Single baharu Winnie K ciptaan Awi Rafael

Single baharu Winnie K ciptaan Awi Rafael
(GAMBAR ATAS) Ucapan Selamat Tahun Baharu Cina 2019 daripada Winnie K dan dari BebasNews untuk semua pembaca Tionghoa.

 

Saya tertarik dengan ciptaan Awi bila dengar lagu Manusia Sempurna dendangannya dengan Ayai. Lirik dan melodinya menyentuh hati dan itu yang membuatkan saya untuk bekerjasama dengan Awi Rafael.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
ijah_pg@yahoo.com

 
PENYANYI Winnie Kok Mui Kuan atau lebih dikenali dengan nama komersial, Winnie K bercadang untuk tampil dengan single baharu tidak lama lagi bagi meneruskan kerjaya seninya.

Sebelum ini, dia pernah muncul dengan single bahasa Melayu, Cukuplah bersama RJ pada 2014 dan album berjudul Kau Ada Di Mana (2008). Selain itu, Winnie juga sudah ada tiga album Mandarin.

Kata Winnie, kalau boleh dia mahu single baharu ciptaan dan lirik oleh Awi Rafael itu dikeluarkan pada Mac ini.

“Saya suka dengan lagu ini dan bersedia untuk menjadikan ia single baharu. Sebelum ini, saya pernah minta lagu dengan Awi tapi tak menjadi kerana tidak bersesuaian dengan saya. Tak sangka kali ini bila saya minta dan lagu balada yang Awi bagi sesuai dengan saya.

“Saya tertarik dengan ciptaan Awi bila dengar lagu Manusia Sempurna dendangannya dengan Ayai. Lirik dan melodinya menyentuh hati dan itu yang membuatkan saya untuk bekerjasama dengan Awi Rafael,” ceritanya.

Bagaimanapun kata Winnie, dia perlu menunggu waktu yang sesuai untuk memasuki studio rakaman kerana Awi sibuk dengan jadual kerja antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Winnie yang ditemani jurusolek Avril ditemui pada satu program di Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, biarpun jarang muncul pada dada akhbar atau dalam portal hiburan, namun dalam kalangan penganjur persembahan makan malam, nama Winnie K masih berada di tangga teratas.

Berkongsi rahsia pendapatannya, Winnie berkata, persembahan korporat yang banyak membantunya meneruskan kelangsungan hidup.

Tambahnya, persembahan korporat yang diterima bukan sahaja di tanah air tetapi juga di China.

“Saya amat berterima kasih pada beberapa pihak korporat yang sering undang saya untuk menjayakan acara tahunan syarikat mereka.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menyanyi di acara korporat ini biarpun jumlah penontonnya tak seramai di stadium, tapi kelebihannya saya dapat lebih rapat dengan hadirin,” ceritanya.

Kata Winnie, setiap kali dapat tawaran persembahan korporat, dia akan ambil tahu siapa yang bakal hadir dan peringkat umur bagi memudahkan dia membuat pilihan lagu.

Ujarnya, pilihan lagu yang sesuai dapat membantunya untuk berinteraksi dengan penonton.

“Bayangkan kalau yang hadir adalah golongan berumur dan lagu yang saya persembahkan bukan era mereka, sudah pasti tiada reaksi. Persembahan begini saya tak boleh syok sendiri. Saya perlu nyanyikan lagu yang disukai penonton dan sebab itu perlu buat kajian.

“Untuk persembahan korporat, saya perlu nyanyi lagu dalam pelbagai rentak dan bahasa seperti Mandarin, Kantonis, bahasa Melayu dan Inggeris,” jelasnya.

— BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.