula bersiaran 18 jam sehari sejak penubuhannya Sekarang pun masih 18 jam sehari. Namun, industri penyiaran sangat organik. Jadi, kena buat perubahan sejajar dengan demand. Mustahil masih pada takuk 2 Februari 2010.

Setelah menyedari stesen Islam itu kurang berdaya komersial kerana data kumpulan penontonnya secara purata berusia 51 tahun, adalah wajar perubahan dibuat.

Perubahan ini penting untuk menambah penguasaan tontonan dari 3% ke 4%. Namun, kenaikan penguasaan wajar difokuskan pada segmen tontonan muda. Sekiranya 1% penonton baharu mampu meletakkan purata kumpulan penonton pada usia 45 tahun, ia menambah nilai komersial pada demand pengiklanan.

Jangan marah atau meroyan. Kalau TV Alhijrah kekal totok berdakwah, akan ada dituduh habiskan wang kerajaan. Kalau disuruh mencari sumber kewangan, kenalah strateginya memenuhi jalur pasaran. Itu punca program bual bicara isu semasa mula diperkenal.

Program bual bicara isu semasa ialah usaha menambah penonton, terutama anak muda. Justeru, format program Sila Duduk Jangan Lari dan Pink Point harus difokuskan untuk menarik segmen penonton muda.

TV Alhijrah tidak mungkin menghasilkan drama rantaian. Kosnya sangat mahal. Kalau dibanyakkan program hiburan pula, nanti dituduh stesen lubuk segala lara.

Program isu semasa yang ditambah hanyalah 9 jam seminggu. Kalau setahun hanya 468 jam. Maknanya hanya 7% pembaharuan dibuat dengan kandungan isu semasa.

Apakah 7% tambahan program isu semasa telah mengubah teras Islamnya? Apakah Islam melarang diskusi isu semasa?

Apakah 468 jam setahun bagi total program isu semasa satu masalah besar? Pada hal total keseluruhan waktu bersiaran TV Alhijrah ialah 6,552 jam setahun.

Tolaklah 468 jam program isu semasa, penonton masih ada 6,084 jam setahun untuk menonton rancangan teras 100% Islamik. Elok anda tonton. Sekiranya pengkritik dan pemfitnah menghabiskan 10% masa untuk menonton segmen Islamik, ia sudah memadai. Minda akan lebih cerah dan hati akan lebih nampak suluhan dakwah TV Alhijrah.

Namun sayangnya, pengkritik lebih sibuk menjadi pemfitnah berbanding membantu usaha dakwah.

Pengkritik yang sama diharap jangan melihat dakwah dengan akal yang sempit. Janganlah pula apabila anda melihat saf solat subuh hanya dipenuhi 50 makmum, dicadangkan supaya masjid yang besar diganti saja dengan kemah kanvas untuk bersolat.

Kononnya, membina masjid yang besar adalah pembaziran kerana jemaah yang hadir hanya dua atau tiga saf.

Atau lebih ekstrim pengkritik berkata: Tidak perlu bina masjid pun sebab orang Islam tidak datang!

— BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.