Sukan Jepun, sukan kita dan Hadi Fayyadh

2
5373

FUKUOKA – Tanggal 4 Februari 2019 adalah satu tarikh yang istimewa buat diri saya.

Ia adalah tarikh dua afiliasi saya, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Fukuoka University (FU) memeterai dokumen memorandum persefahaman (MoU).

Peristiwa bersejarah ini telah berlangsung di Fukuoka, Jepun dalam suasana majlis rasmi yang santai, sambil minum teh Jepun dalam bilik Presiden FU, Prof. Dr Masotoshi Yamaguchi.

Ironi tentang kebanyakan MoU, ia berlaku dalam kalangan dua entiti yang mempunyai banyak perbezaan latar belakang dan budaya. Dalam konteks ini, contohnya antara Malaysia dan Jepun.

Kajian penyelidik UiTM, Aziah dan Qamariah (2017) dalam perbandingan nilai budaya masyarakat Jepun dan Malaysia mendapati, terdapat sekurang-kurangnya lima elemen yang membezakan masyarakat Malaysia dan Jepun.

Secara peribadi untuk saya, usaha di antara UiTM dan FU adalah satu peluang untuk kita membantu mengukuhkan lagi institusi pengajian tinggi dalam bidang sains sukan dan secara amnya untuk memperkasakan lagi Malaysia dalam bidang sukan.

Secara total, saya telah menetap di Jepun hampir tujuh tahun dan dua tahun daripadanya adalah di Fukuoka, sebuah prefecture yang berlokasi di barat Jepun. Selama saya di Fukuoka, secara langsung saya terlibat dengan kegiatan penyelidikan di dalam bidang sains sukan di Jepun.

Dalam masa itu, saya juga telah melihat bagaimana atlet-atlet Jepun yang juga bergelar sebagai pelajar universiti menghadapi rutin harian mereka di sini.

Apa yang menarik, di sini, struktur pengajaran dan pembelajaran (PNP) di fakulti sains sukan mereka itu sendiri telah diolah bagi mewujudkan keadaan yang kondusif untuk pelajar dan staf universiti yang aktif di dalam bidang sukan.

Sebagai contoh, waktu kuliah adalah di antara jam 9 pagi hingga 4 petang. Tiada kuliah dan kelas tutorial selepas jam 4 petang.

Ini bagi membolehkan semua pelajar dan staf menjalani aktiviti sukan mereka dengan bebas.

Tetapi adakah semuanya kondusif bagi pelajar atlet di Jepun?

Mungkin ada yang beranggapan, sebagai sebuah negara empat musim, Jepun adalah negara yang sangat ideal bagi atlet menjalani latihan di bawah iklim yang selesa, terutamanya semasa musim bunga dan musim luruh.

Ini mungkin banyak membantu atlet Jepun menjalani latihan sukan dengan lebih optimum.

Tetapi perlu diingatkan bahawa keadaan pada musim panas (menjangkaui 35 darjah Celsius) dan musim sejuk (purata di bawah 5 darjah Celsius) di sini adalah brutal.

Melainkan mereka adalah atlet elit dan mampu untuk terbang ke kem latihan yang panas dan selesa di Dubai (Malaysia juga seharusnya meningkatkan lagi usaha dalam menyediakan fasiliti kem latihan sukan bertaraf dunia kepada atlet dari negara sejuk), mereka perlu meneruskan latihan di Jepun.

Tetapi ini tidak menghalang atlet di sini untuk meneruskan latihan mereka dalam suasana yang tidak kondusif.

Di sini, bukanlah kegilaan menjalani latihan semasa salji lebat turun yang perlu kita ikuti, tetapi kita perlu contohi reaksi mereka yang terus berjuang berlatih sepenuh hati walaupun di dalam keadaan yang tidak ideal.

Saya juga amat tertarik dengan pendekatan aktiviti pasukan sukan universiti di sini. Rata-ratanya, jurulatih pasukan sukan universiti di sini juga adalah tenaga pengajar di universiti tersebut.

Selain memiliki kelulusan akademik, kebanyakan pensyarah juga mempunyai sijil kejurulatihan. Jadi pelajar bersua muka dengan coach mereka di dalam dan di luar waktu kuliah.

Melalui pengamatan saya, situasi ini telah memberi motivasi yang tinggi kepada pelajar di sini untuk cemerlang di dalam bidang akademik.

Secara psikologinya, mungkin mereka terfikir, keputusan akademik yang baik mungkin mencerahkan peluang mereka untuk terpilih dalam bidang sukan juga.

Di dalam situasi ini, pensyarah dan coach perlu berintegriti dan tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan.

Ada banyak lagi yang boleh kita pelajari dari Jepun. Mungkin bukan semua aspek yang perlu kita contohi. Tetapi nilai-nilai murni yang boleh diguna pakai oleh Malaysia.

Baru-baru ini, ada berita gembira tentang pemain bolasepak muda negara, Hadi Fayyadh yang berjaya mengikat kontrak dengan pasukan J.League Division 2 (J2) Jepun, Fagiano Okayama F.C.

Saya bercadang ingin ke perlawanan Avispa Fukuoka menentang Fagiano Okayama nanti apabila musim J2 bermula tidak lama lagi.

Hadi, ambillah peluang ini.

Timbalah sebanyak ilmu yang boleh, dan janganlah mengikut budaya-budaya Jepun yang tidak sesuai dengan nilai-nilai kita.

Apa pun J2 bukanlah liga yang rendah, dan Hadi perlu berusaha gigih.

Perlu diingat, bintang Jepun terdahulu seperti, Shinji Kagawa telah dipinang oleh Borrusia Dortmund ketika beliau sedang bermain dengan pasukan J2, Cerezo Osaka pada tahun 2010.

Menarik untuk kita lihat sejauh manakah Dasar Pandang Ke Timur dapat membantu karier atlet muda ini.

 

— BebasNews
Please follow and like us:
error

2 COMMENTS

  1. Salam,

    Boleh tuan berikan tajuk kajian ini oleh Aziah dan Qamariah ini?

    “Kajian penyelidik UiTM, Aziah dan Qamariah (2017) dalam perbandingan nilai budaya masyarakat Jepun dan Malaysia mendapati, terdapat sekurang-kurangnya lima elemen yang membezakan masyarakat Malaysia dan Jepun.”

  2. Salam Tuan, tajuk nya ialah “NP の観に基づく日本とマレーシア社会の文化的価値の比較
    Perbandingan Nilai Budaya Masyarakat Jepun dan Malaysia Berdasarkan Perspektif NP”

    Kalau tidak siap,penulis adalah dari Akademi Pengajian Bahasa,UiTM.

Leave a Reply to Shariman Ismadi Cancel reply

Please enter your comment!
Please enter your name here