Siapa dalang serangan TH, bukan rahsia lagi…

Siapa dalang serangan TH, bukan rahsia lagi…

Mereka yang melakukan serangan reputasi sebenarnya mengetahui apa yang dilontarkan tidak berasas, malah pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti juga menidakkannya.

 

Oleh MOWARDI MAHMUD

 
JANGAN mudah ‘menelan bulat-bulat’ terhadap apa yang didengar atau dibaca.

Bukankah ikan akhirnya menjadi hidangan di meja makan kerana ghairah meragut kail bersalut umpan. Kita pastinya lebih bijak berbanding ikan berkenaan kerana memiliki akal untuk menilai apa yang sebenarnya tersirat dan tersurat.

Bisa media sosial jelas lebih ampuh apabila seseorang semakin mudah ‘dibunuh’ tanpa pelakunya diseret ke penjara dengan menjahanamkan reputasi mangsa (character assassination) yang tidak berpeluang mempertahan diri.

Perbuatan sedemikian adalah lumrah dalam dunia politik masa kini, bukankah lebih pedas cerita tentunya lebih menyeronokkan dan menarik lebih banyak pengaruh.

Lebih-lebih lagi apabila dakwaan yang disebarluaskan berupa maklumat yang sukar atau malas ditentusahkan oleh masyarakat umum.

Jadi tidak menghairankan apabila pelbagai cerita ‘panas’ sarat dengan dakwaan ditimbulkan tentang Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Zukri Samat dan ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Zaiton Mohd Hassan.

Selepas gagalnya cubaan mencalar reputasi Zukri sebelum ini, kini Zaiton pula dijadikan mangsa serangan.

Usaha-usaha ini memang dijangkakan terutama menjelang pengumuman hibah (dividen) TH kebiasaannya dilakukan pada akhir bulan ini. Lebih-lebih lagi, kadar yang bakal diumumkan tentunya lebih rendah berbanding sebelumnya kerana TH baru sahaja dipulihkan.

Sehubungan itu, orang ramai diketahui akan lebih mudah marah dan menjadi tipis kesabarannya dan jari bakal dituding ke arah pengurusan yang baharu.

Bukanlah pelik jika cerita-cerita lapuk dan tidak benar yang ditokok tambah akan dijaja dan dijadikan lebih lunak untuk didengar atau dibaca apabila dapat dikaitkan dengan pihak pengurusan baharu yang berhempas pulas melakukan usaha pemulihan.

Sebagai seorang Islam, kita dituntut untuk menentukan kesahihan sebelum mempercayai atau menyebar sesuatu berita atau perkara.

Tidak perlulah dakwaan terhadap Zaiton diulangi di sini, hanya membuang masa. Soalnya kenapa baru sekarang ia ditimbulkan?

Mereka yang melakukan serangan reputasi sebenarnya mengetahui apa yang dilontarkan tidak berasas, malah pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Sekuriti juga menidakkannya.

Tindakan mempersoal profesionalisme pihak pengurusan baharu TH sendiri tidak ubah senjata makan tuan. Pokoknya, kenapa perlu berselindung jika benar-benar mahu mempertahan kebenaran.

Siapa dalang serangan TH ini, bukan rahsia lagi.

— BebasNews
Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.