Memburu Rafflesia, merungkai legenda di Kampung Sayap

Memburu Rafflesia, merungkai legenda di Kampung Sayap
Gambar atas: Ezra (kiri) dan Aming (kanan) menjelaskan sesuatu mengenai Rafflesia.

 

Laporan/Foto:Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

 

KOTA BELUD – Bagi pencinta alam dan botani, pengalaman melihat Bunga Rafflesia secara dekat merupakan antara tarikan istimewa ke sesuatu tempat di rantau ini.

Justeru, pelawaan daripada Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) kepada kami baru-baru ini untuk melihat bunga tersebut kembang pastinya amat menarik, lantaran masa diluangkan untuk merancang jadual dan segala yang diperlukan.

Bunga Rafflesia (Rafflesia Arnoldii, merupakan tumbuhan berbunga tunggal yang terbesar di dunia dan hanya dapat ditemukan di kawasan hutan hujan Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Bunga tersebut diperkenalkan dalam dunia saintifik oleh Gabenor Syarikat Hindia Timur, Sir Stamford Raffles, Lady Sophia Raffles dan Dr. Joseph Arnold setelah pertama kali ditemukan pada 1818 di Bengkulu, Sumatera, Indonesia.

Setibanya di Konunukan yang terletak di Kampung Sayap, kami disambut mesra oleh Ranger Kehormat Taman-Taman Sabah, Aming Gemburus dan Ezra @ Ginong Saddok.

Kenderaan perlu diletak di bahu jalan dan kami perlu merentas denai dan tebing curam selama kira-kira 10 minit untuk sampai ke lokasi yang pertama.

Ternyata memang rezeki kami dapat melihat dua kuntum bunga Rafflesia yang mengembang, serta tambahan tiga kuntum lagi beberapa hari berikutnya.

Bunga Rafflesia yang sedang mengembang.

Walaupun baunya tidak seindah bunga lain tetapi berdepan dengan tumbuhan unik tersebut sememangnya rezeki awal tahun.

Menurut Aming, Bunga Rafflesia adalah spesis tumbuhan parasit yang hidup menumpang di pokok lain. Ini bermakna ia memperoleh nutrien daripada perumahnya.

“Konunukan Kampung Sayap merupakan sebuah tempat yang dipenuhi oleh “wakau” atau akar perumah Rafflesia.

“Orang kampung mula menyedari tentang kewujudan spesies Rafflesia pada awal 80-an, tetapi pada masa itu mereka masih jahil akan nilainya hinggakan ada dalam kalangan mereka mengambil bunga Rafflesia yang masih belum mekar untuk dijadikan alat permainan.

“Kebanyakan kawasan sekitar telah diteroka untuk dijadikan kawasan penanaman padi dan pokok buah-buahan hingga menyebabkan habitat Rafflesia terancam,” ujarnya.

Namun begitu, Aming yang juga pengusaha Konunukan Rafflesia bersama keluarganya sentiasa berusaha untuk mengekalkan kawasan tanah mereka agar tidak diganggu demi kelestarian habitat Rafflesia di kawasan tersebut.

Menurutnya, terdapat juga individu-individu yang tidak bertanggungjawab mencerobohi kawasan Konunukan untuk mencuri akar perumah Rafflesia untuk ditanam di kawasan lain.

Jelas Aming, walaupun mereka berjaya menanam spesies itu di tempat lain, namun ia tidak dapat membiak dengan subur kerana kawasan baharu telah terputus daripada ekosistem semula jadi pendebungaan dan penyebaran benih yang merupakan proses penting dalam memastikan tumbuhan itu dapat terus hidup dan bertahan lebih lama.

Tambahnya lagi, dalam hutan hujan tropika yang tebal di mana tiupan angin terhad, kebanyakan tumbuhan bergantung kepada haiwan bagi tujuan pendebungaan dan penyebaran biji benih.

Batu Gasatan.

Selepas merakamkan keindahan bunga Rafflesia, Aming membawa kami melawat Batu Gasatan, yang terletak di tengah Kampung Sayap.

Menurutnya, legenda bermula apabila batu tersebut digelar sedemikian sebagai mengabadikan nama salah seorang pahlawan terbilang di Kampung Sayap pada suatu ketika dahulu, aki Gasatan.

Aming berkata kerana orang dahulu yang gemar mempelajari pelbagai ilmu mempertahankan diri, termasuk ilmu kebal maka legenda yang dikaitkan dengan Batu Gasatan menjadi mitos di kawasan itu.

“Diceritakan bahawa pada suatu ketika, Aki Gasatan yang baharu sahaja menamatkan pertapaan ingin menunjukkan kekuatannya dengan cara mengangkat sebuah batu besar sambil mendaki bukit sehingga tiba ke sebuah perkampungan lama.

“Batu itu kemudian di tinggalkan di kampung tersebut begitu lama hinggalah pada 2011 saya bersama seramai 31 orang penduduk kampung cuba memindahkannya ke kawasan Paka di Kampung Sayap.

“Ia kemudian dijadikan tugu bagi memperingati amalan nenek moyang,” katanya.

Segindai yang merupakan sebuah tapak sejarah lokasi pertapaan.

Selepas itu, kami dibawa melawat ke Segindai yang merupakan sebuah tapak sejarah lokasi pertapaan dan juga tempat untuk menghaluskan potongan kepala pada zaman “mogisasangod” sebelum kepala tersebut digantungkan pada pokok ara atau “nunuk” yang tumbuh dikawasan itu.

Aming kemudian membawa kami berehat di kebun duriannya yang terletak di Lombon Farmstay.

Memang unik penginapan rumah tiga bilik di situ dengan dapur dilengkapi peralatan memasak, selain disediakan pondok untuk bersantai, kamar persalinan dan kolam mandi.

Dalam pada itu, Ezra yang turut menyertai grup kami berkongsi bercerita tentang profesionnya sebagai ranger dan juga perbezaan Kampung Sayap dahulu dan sekarang.

Menurutnya, apabila Kampung Sayap mula dikenali pelancong, mereka mula menyedari keperluan menganjurkan kursus-kursus pengiktirafan untuk pemandu-pemandu arah di sini.

“Jadi kami para belia mengambil inisiatif untuk mendapatkan lesen sebagai pemandu arah supaya bila ada pelancong yang datang, kita tahu cara melayan mereka.

“Kebetulan pihak Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) telah mengiklankan tawaran untuk menganjurkan kursus pelesenan bagi pemandu arah setempat yang tertumpu di kawasan Lembah Danum, Maliau Basin dan Kinabatangan.

“Bayaran sepatutnya antara RM6,000 hingga RM7,000, tetapi setelah ditemu duga oleh pihak JPSM, kami berjaya mengikuti kursus tersebut secara percuma.

“Kursus selama 20 hari yang merangkumi modul praktikal dan peperiksaan itu dikendalikan di Maliau Basin oleh Borneo Tourism Institute.

“Tenaga pengajar yang terdiri daripada pemandu arah kanan, pensyarah berpengalaman dan para penyelidik dari Taman-Taman Sabah telah mendedahkan kami kepada pelbagai aspek alam.

Menurut Ezra, selepas penyerahan sijil kelulusan, mereka diberi tempoh tiga bulan untuk memohon lesen. Namun begitu, hanya 24 orang sahaja yang berjaya daripada hampir 200 orang yang mencuba nasib, dan beliau satu-satunya yang berjaya mewakili Kampung Sayap.

Walaupun sebelum itu mereka tahu tentang kewujudan air terjun di perkampungan tersebut, namun sebelum mengikuti kursus mereka tidak menganggapnya sebagai kawasan pelancongan kerana tiada promosi dilakukan dan ia hanya digunakan oleh penduduk kampung untuk bersantai.

Seorang pelancong dari Jerman beramah mesra dengan penduduk kampung.

“Dahulu kami kurang pendedahan, jika ada pelancong luar datang, kami segera bersembunyi kerana malu untuk berkomunikasi. Sekarang keadaan telah berubah kerana kami berasa lebih yakin untuk membantu.

“Pengetahuan yang diperoleh kini menambah nilai pengalaman pelancong luar ke Kampung Sayap. Mereka berpeluang melakukan aktiviti kampung, seperti menoreh getah, membuat perangkap, melastik serta merasai pengalaman menanam padi bukit dan memetik buah-buahan tempatan,” katanya.

Ternyata Kampung Sayap sememangnya unik kerana mempunyai tarikan daripada kira-kira 40 lokasi air terjun di kawasan pergunungan yang juga sesuai untuk aktiviti pendakian dan penerokaan hutan asli.

Sekarang di Kampung Sayap terdapat banyak premis inap desa (homestay) dan inap ladang yang menjadi sumber pendapatan sampingan, selain mempelbagaikan rutin harian untuk kelangsungan hidup penduduk setempat.

-BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.