[SELAK] Terjawab keresahan 1961 pertahan ikrar 1939

1
71

Semoga Utusan memasuki era baharu untuk menarik semula perhatian pembaca yang selama ini menganggap Utusan akhbar parti.

 
MENJELANG usia 80 tahun Utusan Melayu pada 29 Mei ini, UMNO akhirnya ‘membebaskan’ pegangannya terhadap syarikat akhbar keramat itu. Tidak pasti sama ada bebas tanpa dilepaskan atau sebaliknya. Sama ada keputusan itu tepat atau tidak, untung atau rugi bergantung kepada tujuan sebenar pendirian itu dibuat. Apa pun Utusan Melayu memasuki era baharu pada tahun ini, bukan sahaja dibebaskan daripada parti politik tetapi juga membebaskan lebih 700 pekerjanya yang memilih menerima tawaran skim pemisahan sukarela (VSS). Dikuasai UMNO semasa era Perikatan kemudian Barisan Nasional (BN), kini Utusan Melayu ‘dibebaskan’ ketika era Pakatan Harapan (PH).

Majoriti saham kini dikuasai syarikat Opulence Asia Sdn. Bhd. milik penuh bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir (DASF). Transaksi pembelian saham Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB) berjaya dilakukan dengan jumlah dagangan sebanyak 31.6 peratus daripada UMNO. Abd. Aziz yang juga Pengerusi Eksekutif Utusan merupakan pemegang saham terbesar setelah membeli 35 juta unit saham yang melibatkan kos keseluruhan RM6.65 juta. Walaupun masih orang politik, tetapi sebagai ahli perniagaan, cara dan pendekatannya adalah berbeza bagi mengemudi bahtera Utusan. DASF pastinya mempunyai pendekatan mengikut acuannya sendiri walaupun sebelum ini beliau ditunjukkan oleh UMNO untuk menerajui Utusan.

DASF dilantik menerajui Utusan pada 7 Jun 2018 tetapi meletak jawatan pada 13 Disember 2018 sebelum dilantik semula pada 31 Januari lalu. Amat mengejutkan selepas enam bulan menyusun strategi pemulihan, beliau keluar meninggalkan Utusan. Mereka yang ditinggalkan sama ada kakitangan atau bekas kakitangan (VSS) umpama anak ayam kehilangan ibu. Masing-masing dalam kesamaran. Maka langkah untuk melakukan pusingan u atau u-turn sesuatu yang dinantikan oleh kakitangan kerana seperti yang pernah ditulis sebelum ini, beliau telah mengambil pelbagai langkah pemulihan. Agak sukar bagi orang lain untuk meneruskan segala perancangannya.

Adalah tidak kena jika selepas enam bulan merancang termasuk pelaksanaan VSS, beliau membiarkan ‘bahtera’ yang bocor di sana sini dan hampir tenggelam itu kepada orang lain untuk meneruskan ‘pelayaran’. Nakhoda mana yang sanggup? Mahu tidak mahu, beliau dilihat lebih sesuai untuk memikul tanggungjawab ini. Kakitangan dan bekas kakitangan juga tidak menolak. Apa lagi pilihan yang ada? Adakah UMNO mampu meneruskan bantuan kepada Utusan ketika beban yang ditanggung parti itu juga besar? Tanggungjawab memulihkan Utusan bukan mudah. Tidak keterlaluan jika dikatakan tindakan DASF itu umpama tiada beban batu digalas. Justeru berilah peluang dan keyakinan kepadanya. UMNO telah membuat keputusan. Pastinya parti itu mempunyai pertimbangan sendiri.

Bagi yang pernah menyelak sejarah Utusan sudah tentu tahu serba sedikit mengenai penglibatan UMNO melalui akhbar itu. Peranan Utusan amat besar semasa negara di bawah pentadbiran enam Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Sebagai pemegang saham terbesar, sudah tentu UMNO dilihat menguasai akhbar itu. Hakikatnya adalah di sebaliknya. Penglibatan UMNO secara langsung sebenarnya telah mendapat penentangan sejak awal lagi. Rujuklah beberapa tulisan seperti oleh Said Zahari (Di Sebalik Jendela Utusan) dan Zainuddin Maidin (Di Depan Api Di Belakang Duri).

Rujuklah kisah mogok Utusan yang tercetus pada 21 Julai 1961 (ketika itu saya masih dalam kandungan ibu – AlFatihah buat mak). Penentangan terhadap penglibatan UMNO tercetus apabila parti itu menghantar Ibrahim Fikri sebagai Pengurus Umum dan Ketua Pengarang Utusan Melayu. UMNO mahu Jabatan Pengarang yang diketuai Said Zahari ketika itu mematuhi dasar empat perkara iaitu:

Pertama: Memberikan sokongan penuh kepada parti yang memerintah kerana itu akan lebih menguntungkan dari segi perniagaan.
Kedua: Menyiarkan berita-berita yang benar tetapi membatasi kepala-kepala berita kepada parti-parti lain.
Ketiga: Menyiarkan lebih banyak berita dengan kepala-kepala berita yang besar mengenai menteri-menteri Perikatan di mana ia dapat dilakukan, termasuk kenyataan-kenyataan dasar penting.
Keempat: Menyokong Perikatan apabila perbuatan sudah dilakukan dan mengkritik secara membina sesuatu keputusan yang buruk dibuat.

Said Zahari sebagai pengarang membantah. Mereka menolak kerana bertentangan dengan aspirasi Ikrar 1939 ketika ‘Suara Keramat’ bangsa itu diasaskan oleh Yusof Ishak di Queen Street, Singapura. Mereka tidak mahu Utusan dilabel sebagai tidak bebas atau menjadi suara UMNO. Said Zahari juga ditukarkan ke Singapura. Akhirnya Said Zahari mengetuai mogok bersama seramai 113 orang kakitangan akhbar (rujuk bab 6 buku tulisan Zam) di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur termasuk anggota Jabatan Pengarang. Mereka menentang campur tangan politik di Utusan Melayu. Turut disertai 30 orang yang bekerja di Singapura. Said Zahari juga dihukum apabila mendapat perintah status ‘persona non grata’ (mereka yang tidak dihargai) dan mengharamkannya menjejak bumi Malaya buat selama-lamanya.

Akibat tindakan mogok juga, akhbar tidak diterbitkan pada 22 Julai 1961. Mereka berpiket 24 jam sehari selama 93 hari sehingga 21 Oktober 1961. Utusan Melayu diterbitkan semula pada 23 Julai melalui syarikat percetakan Print Craft, milik T.H Tan, sahabat Tunku Abdul Rahman. Hanya dua muka surat, kemudian bertambah kepada empat muka selama kira-kira tiga minggu dan kemudiannya enam muka mulai 18 Ogos 1961. Mogok juga menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan, hubungan rakan seperjuangan terjejas dan ada yang tidak siuman.

Begitulah kesan penentangan yang dibuat terhadap ‘campur tangan’ UMNO kerana para pekerja yakin dasar empat perkara itu akan menyebabkan pembaca Utusan Melayu yang terdiri daripada pelbagai aliran parti tidak akan membeli dan membaca akhbar itu yang akhirnya akan memberi kesan buruk kepada pekerja dan pemegang-pemegang saham. Hari ini malahan sejak beberapa lama dahulu ‘kebimbangan 1961’ bagi mempertahan ‘Ikrar 1939’ menjadi realiti walaupun nampak sukar setelah dibantu oleh faktor-faktor semasa khususnya media sosial.

Utusan sudah mendapat jalan keluar walapun masih ada pegangan individu ‘politik’. Persoalannya ke arah mana hala tuju akan dibawa. Mampukah Utusan bertahan dengan produk media? DASF ada perancangannya. Semoga Utusan memasuki era baharu untuk menarik semula perhatian pembaca yang selama ini menganggap Utusan akhbar parti. Terima kasih UMNO. Sumbangannya kepada Utusan amat besar. Begitu juga sebaliknya. Utusan banyak membantu kepemimpinan negara sama ada yang kini bergelar kerajaan atau pembangkang. Apa pun gelaran yang mahu mereka labelkan terhadap Utusan, sedikit sebanyak Utusan telah banyak membantu mereka. Sekurang-kurangnya Utusan telah memperkenal siapa mereka.

Semoga Utusan terus mendapat sokongan. Kepada para sahabat yang masih bersama Utusan, teruskan perjuangan. Gunakan dan manfaatkan ‘kebebasan’ yang ada jika selama ini pembaca di luar menganggap berlaku kongkongan. Tunjukkan komitmen, ketabahan dan keyakinan anda semua untuk bangkit semula. Masih ada cahaya untuk Utusan kerana ‘api’ itu tidak pernah padam!

— BebasNews
Please follow and like us:
error

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here