AJL perlu kembali ke konsep asal

0
29

Hadiah untuk kategori Lagu Terbaik sepatut hanya dikhususkan penerimanya iaitu komposer. Tidak wajar penyanyi tetap dipanggil muncul di pentas dan lebih menyakitkan apabila penyanyi turut diberi peluang berucap.

 

Oleh FAUZAN UDA AHMAD

 
SETELAH 33 tahun berlangsung, Anugerah Juara Lagu (AJL) perlu kembali kepada matlamat asal penerbitannya.

Ketika diterbitkan oleh TV3 bermula 2 Mac 1986 dan dilhamkan oleh Datuk Ahmad Merican (Pengurus Hiburan TV3 ketika itu) ia bermatlamat memberi penghargaan kepada komposer (pencipta melodi dan penulis lirik).

Pertandingan mingguan dikenali sebagai Muzik Muzik, sementara pertandingan tahunan dikenali sebagai Anugerah Juara Lagu (AJL).

Bagaimanapun konsep asal hanya berjalan sekitar 10 tahun dan selebihnya hingga kini Muzik Muzik dan AJL terlihat lebih memberi penghargaan kepada penyanyi.

Pihak penerbitan seolah-olah ingin memadamkan matlamat asal pertandingan dengan memberi tumpuan kepada golongan penyanyi.

Malah kini penghormatan kepada komposer dibuat hendak tak hendak sahaja.

Adalah tidak wajar nama komposer dicatatkan fontnya 25 peratus daripada font si penyanyi. Dengan ukuran yang kecil dan hanya muncul kurang daripada 5 saat, adalah sukar bagi penonton mengetahui komposernya. Sedangkan nama penyanyinya dapat dibaca dengan jelas kerana fontnya sama besar dengan judul lagu.

Sepatutnya biodata komposer perlu dijelaskan dengan lebih lengkap termasuk mencatatkan nama sebenarnya.

Tak salah turut memberi penghargaan kepada golongan penyanyi kerana sesebuah lagu tidak akan popular tanpa penyanyi.

Lalu tidak salah mengadakan kategori Penyanyi/Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Namun penghargaan untuk golongan penyanyi cukup untuk dua kategori itu. Jangan berlebih-lebih.

Hadiah untuk kategori Lagu Terbaik sepatut hanya dikhususkan penerimanya iaitu komposer. Tidak wajar penyanyi tetap dipanggil muncul di pentas dan lebih menyakitkan apabila penyanyi turut diberi peluang berucap. Seolah-olah kemenangan itu milik bersama.

Malahan pihak penganjur perlu mempertingkat jumlah hadiah. Pemenang kategori Lagu Terbaik harus sekurang-kurangnya RM100,000.

Perubahan waktu menyebabkan nilai hadiah semakin meningkat. Astro Warna memberikan hadiah bernilai RM500,000 untuk anugerah utama Maharaja Lawak Mega.

Malahan pihak penganjur perlu mempertimbang penyusun muzik (arranger) turut dimasukkan sebagai pencipta sesebuah lagu.

Jadi sesebuah lagu itu perlu mencatatkan nama pencipta melodi, penulis lirik dan penyusun muzik. Sehingga kini penyusun muzik adalah golongan yang paling terpinggir.

Bagi pencipta melodi tidak ramai yang mampu menjadi penyusun muzik yang perlu memiliki pengetahuan muzik yang agak tinggi.

AJL harus terus mengalami inovasi dan terus mampu menjadi pertandingan dalam menghargai golongan yang terbabit dalam bidang muzik.

Kini Muzik Muzik sudah kurang ditonton berbanding 20 tahun lalu dan hanya disiar pada jam 11 malam setiap Isnin.

— BebasNews
Please follow and like us:
error

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here