DSV, popularitinya berisi, banyak boleh dipelajari usahawan

DSV, popularitinya berisi, banyak boleh dipelajari usahawan

 

Oleh NURULANUAR MANSOR

 

DNA DSV, Fenomena Jenama dan Glamor Selebriti

 

LEBIH sedekad namanya dianggap Diva TV walaupun bukan artis. Kisah hidupnya sentiasa trending dan mencipta obses bagi netizen.

Imej selebriti bisnesnya satu senario baharu dalam mangkin budaya pop. Sekali gus menjadikan trend gosip media sosial terhadap sosialit popular ikut berubah.

Kenapa? Jawabnya mudah.

Datuk Seri Vida (DSV) mencipta idealisme baharu, dunia bisnes masa kini bukan lagi menjual produk tetapi harus dipacu suntikan selebriti.

Apakah fenomena diva ini berjaya dalam bisnes? Sudah pasti.

Pelbagai siri realiti TV dan hiburan popular menikmati nilai tajaan lebih RM30 juta. DSV bergengsi melalui pelbagai jenama dan produk keluarannya mewarnai program tajaan. Sekali pun banyak kontroversi – kesannya tetap sensasi.

DSV satu fenomena ketika formula bisnes konvensional terlalu bergantung pada manipulasi penjenamaan produk sebagai elemen bisnes.

DSV mengubahnya.

Teorinya ialah menjadikan dirinya satu jenama dan produk hanya menumpang akses pasaran melalui sensasi glamornya.

Pamoga dan Qu Putih tidak akan mampu mencipta sensasi jualan mencapai RM15 juta sebulan sekiranya bergantung pada teori lapuk pemasaran.

Era taksub pada penjenamaan dan kedudukan (positioning)  sudah berlalu. DSV muncul mengubah kaedah berniaga sesuai dengan slogan iklan (tagline) berpaksi kepentingan diri (self centric: I Am Me.)

DSV memacu sensasi di platform TV kerana perwatakannya. Strateginya spesifik di TV kerana visual layar kaca mampu menjadikan karakternya satu fenomena.

DSV mengabaikan iklan radio dan media cetak kerana percaya: Audio dan teks pada era ini tidak mampu mencipta sensasi personaliti.

Hasil strategi mencipta imej diva di TV, DSV menikmati sensasi tular percuma di media sosial tanpa perlu berbelanja membeli pengikut di Facebook (FB) atau Instagram (IG).

Status diva menjadikan dirinya tidak perlu membayar sesen pun pada kaedah pemasaran media sosial sehingga berjaya memacu dirinya menembusi jutaan akses akaun media sosial secara percuma.

Dua juta pengikut di IG dan lebih 500 ribu di FB menjadikan kos penajaan TV melebihi RM30 juta selama sedekad ini jadi berbaloi.

Kini, dengan hanya satu hantaran post produk di media sosial, DSV sudah memiliki akses promosi bernilai lebih RM200 ribu kalau berbelanja di TV.

Jangan tanya berapa hasil pendapatannya.

Ketika puncak divanya menguasai trend media sosial, produk Pamoga boleh mencapai jualan RM15 juta sebulan.

Diva selebriti seglamor DSV berada dan menguasai banyak program hiburan kelas A di pelbagai stesen utama. Satu fenomena yang melenyapkan monopoli jenama gergasi.

Pamoga dan Qu Putih kini antara jenama utama yang mengawal penajaan TV. Apabila DSV membawa dirinya sebagai selebriti bisnes yang menguasai Akademi Fantasia, Gegar Vaganza dan Anugerah Juara Lagu – jenama setanding penaja yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Fenonema DSV berjaya melupuskan daya saing jenama konvensional yang selama ini berkuasa dalam kawalan iklan program TV rating utama di negara ini.

“Saya suka buat benda pelik dan baharu. Meniaga kan…,” katanya dalam suara loghat Kelantan yang lucu.

Empat kali bertemu dan melalui mesyuarat yang panjang membuatkan diva ini menjadi subjek yang aneh di depan mata.

Kualiti kepentingan diri (self-centrism) satu fenomena baharu untuk wartawan kanan melihat secara dekat perubahan dunia selebriti. DSV bukan acuan artis 80an atau 90an. Malah, berbeza dengan artis dua dekad alaf baharu.

Malah, DNA DSV juga berbeza dengan stail artis popular. Selepas 30 minit berbincang dan saling berdebat, baru kita dapat menghidu warna personalitinya. Dia bukan artis berwarnakan kepalsuan (fake colour) yang berlakon dalam sesi foto dan di TV. Malah, jauh sekali berbanding ahli politik yang dalam lima minit sahaja kita sudah tahu watak palsu mereka.

“Saya suka macam ini. Inilah saya,” katanya dengan ketawa kuat hingga terdongak kepala dan kerusi berganjak ke belakang.

DSV ada dunianya tersendiri. Personalitinya tidak dibina dalam sehari. Ia bermula pada usia sembilan tahun apabila hidup berjaja kuih mencari rezeki. Impian untuk hidup kaya dan sohor bukan mimpi semalaman. Namun, itu impiannya sejak kecil.

“Saya suka ada semua benda. Itu motivasi untuk saya bekerja kuat,” katanya.

Saya melihat baju Ed Harley dan beg LV serta segala macam jenama mewah yang dipakainya. Itu sahaja perbualan peribadi, sesi dua jam seterusnya ialah mengenai strategi perniagaan. Rundingan yang rumit tetapi dinamik. Kami berdua celik bermain tarik tali. Dia usahawan sejati dan IQ bisnesnya tajam kerana bisnesnya sudah tiga dekad.

Advantage utama yang menjadikan dia bijak mengendalikan strategi ialah – dia buka mulut tetapi tidak membuka lubuk. Seperti mengatur bidak catur, dia menanti detik check mate.

Dia tahu kandungan TV dan bagaimana kandungan berguna dan berfungsi untuk bisnesnya. Dia melihat kandungan sebagai: “Buatkan saya popular dan saya akan buat orang bercakap mengenai produk*. Ini teknik DSV. Dia sudah mahir dengan game plan begini.

Tapi itu dua jam perbualan perniagaan. Sejam lagi apa?

Kami bercakap mengenai sekolah tahfiz kendaliannya. Impiannya melihat Al Quran berada di hati anak-anak jagaannya. Serta, Al Quran digital yang diusahakannya untuk memudahkan proses pembacaan dan pembelajaran kalam Allah. Juga, kelas mengaji yang dianjurkan dalam ruang surau di rumahnya.

Bahagian dirinya lebih romantis apabila menyentuh isu agama. Nadanya lebih wanita dan penuh kasih-sayang apabila bercerita mengenai anak-anak tahfiznya. Matanya lebih redup dan berkaca-kaca apabila bercakap mengenai bahagian cintanya pada agama.

Kini DSV menjelajah ke TV Alhijrah pula. Melupakan sebentar program glamor hiburan. DSV ingin berkongsi tips keusahawanan. Malah, mendapatkan penceramah terkenal Samsul Debat sebagai penasihat agama melalui slot sembang santai selama sejam itu.

Program TV Inspirasi bersama DSV satu lagi kembaranya – perjalanan tabah seorang wanita yang asalnya anak kecil berjaja kuih di sekitar kampungnya di Kelantan.

‘Haters’ sentiasa menyerangnya. Namun, DSV nampaknya sudah dilatih menentang cabaran dunia ketika belum kenal warna gincu dan cantiknya maskara.

— BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.