Tiada pelajar Malaysia cedera dalam letupan di Kaherah

Tiada pelajar Malaysia cedera dalam letupan di Kaherah

Lokasi letupan hanyalah lebih kurang di antara 300 meter sehingga 750 meter daripada kawasan rumah sewa pelajar-pelajar.

Oleh GAMAL NASIR MOHD ALI

 
TIADA pelajar Malaysia cedera dalam satu letupan bom berani mati, yang meletup berhampiran Masjid Al Azhar, Hussien di Kaherah, Mesir semalam (18 Februari).

Menurut kenyataan media Atase Pendidikan Perak, Pejabat Atase Pendidikan Perak di Mesir, lokasi letupan yang berlaku pada pukul 10 malam waktu Kaherah (4 pagi waktu Malaysia) itu sangat hampir dengan penempatan sekumpulan pelajar Malaysia.

Lokasi letupan, menurutnya, hanyalah lebih kurang antara 300 meter sehingga 750 meter daripada kawasan rumah sewa pelajar-pelajar.

“Pejabat Atase Pendidikan Perak telah menghubungi pelajar-pelajar Perak yang menyewa di kawasan tersebut untuk mengenal pasti pergerakan pelajar di sana.

“Hasil daripada siasatan dan temu bual yang dijalankan, kesemua pelajar Perak buat masa ini dalam keadaan selamat dan tidak terlibat dengan insiden tersebut,” kata Atase Pendidikan Perak itu, dalam kenyataan dari Kaherah yang bertarikh hari ini (19 Februari).

Menurut laporan portal berita Egypt Today, Kementerian Dalam Negeri Mesir melaporkan dua anggota polis maut dan sekurang-kurangnya enam yang lain cedera dalam letupan berkenaan.

Daripada video rakaman yang ditularkan, dua anggota polis tersebut kemungkinan maut ketika menahan pemuda yang disyaki penyerang berani mati ketika menaiki sebuah basikal di lorong belakang masjid di daerah Al Darb al-Ahmad di Kaherah.

Sementara itu, Atase Pendidikan Perak itu juga berkata, beliau telah menasihati pelajar-pelajar agar tidak keluar dari rumah mereka buat seketika ini.

Bagi pelajar-pelajar yang masih tidak pulang ke rumah, katanya, mereka telah dimaklumkan agar bermalam di rumah-rumah sahabat mereka di sekitar Hayu Sabik serta Wisma Perak.

“Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan serta membuat operasi di setiap kawasan perumahan untuk mendapatkan maklumat kes letupan ini.

“Pelajar-pelajar telah dinasihatkan agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya rumah mereka terlibat dalam operasi tersebut,” tambah atase berkenaan.

Beliau turut menasihati pelajar-pelajar agar tidak menyimpan sebarang artikel atau mana-mana buku berkaitan organisasi yang dipantau oleh pihak keselamatan Mesir.

“Sehingga kini, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) sedang giat mengumpul maklumat dari pihak keselamatan Mesir bagi memastikan tiada pelajar Malaysia terlibat dalam insiden ini.

“Pejabat akan memaklumkan berita terkini dari semasa ke semasa sekiranya mendapat maklumat rasmi dari pihak KBMK dan pihak keselamatan Mesir,” menurut kenyataan itu lagi.

— BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published.