Kisah Tandas Jepun, Jamban kita…

Kisah Tandas Jepun, Jamban kita…
Gambar atas:  Tandas awam di Lapangan Terbang Fukuoka, yang kering dan bersih.

 

APA yang saya akan tulis ini mungkin dianggap remeh. Tapi bagi saya sebagai orang Islam yang pentingkan kebersihan dan kesucian, ia dianggap satu kewajipan untuk saya sampaikan.

Ia adalah mengenai Tandas. Sengaja saya letak huruf T besar, kerana bagi saya ia dianggap besar. Ia lebih besar daripada isu kasut hitam atau putih dan isu beg berat atau ringan untuk murid-murid sekolah.

Saya kini dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Jepun — sebuah negara yang cukup saya hormati dan sanjung dari dulu hingga sekarang.

Semasa saya bertugas sebagai wartawan satu ketika dulu, boleh dikatakan sering saya ke Jepun.  Lebih-lebih lagi semasa PM masa itu Dr Mahathir Mohamad.  Amat kerap saya ke negara matahari terbit itu kerana membuat liputan lawatan rasmi beliau.

Sebagai wartawan dan individu, kita bukan semata-mata pergi bertugas dan pulang, tetapi kita menggunakan pancaindera kita untuk melihat, merasa, memikir  — kemudian menganalisis, sama ada untuk menulis dan berkongsi dengan masyarakat atau untuk diri sendiri.

Selama empat hari saya berada di Fukuoka, sebuah wilayah di bahagian ekor Jepun dan terletak di kedudukan Barat negara itu. Di kelautan, Fukuoka menghadap ke negara Korea.

Ini adalah tandas awam di bawah subway kawasan Tanjin, Fukuoka. Ia seperti sebuah perpustakaan.

Bandar raya Fukuoka cukup-cukup bersih dan tiada sampah kelihatan di atas jalan atau di mana-mana sekali pun.

Namun, sebagaimana yang saya sebut di atas saya akan membincangkan mengenai soal kamar kecil, seperti sebutan di Indonesia atau jamban sebutan kampung Melayu atau bilik air bagi sebutan lembut.

Suasana Tandas di Malaysia masih sama. Mangkuk Tandas, masih tidak berubah — dengan suasana ada di antaranya (banyak juga) kelihatan kesan-kesan hitam tapak kasut di  atas penutup mangkuk Tandas duduk. Masih ada yang berani bertinggung di atas mangkuk duduk, kononnya kerana jijik hendak duduk di atas penutupnya.

Tandas awam dalam subway Tanjin, Fukuoka.

Ia bukan sahaja berlaku di Tandas-Tandas R&R di lebuh-lebuh raya, juga di kompleks-kompleks membeli-belah.

Sepatutnya, kita diajar selepas mangkuk Tandas digunakan pelapiknya harus diangkat supaya tidak kotor dan boleh digunakan oleh orang lain. Saya yakin masih ada yang tidak faham penggunaan pelapik tempat duduk mangkuk tandas itu.

Soal Tandas yang basah, jangan cakaplah. Itu sudah seperti satu kebiasaan. Sehinggakan saya pernah mengadu dalam media sosial kerana Tandas-Tandas di lapangan KLIA cukup tidak terurus, basah, memalukan dan kotor.

Tandas awam di Lapangan Terbang Fukuoka. Peraturan menggunakan Tandas sembur (bidet).

Namun, keadaannya kini sudah memuaskan. Tapi masih jauh, jauh berbanding dengan Fukuoka, yang saya baru saja terbang keluar dengan pesawat B777 Thai Airways ini.

Jom kita lihat Tandas di Fukuoka. Setibanya saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Fukuoka, saya masuk ke Tandas kerana perut memulas dan kembung kerana tekanan di dalam pesawat sebelum itu.

Saya kagum kerana Tandasnya kini dilengkapi dengan mangkuk tandas elektronik, menggunakan bidet, untuk pancut dan sembur air tepat ke lubang dubur bagi mencuci najis kita.

Saya berkata dalam hati saya “Jepun pun sudah basuh berak. Bukan lagi pakai kertas tandas, yang tidak bersih.”

Tandas awam di sebuah kedai kopi francais di bandar raya Fukuoka.

Saya bercakap lagi dalam hati saya “oh, jadi mereka lebih suci lagi. Kita pun cuci, tapi Tandas kita macam mana? Basah lencun, kadang kala air yang dibuka dari paip sehingga terbang ke bumbung. Basah satu Tandas.”

“Bilik air orang Jepun ini cukup hebat,” kata saya dalam hati. Atau mungkin juga Jepun sudah melaksanakan sistem Tandas itu sebagai persiapan penganjuran Sukan Olimpik 2020?

Kemudian saya pun check-in ke sebuah hotel di tengah-tengah bandar raya Fukuoka. Hotel itu bukanlah hotel mahal, hotel biasa, tapi juga mempunyai Tandas elektronik yang sama.

Jika dulu semasa saya berkunjung ke Jepun lebih 10 tahun lalu, mangkuk Tandas sebegitu hanya ada di hotel-hotel mewah kini ia adalah satu kebiasaan.

Apabila saya singgah di sebuah kedai kopi kepunyaan Amerika, saya juga teringin masuk ke Tandasnya. Juga mangkuk Tandasnya mempunyai kelengkapan bidet.

Tandas awam di sebuah restoran di Fukuoka, meletakkan peraturan jelas mengenai pengunaannya.

Malangnya, di kedai kopi yang sama di KL, kelengkapan itu tiada. Kita masih popular dengan paip panjang, pancut untuk mencuci najis kita.

Lebih hebat lagi, semasa saya berada di dalam subway —  kawasan bawah tanah yang menempatkan rangkaian kereta api di kawasan Tanjin, dipenuhi juga dengan pelbagai macam kedai, saya masuk ke Tandasnya. Tandasnya adalah sebuah perpustakaan.

Penuh dengan buku-buku. Jangan cakaplah kebersihannya, lebih hebat daripada Tandas Premium di KLCC. (Lihat gambar)

Semua Tandas-Tandas di Fukuoka adalah percuma.

Berbanding di negara-negara Eropah pun, Tandas mereka tidak sebersih di Jepun. Di Eropah, Tandasnya masih menggunakan kertas tisu untuk membersih najis. Tandasnya pula hanya boleh digunakan oleh pelanggan, dengan kebenaran masuk menggunakan pin-kod dari resit belian.

Saya juga sempat berkunjung ke sebuah universiti di Fukuoka iaitu Universiti Fukuoka, yang berusia hampir 100 tahun.

Dan, tidak terlepas peluang saya masuk ke Tandasnya. Ia juga mempunyai kemudahan Tandas elektronik yang sama. Tiada setitik air pun di atas lantai. Sebersih-bersihnya.

Tandas adalah satu cara hidup masyarakat Jepun. Kebersihan mereka di tahap 101 peratus. Maaf, jika dibandingkan dengan taraf jamban kita.

Kita masih jauh ke belakang.

Budaya sesebuah masyarakat harus bermula dari sekolah. Tiada guna jika kita ada Tandas bidet sekalipun, tapi masyarakat kita tidak tahu menggunakannya.

PWTC satu-satunya bangunan yang paling awal menggunakan sistem bidet semasa mula-mula ia dirasmikan awal 90-an dulu. Tapi bukan semua yang tahu menggunakannya. Tandas masih lagi basah.

Saya sarankan semua sekolah, bermula dari sekolah rendah menggunakan Tandas elektronik seperti itu. Atau jika bukan elektronik, gunakan sistem bidet yang murah bagi mendidik masyarakat kita ke arah penggunaan Tandas yang bersih dan kering.

Tandas-tandas di masjid-masjid pun harus memulakan mangkuk Tandas bidet, Tandas sembur seperti ini. Ayuh mulakan.

Saya berharap ke semua pusat-pusat membeli belah dan Tandas-Tandas awam mula mentransformasikan Tandas-Tandas mereka ala-Jepun ini.

Namun, saya yakin sistem Tandas di Jepun, khususnya Fukuoka ini dilaksanakan dengan arahan pihak berkuasa tempatan. Ia lebih mudah dilaksanakan kerana budaya Tandas bagi masyarakat Jepun sudah pun bermula dari di bangku sekolah lagi.

Oleh itu, bagi kita semua pihak — Kementerian Pelajaran, Kementerian Wilayah, Kementerian Perumahan dan pihak berkuasa agama, harus bermula dari sekarang.

Malah tidak keterlaluan jika Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mewujudkan sebuah jabatan khusus, iaitu Jabatan Tandas bagi mewujudkan budaya Tandas moden di negara ini. Tiada guna negara maju, tapi Tandas kita masih macam jamban.

Datang belajarlah dari Jepun. Belajar pengurusan Tandas. Sekolah reka bentuk bangunan di universiti juga sudah boleh membuat pengkhususan mengenai rekaan Tandas moden dan aman.

Universiti di Malaysia juga sudah boleh memperkenalkan kursus khusus peringkat Sarjana iaitu MSc in Toilet Facility Management!

Sebelum saya menaiki pesawat, saya sempat singgah di Tandas airport sekali lagi.

Lama saya duduk di atas mangkuknya, bukan kerana tempat duduknya hangat kerana dilengkapi dengan sistem pemanas, tetapi saya merasa aman.

Setelah melepas hajat. Saya tekan butang bidetnya dan ia terus pancut ke lubang dubur saya. Rasa geli pun ada, tapi saya dapat rasai, ia telah menjalankan tugas pancutan dengan berkesan sekali.

Ambil kertas tisu hanya lap keringkan sahaja. Tapi untuk membersihkan mangkuk itu kena flush sendirilah, walaupun ada juga tandas apabila kita bangun dari mangkuknya ia flush secara automatik.

Apabila, saya keluar dari Tandas itu, teman saya merungut “apa lama sangat… gate kita jauh lagi.

“Duduk lama-lama dalam toilet banyak syaitan tau…” bebel beliau lagi.

Saya tersenyum sahaja. Terasa puas sangat. Macam duduk dengan bidadari!

 

— BebasNews.
Please follow and like us:
error

4 Responses to "Kisah Tandas Jepun, Jamban kita…"

  1. Rejal Arbee  07/02/2019 at 2:45 pm

    Saya tertanya kenapa tandas di negara Islam begitu kotor sekali berbanding dengan negara bukan Islam. Lihat saja di Mesir, Judah, Makkah seringnya kotor. Setahu saya antara negara Islam hanya tandas di Turki saja yang bersih malah amat bersih sekali. Saya pernah kata pada isteri waktu kami singgah di suatu R&Rnya bahawa kalau letak meja dan kerusi kita boleh makan di situ. Inilah apa yang sepatutnya kalau kita fahami kehendak agama.

    Reply
  2. Saharudin Musthafa  07/02/2019 at 3:00 pm

    Saya sangat bersetuju dengan tulisan ini boss Datuk Zaini. Saya hairan dengan keadaan tandas di Malaysia bukan saja di R&R, tandas di masjid pun sama!

    Reply
  3. Emefoza  17/02/2019 at 11:12 am

    Betul apa yg Datuk tulis. Walau pakai paip air, masih boleh jaga kebersihan tandas sbb tandas bidet mahal Datuk. Bab basah lencun jangan ceritalah. Tetapi tandas kering ni hanya dapat dilihat di luar negara, orang miskin tidak dapat faham dan rasa kenapa tandas perlu kering? Mereka tiada peluang ke luar negara. Golongan B40. Dan mereka yang paling ramai dalam kalangan kita. Itulah gap yg ada, perlu dimulai dengan pendidikan kerana tanpanya, tandas dengan bidet pun masih boleh basah lencun, air sampai ke bumbung!

    Reply
  4. Dr Azmi Hamid  19/05/2019 at 7:24 am

    Tepat sekali Dato.
    Kita masih terkebelakang dalam aspek kebersihan tandas.
    Jika saya ke outstation, saya suka ikut trunk road, jalan kampong kerana seronok. Bila rasa nak buang air, selalu berhenti di surau-surau.
    Ada tandas di surau yg bersih, tapi ada juga yg tidak. Bukan saja tidak bersih, kunci penutup pintu tandas juga rosak. So bila berada dalam tandas, kena berdehem ( batuk2 kecil) utk memberi isyarat ada orang dalam tandas. Jika tidak, tentu ada yg silap masuk.

    Kita sebagai rakyat Malaysia amat perlu menyedari lebersihan tandas. Apatah lagi, ajaran islam kita sangat jelas mementingkan kebersihan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.