SPRM sahkan siasat SecPol Menteri Pendidikan

SPRM sahkan siasat SecPol Menteri Pendidikan

Mohd Nizam sekali lagi mengundang kecaman hebat apabila dikaitkan dengan kontroversi surat sokongan SecPol Timbalan Perdana Menteri

 
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (10 Februari) mengesahkan bahawa Mohd Nizam Murad, Setiausaha Politik (SecPol) kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sedang disiasat oleh agensi berkenaan.

Sumber SPRM mengesahkan demikian sebagai mengulas pelbagai spekulasi berhubung laporan Mohd Nizam telah meletakkan jawatan berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.

Mohd Nizam telah dikaitkan dengan beberapa kontroversi sebelum ini yang mengundang kritikan daripada orang ramai khususnya warganet.

Pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) mengundang kecaman berikutan dakwaan bahawa beliau pernah memperolehi kontrak di universiti di Perlis itu sebelum ini.

UUM, bagaimanapun, menafikan tuduhan tersebut dan menjelaskan bahawa Mohd Nizam dilantik atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Alumni UUM dan bukan kerana kedudukannya sebagai SecPol Dr Maszlee.

Namun Disember tahun lalu, Mohd Nizam sekali lagi mengundang kecaman hebat apabila dikaitkan dengan kontroversi surat sokongan SecPol Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berhubung satu kontrak bekalan bermasak di sebuah sekolah.

Surat sokongan itu disifatkan sebagai satu kes kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Surat bertarikh 5 Disember 2018 yang ditularkan itu menunjukkan surat tersebut ditujukan untuk perhatian Mohd Nizam bagi menyokong sebuah syarikat diberi kontrak bekalan bermasak ke sebuah asrama sekolah agama di Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Nizam juga dikatakan tidak mendapat kerjasama dengan Dr Maszlee kerana sikap menteri tersebut yang didakwa lebih mendengar suara dan pendapat sebuah NGO, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) daripada SecPol sendiri.

Mohd Nizam adalah antara 23 pegawai yang dilantik ke jawatan tersebut pada 5 September 2018 di hadapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

— BebasNews
Please follow and like us:
error

One Response to "SPRM sahkan siasat SecPol Menteri Pendidikan"

  1. Ahmad A Hamid  12/02/2019 at 3:45 pm

    UUM di Sintok, Kedah bukan di Perlis.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published.