Pahang teruskan rentak kemenangan

Pahang teruskan rentak kemenangan
Gamar atas: Penjaga gol Pahang Mohd Remezey Che Ros berjaya menyelamat bola percubaan penyerang Terengganu Tchetche Hermann Brice Kipre pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur, malam ini. Keputusan penuh Pahang 3-0 Terengganu. –fotoBERNAMA 

 

 

KUALA LUMPUR – Skuad Tok Gajah melebarkan cengkaman apabila menepati ramalan menewaskan  naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi (9 Feb).

Kemenangan bergaya skuad Pahang memastikan pasukan itu menerajui persada Liga Super mengatasi JDT melalui perbezaan gol biarpun mengutip enam mata daripada dua perlawanan.

Penyerang import, Dickson Nwakaeme sekali lagi memahatkan nama sebagai pemusnah apabila membuka tirai jaringan awal tuan rumah pada minit ke-12.

Pahang mengukuhkan kedudukan apabila penyerang import dari Brazil, Jose Eduardo menyumbat gol kedua menerusi sepakan percuma buat tuan rumah pada penghujung babak pertama hendak ditamatkan.

Terengganu yang tertekan cuba sedaya upaya untuk mencari gol bagaimanapun nasib tidak menyebelahi mereka sebaliknya Pahang menjaringkan gol ketiga enam minit babak kedua berlangsung menerusi pemain pertahanan, Goulon Herold.

Di Stadium Shah Alam pula, sepakan penalti bekas ketua pasukan kebangsaan, Syafiq Rahim pada minit ke-22 sudah cukup memastikan Melaka United pulang dengan tiga mata penuh menerusi kemenangan 1-0 menewaskan PKNS.

Melaka United memperolehi sepakan penalti selepas pemain import, Patrick Reichelt dijatuhkan pertahanan tuan rumah, Rodney Celvin Akwensivie.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat Melaka United selepas dalam perlawanan pertama menewaskan PJ City 2-1.

Di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Selangor sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika berdepan Petaling Jaya City (PJ City).

Selangor nyaris dimalukan pasukan berstatus kelab apabila ketinggalan 0-1 pada minit ke-80 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Pedro Henrique.

Skuad Merah Kuning akhirnya memperolehi gol penyamaan 1-1 apabila penjaring terbanyak Selangor musim lalu, Rufino Segovia turut menyempurnakan sepakan penalti.

—BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.