Winnie K risau belum ada pasangan

Winnie K risau belum ada pasangan

Soalan bila nak berumah tangga sudah sering saya dengar terutama daripada emak. Saya tahu dia risau tentang saya tapi untuk mencari pasangan hidup bukan mudah.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
ijah_pg@yahoo.com

 
SETAHUN sekali sahaja saya akan bertemu dengan penyanyi Winnie Kok Mui Kuan atau nama komersialnya Winnie K, itupun atas urusan kerja.

Bertemu dengan Winnie di Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini, sifat ramahnya tetap tak berubah biarpun kami jarang bertemu.

Winnie yang ditemani jurusolek Avril berkata, seperti biasa setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina, dia akan tampil di kaca televisyen pada hari pertama perayaan.

“Saya tak ada masalah untuk muncul di TV setiap kali Tahun Baharu Cina kerana itu adalah tugas saya sebagai artis untuk menghiburkan penonton.

“Muncul di TV setiap kali musim perayaan Tahun Baharu Cina bukan perkara baharu untuk saya. Kerja itu saya telah buat sejak 10 tahun lalu, tak kiralah dengan TV3 atau RTM. Kalau bukan hari pertama raya di TV, saya akan muncul pada hari kedua,” katanya yang akan muncul dalam slot Wanita Hari Ini menerusi TV3 pada 5 Februari ini.

Jelas anak bongsu darpada tiga beradik itu, ahli keluarganya sudah ‘lali’ dengan perangainya yang kuat bekerja itu.

Tambah Winnie, penampilannya di TV sewaktu sambutan perayaan tidak mengganggu kebahagiaan keluarga yang lain.

“Sambutan Tahun Baharu Cina yang penting adalah berkumpul bersama ahli keluarga untuk makan malam yang dipanggil makan besar, sehari sebelum hari perayaan.

“Jadi kalau saya muncul di TV pun selepas acara makan besar, jadi tak ada masalah. Selalunya, saya akan menziarahi rumah saudara mara kerana inilah peluang untuk bertemu mereka yang jarang bersua itu,” katanya yang akan merai majlis makan besar di Restoran Fei Fei Crab, Kepong.

Winnie Kok Mui Kuan.
[Solekan: Makeup Solution Avril (IG: ms.makeup_solution)]


Tambahnya lagi, sudah menjadi kebiasaan kalau bertemu sanak saudara, soal siapa bakal suaminya pasti diaju.

Kata Winnie, sebetulnya dia juga risau kerana pada usia 30-an, ia masih belum berteman.

“Soalan bila nak berumah tangga sudah sering saya dengar terutama daripada emak. Saya tahu dia risau tentang saya tapi untuk mencari pasangan hidup bukan mudah.

“Kita perlu mengenali karakter pasangan kita itu, bukan boleh main tangkap muat saja. Keserasian perlu ada kerana kita akan hidup lama dengan pasangan.

“Saya harap tahun ini dapat bertemu dengan calon pasangan hidup yang memahami diri saya,” katanya sambil tersenyum.

Biarpun begitu Winnie tak pernah menganggap status solo sebagai penghalang untuknya mencari kebahagiaan dengan cara tersendiri iaitu bekerja dan melancong.

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.