JDT sukar digugat jadikan Kuala Lumpur mangsa belasahan

JDT sukar digugat jadikan Kuala Lumpur mangsa belasahan
(GAMBAR ATAS) Penyerang import JDT, Gonzalo Cabrera (tengah) cuba melepasi pemain Kuala Lumpur sambil diperhatikan rakan sepasukan Corbin Ong (kanan) dalam perlawanan menyaksikan JDT menang 4-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin, Johor, malam tadi. – Foto Ihsan Johor Southern Tiger.

Keputusan:
Perak 1-1 Kedah
JDT 4-1 K. Lumpur

Oleh AMRAN MULUP

 
REPUTASI Johor Darul Ta’zim (JDT) terus unggul apabila membelasah skuad wargakota Kuala Lumpur menerusi kemenangan 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin, Johor malam tadi (8 Februari).

Kemenangan kedua JDT itu mengukuhkan kedudukan pasukan itu sebagai pendahulu Liga Super dengan mengutip enam mata selepas menewaskan juara Piala Malaysia musim lalu, Perak 1-0 dalam perlawanan pertama minggu lepas.

Begitupun, tuan rumah terpaksa menunggu hingga penghujung babak pertama hendak ditamatkan apabila memperoleh sepakan penalti yang disempurnakan penyerang import, Gonzalo Cabrera untuk gol pertama JDT.

Pengadil perlawanan, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim menghadiahkan sepakan penalti selepas pemain Kuala Lumpur, Hisyamudin Sha’ri mengasari Safawi Rasid di dalam kota penalti.

Syafiq Ahmad menambah derita Kuala Lumpur apabila meledakkan jaringan kedua JDT selepas menerima hantaran cantik Corbin Ong menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee Ramli.

Pelawat yang tertekan tersentak lagi apabila pemain gantian, Diogo Luis Santo meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-59 menyempurnakan sepakan sudut Safawi.

Kuala Lumpur akhirnya berjaya merapatkan jurang pada minit ke-77 apabila Sylvano Comvales merembat kencang ke gawang JDT bagi menjadikan kedudukan 3-1 dan gol keempat tuan rumah menyusul seminit sebelum tamat.

Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham merembat kencang menewaskan penjaga gol pelawat, Sharbinee pada minit ke-89.

Di Stadium Perak pula, tuan rumah terus kempunan untuk meraih kemenangan apabila diikat dengan keputusan seri 1-1 ketika berdepan Kedah di hadapan kira-kira 27,000 penonton malam tadi.

Selepas tewas 0-1 kepada JDT dalam perlawanan Piala Sumbangsih, Perak tidak mampu melangkah jauh biarpun pada minit ke-18 Brendan Gan mencipta jaringan menarik menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Sebaliknya, Kedah bijak mencari peluang sejuru dua minit selepas jaringan Perak, Renan Da Silva berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada ke-20.

Begitupun, perlawanan tersebut terhenti hampir setengah jam apabila pengadil utama, Hamdan Awang ditimpa kecederaan harmstring pada minit ke-60 sebelum perlawanan bersambung semula dikendalikan pembantu pengadil pertama Shahreen Omar.

Kedudukan seri 1-1 itu kekal hingga tamat perlawanan dengan Kedah melebarkan rekod tanpa kalah selepas menumpaskan PKNP FC 2-0 dalam saingan pertama minggu lepas.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.