Trio E1 sudah sedia dikecam oleh warganet

Trio E1 sudah sedia dikecam oleh warganet
(GAMBAR ATAS) DARI kiri Ariff Imran, Ezuwan Ismail dan Zulyasrani.

 

Saya mahu mencabar diri dan membuktikan yang pereka fesyen juga boleh menjadi penyanyi. Saya juga mahu muzik dan fesyen berjalan serentak – Ezuwan

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
[email protected]

 
KECAMAN atau kritikan daripada warganet tidak menjadi masalah kepada trio E1 yang dianggotai pereka fesyen Ezuwan Ismail dan dua model iaitu Ariff Imran serta Zulyasrani.

Trio yang ditubuhkan pada 18 November tahun lalu itu bukan digerakkan atas dasar syok sendiri atau teruja untuk bergelar artis.

Sebelum pelancaran single Semalam Sahaja, ciptaan penyanyi dan komposer Asfan Shah pada 14 Februari lalu, secara tak langsung trio ini sudah dikecam dengan kata-kata menyanyi seperti tercekik sudu.

Biarpun Rozita Che Wan atau Che Ta tak sebut nama sesiapa dalam Instagram story miliknya, namun orang dapat agak komen tersebut ditujukan kepada E1 yang telah melancarkan single dua hari selepas komen pelakon itu.

Kumpulan trio E1

Tatkala ditanya kepada Ezuwan atau nama penuhnya Mohd. Ezuwan Ismail, 37, adakah komen Che Ta itu sebahagian daripada gimik sebelum E1 diperkenal secara rasmi.

Ezuwan menafikan komen Che Ta ada kena mengena dengan E1, namun beliau berterima kasih kerana secara tidak langsung orang ramai mula mencari siapa yang dimaksudkan oleh pelakon tersebut.

“Itu bukan gimik yang kami cipta. Saya tak kisah pun dengan komen daripada Che Ta atau sesiapa saja. Bagi saya, kemunculan E1 adalah impian yang sudah lama saya impikan.

“Selama ini orang kenali saya sebagai pereka fesyen dan rasanya tak salah untuk saya mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya mahu mencabar diri dan membuktikan yang pereka fesyen juga boleh menjadi penyanyi,” katanya yang mendapat bimbingan vokal daripada Syafizawati Sharif atau mesra dengan panggilan cikgu Syafi dan Bob AF.

Selain itu, Ezuwan juga mahu menjadikan nyanyian sebagai platform untuknya mengukuhkan nama sebagai pereka fesyen.

Katanya, sebagai pereka fesyen, beliau amat mementingkan soal penampilan dan dalam hal tersebut, Ezuwan beruntung kerana dua lagi anggota E1 adalah model.

“Saya mahu muzik dan fesyen berjalan serentak. Untuk muzik video Semalam Saja, saya yang fikirkan konsep fesyen. Sekarang ini semakin banyak kerja saya sebab kena buat tiga pasang baju sekali gus,” katanya sambil ketawa.

Sementara itu, Zulyasrani Zaulyaddin, 30, sebelum ini pernah tampil dengan single berjudul Rushda.

“Sejak dulu saya minat menyanyi dan selepas tamat persekolahan saya sering menyertai pertandingan nyanyian dan pernah pergi uji bakat Akademi Fantasia musim kelima.

“Apabila Ezuwan mencari teman untuk trio E1 saya tidak melepaskan peluang mencuba nasib dan mungkin sudah rezeki saya untuk meneruskan impian sebagai penyanyi bersama E1,” kata pemenang kategori peragaan di Juara Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat pada 2010.

Bagi Mohamed Noor Ariff Imran, 25, pula, nyanyian bukan bidang baharu kerana sebelum ini beliau pernah menyertai sebuah kumpulan muzik.

“Saya suka menyanyi tapi belum ada rezeki lagi. Sewaktu bersama boy band dulu saya tak sempat buat lagu pun dah keluar. Pernah juga sertai uji bakat Akademi Fantasia tapi setakat peringkat ketiga saja.

“Saya melihat bersama E1, segala impian yang terpendam selama ini dapat direalisasikan dan semoga kehadiran kami mendapat sokongan ramai.

“Bagilah E1 peluang untuk menonjolkan bakat dan sebagai orang baharu banyak perkara yang perlu kami pelajari,” katanya yang kini menjalakan perniagaan secara kecil-kecilan di Johor Bahru, Johor.

Dalam usaha untuk meneruskan perjuangan mereka dalam bidang seni, E1 sudah membuat perancangan menghasilkan lagu raya dan single seterusnya.

Trio tersebut berharap kehadiran mereka dalam industri muzik diterima ramai seperti bakat-bakat baharu yang lain.

— BebasNews

Please follow and like us:
error

Leave a Reply

Your email address will not be published.